KOTA BHARU: Mat rempit di Kelantan akan dapat membuktikan kehebatan mereka menunggang motosikal di litar khas yang akan dibina kerajaan negeri tidak lama lagi, kata Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya, pembinaan litar di Tanah Merah itu bukan satu pembaziran kerana ia memberi ruang kepada pihak berkuasa menangani gejala lumba haram dalam kalangan golongan muda di negeri itu. "Mat rempit ini sering buat ibu-ibu risau. Bila berlaku perkara yang tidak diingini, kasihan kita lihat ibu-ibu mereka, isteri atau anak mereka menangis. "Kita buat litar ini untuk beri tempat yang sesuai untuk mat rempit ini meluahkan perasaan dan menunjukkan keberanian dan keperwiraan mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan tambahan bajet 2008 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di sini, semalam. Nik Aziz berkata, litar itu dibuat berdasarkan syor polis yang meminta kerajaan negeri membina litar motosikal khusus untuk kegunaan mat rempit bagi mengelak mereka menggunakan jalan raya sebagai litar lumba. “Kita mahu kalau anak-anak muda ini nak tunjukkan keberanian, biarlah bertempat. Dalam masa yang sama, kita selitkan nasihat dan doa ketika naik kenderaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan