30 Mei 2009

ULAMA, KARYAWAN, AKTIVIS SALING DIPERLUKAN PAS

KUALA LUMPUR: Ulama masih menjadi teras kepada kekuatan Parti Islam SeMalaysia (PAS), manakala para karyawan dan para aktivisnya pula masing-masing bak tiang seri dan paksi perjuangan parti itu, kata Mantan Ketua Pemuda PAS, YB Salahuddin Ayub.

'Salah satu patah, PAS akan tumbang. Bermakna janganlah kita terheret kepada permainan musuh untuk memisahkan kita,' kata Yb Salahuddin, yang bakal mengakhiri khidmat rasminya pada Muktamar Jun depan, berhubung kekuatan PAS dalam menghadapi cabaran masa depan.

Beliau, yang ditukil satu laporan laman berita Harakahdaily.net semalam, berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sudah menjelaskan dalam ucapan akhirnya di seminar Jubli Perak Ulama di Taman Mewar baru-baru ini bahawa tidak ada dikotomi antara ulama dan bukan ulama.

'Saya percaya dan yakin, kepimpinan ulama mesti terus dan diperlukan dalam parti. Dikotomi itu tidak perlu wujud.

'Insya-Allah PAS akan kukuh, dan tidak ada sesiapa dalam PAS yang akan melakukan kerja-kerja jahil untuk meminggirkan kepimpinan ulama ini,' katanya dalam satu wawancara bersama akhbar Harakah di pejabat media itu kelmarin.

Beliau juga berharap anasir tidak sihat yang dimainkan 'musuh' parti itu tidak menular dan mahu Pemuda PAS terus tampil sebagai wadah yang mempunyai agenda, gagasan dan idealisme segar untuk terus berada di hati rakyat pelbagai lapisan di Malaysia, di samping membela isu rakyat dan masalah sejagat.

'Jangan rosakkan Pemuda PAS dengan panggilan dan label-label yang dilemparkan oleh musuh kita tetapi tampil dengan pemikiran yang segar, kuat dan kontemporari,' katanya, yang juga merupakan Ahli Parlimen (AP) Kubang Kerian, Kelantan.

Sementara itu, dalam satu perkembangan berasingan, PAS Kelantan berkata ia sedang meneliti kriteria bakal calonnya bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dalam pilihan raya kecil pada 14 Julai ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Yb Abdul Fatah Harun, memberitahu Bernama semalam bahawa pucuk pimpinan parti itu akan memutuskan secara rasmi calon yang bakal bertanding selepas menerima pandangan daripada peringkat kawasan, negeri dan pusat.

Tiada ulasan: