Biar terus ke topik yang ingin dibincangkan. Terus-terang, aku bukan orang terbaik untuk berbicara bab ini, tetapi ini hanyalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian aku yang baru sekejap dalam da’wah. Ingin sekali aku berkata,
“Sesungguhnya da’wah ini panjang, tapi pasti. Da’wah ini sukar dan penuh dengan ujian, tapi sahih. Bukan mudah untuk ikhwah akhwat berada dalam saf da’wah dan kemudian terus lurus bersama yang lain. Akan ada waktu ikhwah akhwat mungkin kebelakang sedikit, dan ada waktu ikhwah akhwat akan ke hadapan. Ada waktu ikhwah akhwat melihat ada yang berundur. Pelbagai alasan, mungkin terbatal wudhu’, atau mungkin terlalu lama, rakaat kedua tak sampai-sampai lagi, baik solat sendiri-sendiri. Itu perkara biasa. Walaupun baru, namun perkara ini semua jelas untuk ikhwah akhwat lihat sendiri.
Sebab itu dalam pelbagai kitab fiqh da’wah, ikhwah akhwat akan banyak jumpa ayat-ayat yang menyeru kita untuk memastikan bahawa awal jalan yang kita masuk adalah jalan yang betul. Atau foundation perlu betul-betul kukuh. Niat perlu lurus dan ikhlas. Jika tidak, ikhwah akhwat akan kembali menyaksikan berundurnya sahabat-sahabat yang dulunya ligat bersama kita. Itulah lumrah da’wah yang panjang. Bahkan dalam sirah islam itu sendiri telah termaktub betapa fitrahnya perkara ini. Sebaik wafatnya Nabi s.a.w., maka berpusu-pusu manusia murtad, bahkan Mekah juga goyah. Sedangkan mereka bertemu Nabi, ditarbiyah terus dari Nabi s.a.w. namun sungguh banyak yang berpaling. Hampir-hampir telah lenyap hasil usaha da’wah Nabi s.a.w. Begitulah lumrahnya da’wah. Berpusu-pusu akan masuk bersama, namun di akhir, tidak tahu siapa yang akan masih teguh. Ya Allah, aku mohon perlindungan-Mu dari sifat fasiq dan nifaq. Ya Allah perkenankanlah.
Namun di sini punya satu pengajaran yang besar, ikhwah akhwat sekalian. Di sini ada satu perkara yang mungkin kita telah tahu. Di balik da’wah Nabi yang meluas itu, adanya qaedah sulbah atau tulang belakang yang terus menerus menyokong da’wah Nabi s.a.w. baik bersama baginda mahupun tanpa beginda. Mereka tidak berfoya-foya dengan tarbiyah mereka. Mereka tidak bermain-main dengan da’wah mereka. Itulah mujahid da’wah. Mereka tegar bersama islam, dan mereka akhirnya hidup mulia bersama islam. Satu rahsia yang ingin ana kongsikan bersama ikhwah akhwat, bahawa dalam kehidupan ikhwah akhwat akan ada perasaan/emosi dan kebenaran/rasional. Inilah yang akan membezakan ikhwah akhwat mujahid dengan mereka yang mengikut.
Dalam satu-satu kondisi, kita cenderung untuk mengikut emosi, kerana tarikan emosi lebih didorong oleh fitrah dan al-hawa’ sedangkan kebenaran/rasional memerlukan kita untuk menekan emosi ke satu tahap agar maslahah besar mengatasi maslahah kecil atau kesan yang menyeluruh terhasil dari kesan sementara dan seterusnya. Jadi apa kaitannya?
Ikhwah akhwat fikirkan sejenak. Pernahkah antum mendengar misalan yang berkata, cuba menutup satu lubang dengan tanah dari lubang yang baru dikorek. Hasilnya satu lubang tertutup, tapi ada satu lagi lubang. Bilakah masalah akan selesai? Pernah dengar?
Antara contoh-contoh realiti yang mungkin berlaku:
Pinggan mangkuk, periuk, talam dan sebagainya sering tak terbasuh di rumah bujang. Satu masalah yang remeh tapi seringkali mengganggu gugat emosi penghuni rumah. Ana yakin ada dikalangan ikhwah akhwat yang pernah mengalami masalah sebegini. Kemudian akan ada pelbagai cadangan dan pandangan tentang jalan penyelesaian. Antara yang bernas, buat sistem basuh pinggan berpasangan; dua orang satu hari akan basuh semua setiap kali lepas makan. Atau cara lain yang pernah dicuba. Yakinlah, dalam sekejap waktu, sistem akan lumpuh. Ikhwah akhwat akan dapati kotor dan sepah ulang berlaku. Jiwa kacau, hati bilau sekali lagi. Apakah jalan yang paling sesuai?
Cuba ikhwah akhwat renung kembali. Apakah punca? Sistem tak cukup baik? Atau tak praktikal, terlalu ideal? Inilah perkaitan antara emosi/perasaan dan kebenaran/rasional. Dalam melihat masalah ini, emosi membujuk untuk menyelesaikan kekotoran dengan cepat. Mungkin kelak akan memudahkan kerja masing-masing, jadi perlu susun strategi dengan baik. Maka idea dilontar. Seolah mengecat dinding luar rumah dengan cat kapur. Asal putih cepat. Dua hari hujan, timbul balik warna batu pasir. Bukankah begitu?
Kebenarannya atau rasionalnya, masalah ini secara tabi’i yang kita fahami perlu diselesaikan dengan diri yang ada di dalam rumah itu. Ana yakin ikhwah akhwat cukup fasih berkata, “perlu mula dengan diri sendiri dahulu” atau “pembinaan individu dulu, baru fikir sistem. Tiada pendokong, siapa nak pikul?” atau mungkin “perlu selesaikan masalah dari akar umbi. Cabut dahan saja, nanti dia tumbuh balik”. Jadi sekecil-kecil perkara, dengan pemahaman bahawa tarbiyah bukan segala-galanya tapi segala-galanya adalah tarbiyah, juga perlu dilihat dengan fitrah ini. Bagaimana?
Jiwa mu’min yang benar, akhlaq dan peribadinya adalah atas dasar iman. Bukan dasar ikutan. Kebersihan dan kekemasan adalah manifestasi iman, bukan simbol ke-ikhwah-an atau ke-akhwat-an. Ia adalah satu antara perkara asas bagi seorang mu’min. Jadi di sini adalah medan tarbiyah mendidik iman dan islam yang syumul. Bukan perkara main-main atau picisan. Berapa banyak ikhwah akhwat yang melihat kebersihan rumah sebagai medan tarbiyah diri?
Nampak? Emosi/perasaan akan membawa kita kepada penyelesaian yang sekejap. Tapi kebenaran/rasional akan memberi impak yang lebih besar kerana penyelesaiannya ke akar umbi, kepada individu, kepada yang dasar, asas, tapak. Bukan di permukaan.
Apa lagi contoh lain?
Mungkin isu yang sedikit besar. Kesihatan dan kekuatan tubuh badan. Transliterasi arabnya, qawiyul jismi. Berapa ramai ikhwah akhwat yang melihat ini sebagai satu perkara yang penting? Bagaimana kesihatan atau kekuatan yang dikatakan? Pada suatu ketika, ana memerhatikan ikhwah amat bersungguh membina diri. Muwasafat tarbiyah diulang-ulang, disebut-sebut. Segala yang terkait, semuanya dilibatkan. Semua nak bina. Setiap petang ke padang bersukan. Walau benci menyepak bola, namun tetap turun kerana isu qawiyul jismi. Tamat satu era, datang era baru. Ana perhatikan ikhwah luntur macam cat kapur. Sehingga ada yang meluah perasaan, dulu ligat dan aktif, kini semua duduk dalam beg tidur. Ana kecewa, bukan sedikit tapi ana merasakan seolah yang kita ada adalah pengetahuan, bukan kefahaman dan penghayatan.
Ikhwah akhwat perlu sedar. Tuntutan di jalan da’wah ini besar. Ia memerlukan mujahid yang tahu dan sedar tentang kepayahan jihad hujah. Bukan da’i lisan ke hulu ke hilir berfoya-foya dengan fikrah. Ia perlu hidup. Islam tidak hidup dalam kepala. Ia di jalanan, di dalam masyarakat. Jadi ini memerlukan ikhwah akhwat bertubuh kuat dan sihat, mampu menahan jerih payah. Letih bukan tanda lemah, tapi tanda ada usaha. Letih antara dua, mencari rezeki untuk hidup atau da’wah. Jadi bagaimana ikhwah akhwat boleh bermain-main dalam memastikan kekuatan diri dan kesihatan terjaga? Da’wah kita berterusan, bukan sekadar di program-program. Kita boost sepanjang waktu, bukan macam orang yang program oriented. Itu ya boost sekali-sekala sebab nak program berjaya. Tapi kita lebih dari itu.
Kebenaran/rasional di balik kesungguhan membina kekuatan dan kesihatan diri adalah kerana tuntutan da’wah yang amat berat. Ia memerlukan, bahkan memestikan ikhwah akhwat kuat dan cergas. Apakah boleh jadi kerana emosi/perasaan yang telah menangkap ikhwah akhwat suatu ketika dulu menyebabkan ana tertipu dengan kesungguhan antum semua?
Sekarang adakah ikhwah akhwat melihat, metode pemulihan yang kita canangkan selama ini amat mendalam ertinya. Bukan sekadar maratib amal yang dihafal dan diingat. Ia meminta lebih lagi dari apa yang kita sangkakan. Apabila kita berkias tentang pembinaan diri, sememangnya ia memaksudkan pembinaan diri yang menyeluruh dan syumul. Bila ia bersuara tentang pembinaan baitul muslim, maka ia menuntut baitul muslim yang benar juga. Tatkala ia meminta masyarakat muslim, ia benar-benar menuntut masyarakat muslim dan seterusnya. Bukan dalam perasaan dan persangkaan atau emosi, tapi dengan sebenar-benarnya, dalam hakikatnya.
Ikhwah akhwat yang ana kasihi, ana suka melihat jumlah ikhwah dan akhwat yang meningkat saban hari. Usaha kita yang berterusan, Alhamdulillah Allah kurniakan kita sedikit rahmat dan kegembiraan dengan mad’u yang bertambah. Namun ana sayang pada antum. Ana sayang pada da’wah ini. Ana rindukan saat-saat banyaknya waktu kita bersama dalam usaha da’wah dan tarbiyah. Waktu-waktu seolah kita memacu kuda berlumba dalam kebaikan. Ana takut bahawa kita hanya terikat dalam emosi/perasaan kerana banyaknya yang bersama, bukan kerana kebenaran/rasional terhadap kefahaman islam yang syumul. Dari pengalaman, memang ana sedih menitis air mata mengenang ikhwah yang berundur. Wallahu’alam, atas sebab apa, tapi sekiranya benar, boleh jadi mereka terikat dengan hal. Namun semuanya atas kehendak Allah s.w.t.
Inilah bezanya antara hal dan hakikat. Antara kondisi hati dan sebenar-benar kondisi seluruhnya. Tarbiyah bukan segala-galanya, tapi segala-galanya adalah tarbiyah buat kita. Bukanlah kita orang yang taksub dengan tarbiyah sehingga menutup pintu perkembangan am, tapi adalah kita orang yang membuka dan masuk ke dalam pintu tarbiyah mana sahaja yang ada, selagi ia dalam batasan syara’.
Ini adalah waktu untuk ikhwah akhwat berfikir kembali dan merancang semula. Merancang dengan pengakhiran di dalam fikiran, dengan akhirat sebagai tujuan. Adakah da’wah memerlukan individu-individu seperti kita sekarang ataukah ia mahukan yang lebih baik? Ingatlah ikhwah akhwat yang di sayangi, islam menerima semua umat manusia namun da’wah islam hanya menerima mujahid dan mujahidah sebagai pendokong. Kita bermujahadah dalam membentuk diri kita dari dasar. Dengan hakikat, bukan hal. Dengan kebenaran, bukan perasaan.
Sesungguhnya ana hanya meluahkan rasa hati kerana sayangnya ana pada da’wah dan ikhwah akhwat semua. Bukan niat untuk merendahkan sesiapa, kerana orang yang punya takbur walau sebesar zarah dalam hati, tidak punya ruang untuknya di syurga. Di saat ini, hal ana bersuara, namun hakikatnya tidak siapa tahu sehingga Allah telah menetapkan qadha-Nya kelak. Hal ana bersuara agar setiap apa yang engkau ada dikorbankan kerana ini adalah waktu untuk engkau tajrid sebagai sang salik dengan da’wah. Sesungguhnya ummat ini lebih memerlukan engkau sebagai murabbi dari sekadar figur dan harapan mereka pada engkau besar. Tidak pantas untuk murabbi menjadi pemula dalam perkara mubah, kerana urgensi sebagai tauladan amat tinggi di saat ini. Biar engkau rebah memikul da’wah, jangan engkau rebah memikul al-hawa dan hiasannya.”
Andai sahaja dapat aku berkata.
Ya Allah, Engkau lebih mengetahui keadaan hati-hati kami, teguhkanlah ia dan tetapkanlah ia di jalan agama-Mu yang lurus. Ya Allah, Engkaulah yang Maha Kaya dan Maha Mengasihani, kurniakanlah bagi kami rezeki yang baik lagi Engkau redhai. Ya, Allah, Engkau Menguasai jiwa-jiwa kami, maka kami mohon janganlah Engkau menarik hidayah atau menghalangnya dari jiwa kami. Ya Allah, Engkaulah yang paling hampir dengan kami, bimbinglah kami dan perkuatkanlah diri kami. Ya Allah, perkenankanlah.
sumber http://mujahid-serkam.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan