16 Jun 2008

ORANG SERKAM DARAT JUARA TILAWAH ALQURAN PERINGKAT NEGERI

JASIN, 14 Jun- Pasangan suami isteri, Azraie Abdul Haq, 28 dan Sarrul Munirah Haris, 25, masing-masing muncul johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran peringkat negeri yang berlangsung di Masjid Al-Ghaffar, Jasin dekat sini malam tadi. Azraie berasal dari Taman Koperasi Risda Serkam Darat,Jasin, yang sedang mengikuti Kursus Perguruan di Sungai Petani, Kedah itu memperoleh 77 markah menewaskan tiga peserta lain sekaligus memenangi wang tunai RM3,000 berserta sebuah piala.

Manakala isterinya, Sarrul Munirah yang juga berasal dari Taman Koperasi Risda Serkam Darat, Jasin, seorang Pegawai Hal Ehwal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan pungutan sebanyak 75 markah menewaskan tiga peserta lain sekaligus menggondol wang tunai RM3,000 berserta sebuah piala. Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang turut disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhammad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Omar Kaseh; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Rashid Redza Mohd Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis, Ghazale Mohamad. Dengan kemenangan itu, kedua pasangan suami isteri itu akan mewakili Melaka ke Majlis Tilawah peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kedah pada Julai depan. Tempat kedua bahagian qari dimenangi Suhairi Yunos dengan 72.5 markah yang memperolehi hadiah wang tunai RM2,000, manakala tempat ketiga pula jatuh kepada Budiman Bulindan yang memperolehi 69 markah dengan wang tunai RM1,200.

Tempat kedua bahagian qariah pula dimenangi Mimi Munawwarah Abd. Majid dengan pungutan markah sebanyak 70.5 dan menerima RM2,000, manakala tempat ketiga disandang oleh Maziah Md Shah yang mengutip sebanyak 70.5 markah dengan hadiah RM1,200. Azraie ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) memberitahu, beliau tidak menyangka akan terpilih mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan dan baginya pencapaian tersebut sesuatu yang amat membanggakan buat diri dan keluarganya. "Kemenangan ini bertambah manis apabila isteri turut menjadi johan kariah bersama-sama saya untuk ke peringkat kebangsaan kelak, kami amat bersyukur,'' katanya selepas majlis tersebut malam tadi.

Menurutnya, dia dan isteri berazam akan memperbaiki kelemahan yang sedia ada dan akan membuat persiapan yang rapi bagi membawa cabaran Melaka ke pertandingan tersebut kelak. "Kemenangan yang diperolehi ini tidak akan kami sia-siakan dan kami akan berusaha melakukan yang terbaik pada pertandingan di peringkat kebangsaan nanti,'' katanya.

Tiada ulasan: