SHAH ALAM – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu laporan polis berhubung dakwaan pemalsuan keterangan berhubung penyiasatan beliau dipukul oleh polis ketika siasatan terhadapnya dilakukan pada tahun 1998 di sini, semalam. Dalam kejadian berkenaan, Anwar mengalami kecederaan pada mata kirinya hingga lebam dipercayai dipukul oleh polis. Anwar yang tiba di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor pada jam 2.50 petang itu disambut oleh kira-kira 300 penyokongnya hadir bersama beberapa pengikutnya dengan menaiki kenderaan Skoda warna emas yang bernombor pendaftaran BJC 8. Bagaimanapun, selepas 30 minit memasuki bangunan IPK, Anwar terus keluar tanpa memberikan sebarang keterangan kepada media yang sedang menanti. Turut kelihatan anak sulungnya Nurul Izah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, tetapi dia terlebih dahulu meninggalkan kumpulan tersebut.
Sinar Harian difahamkan Anwar sendiri yang membuat laporan berkenaan di mana catatan laporan berkenaan diambil oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor. Menurut salah seorang peguamnya juga Ahli Parlimen Subang, S Sivarasa, laporan berkenaan dibuat berikutan mempertikaikan kredibiliti Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (ketika itu selaku Pegawai Penyiasat) dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (Timbalan Pendakwa Raya) semasa menjalankan siasatan. “Anwar (Datuk Seri) mendakwa mereka bersubahat dengan pihak lain menyembunyikan kejadian sebenar mengenai pegawai yang menyebabkan kecederaan tersebut. “Walaupun diketahui keadaan sebenar mereka cuba menyembunyikannya hinggakan memaksa satu suruhanjaya khas perlu ditubuhkan,” katanya. Beliau yang ditemani tiga peguam lain, Latifah Koya, Saiful Iskandar, dan William Yong mendakwa mereka sengaja mengelirukan gambaran sebenar kejadian itu daripada umum. Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut isi kandungan laporan itu dan memberitahu polis akan menyiasat sebaik-baiknya perkara berkenaan
sumber : http://www.sinarharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan