10 Julai 2008

Kad Pengesahan Agama Dikeluarkan Serta-Merta Lepas Masuk Islam - Zahid

BANGI - Pemberian kad pengesahan penukaran agama akan dibuat serta-merta kepada mualaf yang baru memeluk agama Islam selepas proses pengislaman bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelbagai masalah didapati timbul apabila kad pengesahan penukaran agama tidak diberikan serta-merta. Beliau berkata konflik melibatkan kad pengesahan berkenaan lazimnya timbul apabila berlaku penceraian atau kematian, menyebabkan kesukaran antara keluarga dan pihak Jabatan Agama Islam. "Tanpa kad itu, pihak Jabatan Agama tidak mempunyai cara untuk mengesahkan keislaman mereka, dan masalah akan timbul," katanya selepas Majlis Muhadharah bertajuk 'Ke Arah Memperkasakan Pengurusan Islam di Malaysia.' Sebelum ini, jelas beliau, pengeluaran kad penukaran agama dan dokumen rasmi berkaitan perkara berkenaan mengambil masa agak lama dan ia dikenal pasti sebagai faktor kepada masalah yang berkaitan, misalnya proses tuntutan harta. Sehubungan itu, kata Zahid, Jabatan Agama Islam di setiap negeri diminta supaya mengarahkan pegawai tadbir agama di daerah atau di jajahan (untuk negeri Kelantan) masing-masing supaya urusan pengeluaran kad pengesahan penukaran agama boleh dibuat serta-merta. "Saudara baru juga diwajibkan untuk mendaftarkan urusan wasiat mereka dengan Amanah Raya Berhad memandangkan pihak berkenaan mempunyai kuasa untuk mengendalikan urusan tuntutan sivil dan syarak, bagi memudahkan urusan tuntutan harta untuk mualaf," katanya.
sumber : bernama

Tiada ulasan: