Warga Malaysia dikejutkan pada 19 Ogos lepas apabila sebuah kapal MISC, Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal, 29 daripadanya rakyat Malaysia manakala 10 lagi adalah warga Filipina dirampas lanun di perairan Aden menyebabkan seorang anak kapal dari Filipina terbunuh terkena peluru sesat.Media arus perdana tanahair pula seakan cuba menyembunyikan berita ini daripada pengetahuan umum kerana ia membabitkan jumlah tebusan rakyat Malaysia yang ramai, mereka cuma memaklumkan bahawa rundingan sedang dijalankan bagi membebaskan tebusan tersebut sekaligus mengambarkan kepada kita perkara ini tidak begitu serius.Lebih memeranjatkan lagi sepuluh hari kemudian iaitu pada 29 Ogos, sebuah lagi kapal MISC, Bunga Melati 5 dengan 41 anak kapal iaitu 36 rakyat Malaysia dan lima warga Filipina pula dirampas di perairan sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.Ini menjadikan dua buah kapal milik MISC telah ditawan dan melibatkan 80 anak kapal iaitu 65 rakyat Malaysia serta 15 rakyat Filipina termasuk seorang yang telah terbunuh. Setakat ini dilaporkan semua anak kapal itu berada dalam keadaan selamat namun tidak dapat dipastikan apakah keselamatan mereka terjamin atau tidak.
Persoalannya sekarang kenapa MISC tidak mengambil satu langkah yang dapat menjamin keselamatan anak kapalnya setelah kapal yang pertama dirampas dengan menyelesaikannya secepat mungkin. Sebaliknya mereka membiarkan berlarutan selama 10 hari sehingga menyebabkan satu kapal lagi dirampas.Adakah MISC merasakan bahawa RM10 juta yang dituntut oleh perampas itu lebih berharga daripada nyawa anak-anak kapal ?Saya bukan nak menyalahkan MISC dalam hal ini tapi ingin berkongsi pengalaman kepada semua orang bahawa MISC acapkali dilihat meletakkan atau mempertaruhkan nyawa anak-anak kapalnya dalam keadaan yang terlalu berisiko tinggi bagi mengaut keuntungan semata-mata.Saya sendiri sebagai seorang bekas pelaut pernah mengalami suatu keadaan yang begitu merbahaya di antara hidup dan mati di mana kapal kontena MISC Bunga Mas rosak di tengah lautan Hindi selama 4 atau 5 hari ketika perjalanan dari Pasir Gudang ke Colombo, Sri Lanka.Padahal kapal tersebut baru sahaja dibaiki di limbungan kapal Sembawang, Singapura, selepas diperiksa rupanya ketika dilimbungan alat ganti yang ditukarkan ialah dari jenis 'second-hand' bagi menjimatkan kos, patutlah enjinnya rosak ditengah jalan.
Nasib baik ketika itu bukan musim ribut tetapi risiko ke dua yang kami hadapi ialah kapal itu terumbang-ambing hanyut tanpa kawalan. Jika hanyut ke timur tibalah Indonesia, jika hanyut ke barat sampailah ke benua Afrika, kalau ke utara mungkin ke Myammar dan kalaulah hanyut ke selatan terdampar ke antartika lah kami.Sekiranya kapal kami tidak bergerak ke mana-mana pula, maka risikonya ialah bakal dilanggar oleh kapal lain jika mereka gagal mengesan kapal kami. MISC hanya menghantar alat ganti yang diperlukan setelah 4 hari kami hanyut melalui kapalnya yang lain kerana kebetulan memang melalui laluan itu Teluk Aden seperti yang dimaklumi oleh semua orang yang terlibat dengan aktiviti maritim adalah merupakan kawasan perlanunan kategori kelas pertama. Kebanyakkan syarikat perkapalan antarabangsa yang lain tidak mahu mengambil risiko untuk melalui laluan tersebut kerana mereka sedar bahaya yang dihadapi.
Seterusnya menjadikan sewa menggunakan perkhidmatan perkapalan menjadi tinggi, ini sebenarnya yang dikejar MISC tanpa memperdulikan risiko kepada anak kapal.Dato' Seri Najib Tun Razak juga mengakuinya apabila berkata MISC perlu mencari jalan lain memandangkan Teluk Aden merupakan kawasan perairan yang banyak dipenuhi dengan lanun dan beberapa kapal dari negara lain juga telah dirampas sebelum ini.Kerajaan juga katanya, telah menghantar kapal Tentera Laut Diraja Malaysia dengan pasukan komando ke Teluk Aden berhampiran perairan Somalia dan Yemen bagi melindungi empat buah kapal MISC di kawasan tersebut.Kita mengucapkan syabas ke atas keprihatinan kerajaan itu namun ianya agak terlewat kerana sudah dua buah kapal beserta 80 anak kapal ditawan.
Kenapa kerajaan tidak bertindak begitu ketika kapal pertama dirampas atau sepatutnya kerajaan mengeluarkan larangan kepada MISC daripada menggunakan laluan itu sebelum kapal pertama dirampas lagi kerana laluan tersebut telah masyhur dengan aktiviti perlanunannya.Mana perginya Menteri Luar Negeri yang pandai bercakap itu kenapa hanya membisu diam seribu bahasa sahaja dalam isu ini? Adakah isu ini tiada kaitan dengan tugas beliau yang antara lain memastikan hubungan luar negara berjalan licin dan menyelesaikan serta menjamin keselamatan rakyat Malaysia ketika berada diluar negara atau bagi beliau sekadar untuk melancong sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan