Bagi memahami Islam dalam perjuangannya hari ini kita harus menyusun beberapa kategori penyataan Islam yang dapat dilihat dalam masyarakat. Ada tiga kategori Islam dimanifestasikan dalam perjuangannya hari ini dan setiap kategori memberi implikasinya tersendiri kepada tanggapan kedudukan Islam dalam arus transformasi negara hari ini.
i) Islam dalam wacana intelektual yang sarat dengan idealisme konsepsual dan teori
ii) Islam dalam realiti amalan praktikal umat Islam yang jurangnya jauh dengan wacana intelektual
iii) Islam dalam bentuk inisiatif gerakan perubahan sosial-politik yang bersifat praktikal bagi menggarap antara idealisme dan praktikal
Saya akan huraikan ketiga-tiga kategori dan kesannya kepada kedudukan Islam dalam kerangka negara hari ini.
1. Islam Dalam Wacana Intelektual
Sejak dari zaman kegemilangan tamadun Islam, wacana intelektual menjadi mercu tanda kehebatan Islam kerana kecemerlangan ilmu adalah merupakan antara tuntutan dalam ajaran Islam. Bermula kecemerlangan ilmu ialah pada kurun awal hijrah di mana perkembangan Islam ke dalam masyarakat bukan Arab menuntut para ilmuan menyusun dan mengumpulkan tatabahasa bermula dari ilmu fonetik (suara dan tajwid) hinggalah ke tatabahasa. Asas keperluan ini ialah Al Quran di mana mereka yang bukan berlidah Arab perlu memahami Al Quran dalam bahasa Arab, maka ilmu bahasa adalah merupakan bidang pertama yang diterokai oleh para ilmuan Islam.
Menyusuli keperluan ilmu ialah pengumpulan hadis-hadis yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammada s.a.w. kepada para sahabat yang pada penghujung zaman mereka merasakan perlu diwariskan pengumpulan hadis-hadis ini kepada generasi tabieen supaya tidak hilang pesanan-pesanan nabi kepada umat Islam. Kecermelangan ilmu berkembang pesat dengan adanya usaha penterjemahan karya falsafah Greek dan Farsi serta Rom yang mula mempengaruhi falsafah Islam. Konflik asas falsafah tauhid dan logik Greek telah melahirkan dua arus falsafah yang mencorak pemikiran intelektual Islam pada zaman itu sehingga perbalahan antara dua aliran falsafah Islam ini melahirkan debat agung antara pemuka-pemuka ilmuan zaman itu. Tidak dinafikan ada unsur-unsur penyusupan masuk falsafah Greek melalui usaha penterjemahan waktu itu tetapi ada di antara para ilmuan Islam telah berjaya memelihara ketulenan unsur falsafah Islam dengan meneliti apakah nilai-nilai yang boleh diambil dan diceduk dan nilai-nilai yang perlu ditolak. Tidak dapat dinafikan juga disebalik asas ilmu wahyu yang menjadi tunggak prasarana ilmu Islam tertegak, pendekatan-pendekatan logik Greek yang berhujah dengan kekuatan akal dan minda mula membentuk ilmu mantiq yang dipakai dalam pendekatan huraian hujahan ilmiyah.
Peranan istana khalifah dalam memberi geran kepada para ilmuan dan mewakafkan harta mereka untuk membina Baitul Hikmah di Baghdad dan Universiti Al Azhar di Mesir dan Zaituniyah di Tunis menyemarakkan lagi kecemerlangan ilmu dalam peradaban Islam. Peninggalan khazanah ilmu yang sebahagiannya masih tersimpan di Eropah semasa era penjajahan ke atas dunia Islam telah menjadikan umat Islam sebagai umat yang paling kaya dengan ilmu. Warisan ini terus kekal terpelihara dan perjuangan Islam hari ini mengambil sumber keintelektualannya dari khazanah ini.
Oleh kerana besarnya implikasi kecemerlangan tamadun Islam, ia menjadi sebahagian daripada kekuatan umat Islam hari ini di mana medannya ialah debat intelektual yang membentuk satu arus yang kuat mempertahankan kecurigaan-kecurigaan kepada konsep Islam. Ia menjadi medan tersendiri bagi bagi berdepan dengan kelompok intelektual sekular liberal mahupun kelompok Islam radikal kerana asas wacana intelektual bersifat bebas dari kekangan sentimen dan hanya bercakap dalam bahasa fakta yang empirikal.
Ia satu medan perjuangan Islam kerana medan ini jika gagal dipertahankan maka prasana ilmu intelektual Islam akan terdedah kepada kepincangan dan sekaligus berpotensi mempertikaikan sistem Islam secara praktikal. Kekuatan medan ini ialah kekuatan hujah yang boleh memberi keyakinan kepada orang ramai untuk menerima sistem Islam atau apa sahaja cabang Islam yang dipertikaikan dan diperdebatkan.
Medan ini juga mengurangkan jurang antara Islam dan agama-agama lain kerana medan ini berupaya membuat penjelasan dari kekeliruan-kekeliruan yang berlaku, hasilnya dialog tamadun dapat diusahakan. Walaupun kategori intelektual ini dilihat terlalu eksklusif namun ia mampu memberi isyarat yang positif kepada dua kategori lain yang turut beroperasi mempamer dan memperagakan Islam dalam kehidupan praktikal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan