KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan Kerajaan Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat mengharamkan semua pelaksanaan program berkonsepkan Islam Hadhari di negeri itu sebagai bermotifkan politik semata-mata."Itu pendapat dia, tetapi kita punya pendapat lain. Mereka mahu mempolitikkan Islam Hadhari sedangkan hakikatnya gagasan itu adalah satu konsep yang membawa pengertian terhadap Islam daripada sudut ketamadunan. "Islam Hadhari adalah pendekatan bagi memperjelaskan bahawa ia adalah agama yang merangkumi semuanya, termasuk penekanan mengenai bagaimana membina tamadun yang terbaik. Maknanya, ini pendekatan, bukan penafsiran mengenai ajaran Islam," katanya.Timbalan Perdana Menteri, berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan komandan kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), di sini, semalam.Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr Mohamed Ali berkata, Islam Hadhari tidak diperlukan di Selangor memandangkan ajaran Islam diamalkan di negara ini lengkap dan menyeluruh dari segala aspek.Sehubungan itu, kerajaan negeri mengarahkan semua masjid dan surau di Selangor tidak lagi menjalankan program Islam Hadhari dan pegawainya juga tidak dibenarkan menyentuh soal itu dalam khutbah Jumaat. Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata tindakan Selangor menolak sebarang bentuk dan program yang mempunyai kaitan dengan Islam Hadhari disifatkan sebagai naif dan hanya retorik politik untuk menindas pemikiran rakyat. Katanya, langkah diambil Kerajaan Selangor itu memenuhi agenda Pakatan Rakyat terutama Pas kerana Islam Hadhari diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memecah dakwaan parti itu sebagai satu-satunya parti memperjuangkan Islam di negara ini. "Islam Hadhari adalah satu pendekatan dalam pembangunan umat menerusi program serta agenda mengisi tuntutan al-Quran dan Sunnah yang istilahnya sudah diterima ratusan ulama lulusan Al Azhar yang hadir dalam Multaqa' Ulama baru-baru ini. "Pada saya pengharaman ini adalah langkah menyekat usaha mendaulatkan Islam di negara ini dan satu cara menindas pemikiran rakyat supaya menolak Islam Hadhari," katanya pada sidang media di sini, semalam. Mohd Nakhaie berkata, walaupun Selangor mengharamkan masjid dan surau mengadakan khutbah atau ceramah yang menyentuh mengenai Islam Hadhari namun mereka tidak boleh menguatkuasakan sebarang undang-undang untuk menahan sesiapa yang melanggar arahan itu. Katanya, kuasa berkenaan terletak pada tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempunyai hak atas urusan masjid dan surau di negeri itu. "Apabila Islam Hadhari diharamkan, bermakna semua prinsip di dalamnya turut ditentang dan sudah pasti ia mengharamkan perbincangan mengenai keimanan, kerajaan adil serta amanah dan ini menunjukkan Pas menyokong perjuangan hebat menentang Islam yang dilakukan DAP. "Ini satu tindakan yang tidak mencerminkan agenda sebenar Pas yang mendakwa mereka adalah parti yang berjuang untuk kepentingan Islam apatah lagi kita tidak nampak apa usaha dan agenda yang dilakukan parti itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan