30 Mei 2009

MENYALAK MACAM ANJING ??

MOSCOW: Seorang budak perempuan berusia lima tahun di Russia didapati berkelakuan seperti anjing dan menyalak serta menjilat makanan ketika dia ditemui pegawai perlindungan kanak-kanak di sini baru-baru ini.

Dia juga lebih banyak menjalin hubungan dengan haiwan daripada manusia.Budak perempuan itu ditemui di sebuah apartmen kotor dan tinggal bersama bapa dan datuk neneknya di samping beberapa ekor anjing dan kucing, kata polis di Chita, sebuah bandar di timur Siberia.

Budak itu yang dikenali dengan nama Natasha tidak dibenarkan keluar dan tidak belajar bercakap tapi sebaliknya berkomunikasi dengan menyalak.Ketika ditemui pegawai perlindungan kanak-kanak, budak perempuan yang tidak mandi itu berpakaian kotor dan 'beraksi terhadap manusia seperti seekor anjing'.Kenyataan polis itu menggelar budak itu 'Mowgli', mengambil sempena watak yang membesar di kalangan serigala dalam buku kanak-kanak hasil karya Rudyard Kipling.

'Pemilik flat itu jarang sekali membenarkan sesiapa masuk ke apartmen itu dan mereka sendiri membawa haiwan peliharaan berjalan-jalan dan cuba mengelakkan menemui jiran.

'Selama bertahun-tahun, budak perempuan itu menguasai bahasa haiwan saja,' kata kenyataan polis.'Selama kira-kira lima tahun budak perempuan itu dibesarkan oleh beberapa anjing dan kucing dan tidak pernah sekali pun keluar,' tambah kenyataan itu.

Kini dia ditempatkan di pusat penjagaan dan diberi rawatan perubatan dan psikiatri.Dia 'masih melompat ke pintu dan menyalak' setiap kali kakitangan pusat berkenaan keluar.Polis berkata mereka bercadang memulakan siasatan jenayah berkaitan tuduhan penderaan.Pemeriksaan kesihatan yang dijalankan ke atas Natasha menunjukkan dia sihat.Pada Mac lalu, Presiden Russia, Encik Dmitry Medvedev, menggesa tindakan diambil ke atas penderaan kanak-kanak dan menyatakan 760,000 kanak-kanak kini tinggal dalam 'keadaan membahayakan dari segi sosial'.

sumber: Berita Harian Singapura

Tiada ulasan: