05 Julai 2008

AUTABALA

KUALA LUMPUR: Penyiasat persendirian, Encik P. Balasubramaniam, semalam menarik balik akuan bersumpahnya yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.Encik Balasubramaniam menyiarkan satu akuan bersumpah yang baru semalam untuk menarik balik kenyataan yang dibuat beliau sehari sebelumnya, yang di dedahkan dalam satu sidang akhbar anjuran penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

'Saya ingin menarik balik semua kenyataan yang saya buat (kerana) ia tidak benar. Saya terpaksa mengesahkan akuan bersumpah itu dalam keadaan tertekan,' kata beliau seperti ditukil Associated Press semalam.Dalam akuan bersumpahnya yang pertama kelmarin, Encik Balasubramaniam berkata beliau telah memberitahu polis maklumat terperinci mengenai Altantuya Shaariibuu yang tidak dibentangkan semasa perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia itu.

Beliau berkata lelaki yang dituduh bersubahat dalam pembunuhan Altantuya pada 2006 - Abdul Razak Baginda, seorang rakan karib Datuk Seri Najib - memberitahunya bahawa Timbalan Perdana Menteri itu melakukan hubungan seks dengan Altantuya.Encik Balasubramanian berkata beliau diupah penganalisis politik, Abdul Razak, beberapa hari sebelum kematian Altantuya, dan mempunyai maklumat mengenai hubungan Altantuya dengan Datuk Seri Najib yang beliau dedahkan kepada polis semasa disoal siasat tetapi maklumat itu telah dibuang dalam laporan polis yang beliau diminta menandatanganinya.

Datuk Seri Najib kelmarin menegaskan beliau tidak pernah berjumpa dengan Altantuya, penterjemah rakyat Mongolia berusia 28 tahun itu, yang dibunuh dan mayatnya di letupkan pada 19 Oktober 2006.Datuk Seri Najib menyifatkan dakwaan itu sebagai 'satu pembohongan dan cerita rekaan yang licik' untuk mencemar nama baik beliau.

Naib presiden PKR, Encik Sivarasa Rasiah, semalam berkata Datuk Seri Anwar percaya 'sesuatu mesti telah berlaku ke atas orang itu (Encik Balasubramaniam) malam tadi.''Kesimpulannya ialah beliau (Balasubramaniam) telah digertak oleh seseorang atau sekumpulan orang... yang ada kaitan dengan tokoh politik dan mahu beliau menarik balik (akuan bersumpah itu),' tegas beliau.

Dalam perkembangan terbaru semalam, peguam Encik Balasubramaniam, Encik Americk Singh Sidhu, menafikan anak guamnya membuat akuan secara terpaksa.Dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya, Encik Americk berkata akuan bersumpah yang difailkan Encik Balasubramaniam pada 1 Julai lalu itu dibuat secara sukarela, lapor laman web Malaysiakini.Sementara itu, pemimpin veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit Siang, semalam berkata polis mesti menjelaskan pelibatan mereka dalam kes tersebut, selepas peguam Encik Balasubramaniam berkata anak guamnya menukar pendirian selepas dipanggil oleh polis.

Encik Lim berkata semua perkara itu akan menjejas keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kewibawaan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, semalam berkata akuan bersumpah oleh Encik Balasubramaniam yang mengaitkan Datuk Seri Najib dengan Altantuya tidak boleh ditarik balik.

'Akuan bersumpah adalah satu dokumen yang dibuat dengan bersumpah di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah. Seperti halnya semua bukti yang dibuat dengan bersumpah, ia tidak boleh ditarik balik,' kata beliau.'Seperti halnya saksi yang membuat keterangan palsu di mahkamah, seseorang yang membuat akuan palsu telah melakukan kesalahan,' tegas beliau.

Tiada ulasan: