16 Mei 2010

KERAJAAN PERLU JAGA KEBAJIKAN GURU

Rakaman penghargaan dan tahniah ditujukan kepada para guru sekalian diatas kesungguhan dedikasi yang selama ini telah curahkan dengan penuh kesabaran dan keprihatinan dalam usaha membentuk kecemerlangan akademik dan keperibadian sahsiah anak murid sekolah masing-masing. Bersesuaian dengan tema tahun ini ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, diharapkan semua guru budiman berterusan gigih meningkatkan khidmat pengajaran dan pendidikan yang telah dibuktikan berkualiti serta berjaya dengan ribuan murid lepasan sekolah menjadi warga Malaysia cerdik dan berakhlak.

Sebagai tanda sokongan moral atas jasa dan budi kepada guru-guru, saya berbesar hati sudi dan sedia mendengar pandangan para guru sekalian sekiranya ada sebarang permasalahan yang boleh diusahakan berkaitan dalam membantu menaikkan taraf keperluan martabat dan kebajikan para guru mahupun prestasi pembelajaran anak murid sekolah.

Berhubung dengan pengumuman Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyidin Yassin bahawa akan diumumkan sebuah dasar baru yang dikatakan komprehensif untuk para guru sempena hari guru di Pahang nanti, diharapkan ianya secara telus akan membela kebajikan para guru dan kakitangan institusi sekolah yang selama ini dilihat diabaikan. Adalah mengecewakan sekiranya dasar tersebut diumumkan semata-mata menarik undi dengan berlangsungnya kempen pilihanraya kecil kerusi Parlimen Sibu ketika ini. Masyarakat juga berharap dasar yang akan menyentuh skim kenaikan pangkat, elaun dan manfaat yang berkaitan adalah setimpal dengan dedikasi tugasan para guru terutamanya dengan bebanan kos sara hidup yang telah meningkat drastik.

Kerajaan terutamanya pihak Menteri Pelajaran tidak boleh menutup sebelah mata terhadap permasalahan keselesaan pengajaran para guru dan pembelajaran murid sekolah yang masih lagi belum diselesaikan. Sepertimana yang diumumkan oleh Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri, keberhasilan pendidikan Malaysia kini telah ketinggalan berbanding negara-negara seperti Singapura, Hong Kong dan Korea. Malahan pendidikan asas seperti pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah (KSPK) bermula Januari 2010 yang sepatutnya dibangunkan dengan kerjasama agensi swasta juga belum memperlihatkan implementasi yang serius dan teratur.

Sekian,terima kasih.

SELAMAT HARI GURU.
Y.B. Tian Chua
Ahli Parlimen Batu

Tiada ulasan: