sumber dari sahabatku akh Faisal Tehrani http://tehranifaisal.blogspot.com/
Seorang teman saya, seorang pejuang gerakan Islam dan pendokong Parti Islam Semalaysia veteran sangat berdukacita partinya kini bersikap lunak dengan seseorang yang memiliki rekod 'tidak mesra gerakan Islam'. Malah partinya juga akan 'bersatu' (mungkin mut'ah) dengan sebuah parti lain yang tiada produk ideologi jelas. Parti itu juga katanya dipenuhi dan didokongi oleh kumpulan Islam liberal dan penyanjung IFC (tahu kes Lina Joy bukan? Takkan lupa cepat sangat?). Menurut teman saya itu, adalah lebih baik bersekongkol dengan DAP dari bersama dengan 'parti tak tentu' tersebut. Ini kerana sejarah PAS-DAP walaupun tidak lancar; tetapi harus diingat kedua-duanya mempunyai prinsip politik yang terang benderang. Meski dari segi polisi PAS-DAP sering berselisih tetapi dalam hal membela keadilan dan kebenaran sebagai prinsip; Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu misalnya sudah pernah duduk semeja. Fakta kes: Untuk mereka yang tahu 'kes gadis bawah umur di Melaka' dengan seorang pemimpin kanan parti pemerintah satu masa dahulu akan cepat terpanggil satu fakta sebenar bahawa PAS-DAP memang boleh bersama dalam hal menegakkan kebenaran. Ketika susah bersama kedua-dua parti pembangkang itu, tokoh lain yang melaungkan keadilan hari ini masih empuk dibuai kuasa. Lebih-lebih lagi, kedua-duanya, yakni PAS dan DAP belum ada rekod yang betul-betul munasabah untuk dinilai dengan parti yang sebuah lagi.Apakah aktivis gerakan Islam seperti teman saya tersebut berada di persimpangan hari ini?Saya terhimbau gejala yang hampir sama, latarnya Lubnan. Latar Lubnan sebetulnya tidak banyak beza dengan latar Malaysia meskipun pada banyak tempat ada banyak bezanya. Bukan mesti mengikut dan menjadikan ia model; sekadar merenung persamaannya: sila baca dan berfikir dengan tekun.Satu masa dahulu seorang tokoh gerakan Islam Lubnan bernama Sayyid Musa al-Sadr telah mengadakan kerjasama politik dengan ahli-ahli politik Kristian untuk membawa reformasi politik di Lubnan. Bagaimanapun, muncul seorang tokoh lain bernama Sayyid Musawi yang menolak untuk menerima formula persepakatan yang kelihatan tidak seimbang.Ulangan: formula persepakatan yang tidak seimbang.Penentangan Musawi tersebut mendapat dokongan seorang alim yang lain iaitu Ayatollah Muhammad Hussein Fadlallah, seorang mujtahid yang juga pernah menuntut di Najaf dan telah pulang ke Lubnan dalam tahun 1966. Ayatollah Fadlallah yang menolak dasar-dasar Sayyid Musa al-Sadr, bersama beberapa ulama syiah yang lain telah menubuhkan Parti Da'wa yang menumpukan perhatian kepada khidmat masyarakat, dengan rangkaian klinik, sekolah dan pelbagai kerja kebajikan yang lain.Kemunculan parti Da'wa yang tidak berminat untuk berkuasa dengan kerusi di parlimen, tetapi berminat untuk berkuasa di hati rakyat dengan kerja kebajikannya telah merubah lanskap politik Lubnan buat selama-lamanya. Dalam masa yang sama Sayyid al-Sadr hilang secara misterius ketika sedang dalam rangka lawatan ke Libya.Dalam masa yang sama juga seorang tokoh kunci di Lubnan waktu itu, Nabih Berri, seorang peguam yang mempunyai hubungan rapat dengan Syria mengambil alih tampuk pimpinan Pertubuhan Amal (sebuah gerakan Islam utama Lubnan waktu itu). Di bawah Nabih Berri, seorang yang berfahaman sekular, ramai ulama menghindar diri dari Pertubuhan Amal. Gerakan itu dilihat tidak lagi mampu membawa aspirasi masyarakat syiah Lubnan dan dipandang sebagai sebuah gerakan sekular. Dasar Nabih Berri untuk melibatkan Pertubuhan Amal dalam Jawatankuasa Bantuan Kebangsan yang bertujuan untuk memulihkan ekonomi dan pentadbiran Lubnan setelah pencerobohan Israel kurang digemari oleh sebahagian besar golongan ulama. Jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh tentera Pertubuhan Phalangis di mana komandernya Bashir Jumayyil diketahui pro Zionis. Di antara ulama berpengaruh yang meninggalkan Pertubuhan Amal waktu ialah Ali Amar, Hussein Khalil dan Hussein al-Musawi. Ulama tersebut telah mendirikan Pertubuhan Amal Islami.Baik, jika anda berhati-hati membaca fakta di atas dan seterusnya, anda akan menemui persamaan-persamaan tertentu dengan konteks politik Malaysia kini khususnya dalam hal melibatkan gerakan Islam.Pada masa itulah Hassan Nasrallah kembali dari pengajiannya di Najaf, beliau mulai mengajar agama di hauzah yang ditubuhkan oleh Abbas Musawi di Baalbak. Sebagai ulama muda, penuh karismatik dan kemampuan berhujah yang menarik minat ramai pemuda, perlahan-lahan Nasrallah membina jumlah pengikut yang besar. Beliau juga menyertai Pertubuhan Amal Islami.Dalam masa yang sama terdapat beberapa gerakan Islam lain seperti Lijan al-Amal al-Islami yang menjalinkan hubungan akrab dengan al-Fatah di Palestina. Mereka ikut bekerjasama dengan kerajaan Iran yang baru sahaja menjatuhkan pemerintah Shah. Kumpulan yang tidak seragam ini disatukan kemudiannya oleh seorang ulama muda bernama Sayyid Hani Fahs. Perlahan-lahan gerakan Islam mendapat kekuatan semula. Tekanan yang diberikan oleh Presiden Lubnan ketika itu Amin Jumayyil terhadap ulama syiah dengan tuduhan mereka siap untuk menubuhkan negara Islam ala Iran telah membantu semangat setiakawan dalam kalangan gerakan Islam.Pencerobohan Israel ke atas Lubnan dalam bulan Jun tahun 1982 telah mendapat perhatian Republik Islam Iran yang menghantar bantuan dalam bentuk ketenteraan. Sebuah organisasi baru mulai terbentuk dengan sendirinya. Nasrallah sendiri meninggalkan Pertubuhan Amal Islami dan bersama-sama dengan gurunya Abbas Musawi membawa sama ramai pengikut. Organisasi baru ini mulai membaja gerakan gerila menentang kehadiran askar Zionis di Lubnan. Pada 16 Februari tahun 1985, sempena majlis memperingati syahidnya Sheikh Raghib Harb di sebuah husainiyyah di al-Shayyah, Hezbollah dengan rasminya wujud dan mulai mengisytiharkan jihad menentang pendudukan Zionis di bumi Lubnan. Motto Hezbollah ternyata memikat sejak awal iaitu menjadi umat yang menghubungkan dan menyatukan Muslim di seluruh dunia. Nasrallah malah diangkat menjadi salah seorang komander militari Hezbollah yang berjaya menyingkirkan penguasaan militia Amal di beberapa posisi sekitar Beirut. Sayyid al Musawi meletakkan batu asas yang penting dalam kalangan gerakan Islam dengan menggabungkan gerakan Islam yang ada di bawah satu pertubuhan al-Muqawwamah al-Wataniah al Lubnaniyyah.Hari ini Hezbullah adalah pemain sebenar dalam politik Lubnan meskipun mereka tidak memerintah dan berkuasa di parlimen. Ulangan: Hezbullah adalah pemain sebenar dalam politik Lubnan meskipun mereka tidak memerintah dan berkuasa. Hezbullah juga mendapat tempat di hati rakyat dengan kerja kebajikan yang modelnya diambil dari parti Da'wa dan Amal Islami yang kemudian bergabung dengan Hezbullah.Hari ini juga, di Lubnan, model reformasi pentadbiran dan agenda ekonomi Nabih Berri yang persis mahu dilakukan oleh seorang tokoh di sini dianggap lapuk, melucukan dan ketinggalan zaman. Malah Hezbullah, meski tidak berkuasa terus mendapat dokongan kumpulan kristian dan pelbagai bangsa lain. Nabih Berri dan sekian pemimpin liberalis dengan wajah pro Barat (poster boy majalah Barat katakan) telah luput. Hezbullah membuktikan satu strategi politik yang hebat dan jebat untuk gerakan Islam: berkuasa tidak semestinya berkuasa. Ulangan: berkuasa tidak semestinya berkuasa.Soalan saya kepada teman saya itu, dengan melakukan satu comparative political scenario (jika tuan-tuan tidak tahu, dalam disiplin politik ada lapangan ini); jika ada tokoh dalam PAS meski dia seorang pimpinan besar yang mahu mengorak langkah seperti Sayyid Musa al-Sadr, apakah akan ada keberanian untuk menolaknya? Seperti yang dilakukan oleh Sayyid Musawi dan Ayatollah Muhammad Hussein Fadlallah. Siapakah dalam PAS yang akan berani menjadi seperti mereka berdua? Siapakah yang akan berani menolak 'Nabih Berri' di sini?Rasa kecewa teman saya itu (di sebalik kebangkitan PAS selepas 8 Mac lalu) bukan sesuatu yang harus didiam dan diketepikan. Lambat-laun ia jadi bara dan akan terus memercik apinya kepada yang lain juga.Apakah akan ada gejala baru dalam politik gerakan Islam di Malaysia? Yakni apakah akan ada wadah baru yang 'memberontak' dari gejala masa kini lalu akhirnya muncul sebagai pemenang sebenar ala-ala Hezbullah?Apakah akan ada 'Sayyid Hassan Nasrallah Malaysia' yang menolak persekongkolan dengan gerakan sekularisme tetapi dalam masa yang sama memaksa gerakan sekularisme tunduk kepadanya? Apakah akan ada tokoh sehebat Nasrallah yang berani berkata tidak, tidak, tidak kepada tokoh pro Barat dan menempik dan bertindak tidak, tidak, tidak kepada Zionis?Siapa yang akan menyelamatkan hala tuju gerakan Islam di Malaysia dari terjerumus menjadi Pertubuhan Amal di bawah Nabih Berri?Kita semua mengaku dan tahu, era 'percekcokan' IRC-PAS-ABIM telah berlalu, tetapi tidakkah perkembangan terbaru ini akan membawa jurus lain dalam gerakan Islam. Apakah PAS sedang menjadi 'semakin sekular?' seperti Pertubuhan Amal di bawah Nabih Berri? Apakah PAS sedang menempa jalan Musa al Sadr yang nyata silap? Akan adakah ulama atau aktivis PAS yang 'membawa hati' secara senyap kalaupun tidak secara terang-terang? Lalu mereka menganjurkan: poros tengah, jalur lain, wadah baru yang satu hari nanti akan bergengsi ala-ala Hezbullah (yang kini diterima secara meluas oleh penganut Kristian Lubnan sekalipun)Betul, iklim gerakan Islam di Lubnan berbeza dengan Malaysia. Perbezaan itu sentral, kerana mereka yang kita bicarakan di Lubnan tadi jelas sekali golongan taabudi yakni menyerahkan soal kepimpinan secara total kepada marja mereka. Kerana menurut mazhab syiah soal kepimpinan mesti ditentukan secara nas (al-Quran, sunnah nabi dan pandangan ahlul bait). Sedangkan gerakan Islam di Malaysia yang berasaskan ahlus sunnah wal jamaah akan menentukan sikap dengan syura, ijtihad dan sebagainya. Di sinilah letak bezanya. Syura yang akan ditentukan oleh sekumpulan ulama, masih terdedah kepada keputusan yang longgar dan interpratif. Berbanding dengan keputusan yang berasas mutlak kepada nas. Oleh kerana itulah apabila Hezbullah ditanya apakah rahsia kejayaan mereka menghalau Israel dari Selatan Lubnan, Sayyid Hassan Nasrallah seorang Arab telah menjawab: Rahsia kami ialah kerana kami berpegang kepada wali faqih (pemimpin umat Islam syiah iaitu Sayyid Ali Khamenei di Iran yang berbangsa Parsi-Turki). Soalan teman saya sangat mengejutkan, malah provokatif. Di celah-celah sambal nasi lemak dan teh tarik dia bertanya kepada saya, ikhlas dan jujur:'Wajarkah aku meninggalkan PAS?'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan