15 Jun 2010

KALAU STADIUM BOLEH RUNTUH INIKAN LOJI NUKLEAR

Menteri Tenaga, Teknologi hijau dan Air, Datuk Peter Chin, hari ini diasak berhubung keupayaan kerajaan menjamin keselamatan orang awam sekiranya negara meneruskan hasratnya menubuhkan sebuah loji tenaga nuklear.

"Bagaimana kita pastikan stesen nuklear itu akan selamat, sedangkan stadium, masjid dan stesen bas yang kita bina juga runtuh?” soal ahli parlimen Bagan, Lim Guan Eng ketika sessi soal jawap di Dewan Rakyat.

Selain langkah-langkah keselamatan, Lim juga mendesak Chin supaya menjelaskan mengapa kerajaan tidak sebaliknya mengkaji kemungkin menggunakan sumber tenaga lain yang boleh diperbaharui.

Lim juga ingin tahu kos loji nuklear yang bakal diwujudkan pada 2021, lokasi dan impaknya kepada kawasan sekitar, serta langkah keselamatan dan kaedah pembersihan sisa nuklear yang akan dipraktikkan.

Mengenai lokasi, Chin berkata janakuasa itu dijangka dibina di Semenanjung berdasarkan permintaan elektrik yang tinggi di kawasan tersebut pasca 2020.

Bagaimanapun lokasi tepat bagi membina loji nuklear tersebut belum ditentukan, katanya.

Beliau berkata kerajaan akan mengguna pakai piawaian antarabangsa bagi menentukan lokasi loji janakuasa itu dengan mengambil kira ciri-ciri seperti kepadatan penduduk, alam sekitar dan keadaan geogologi.

Selain itu katanya, kerajaan juga akan menggunakan khidmat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam memastikan peraturan berkaitan keselamatan loji dipatuhi jika ia dibina di negara ini.

"Justeru lesen tapak loji berkenaan hanya akan dikeluarkan setelah semua kajian dilakukan termasuk penilaian kesan alam sekitar dan radiasi," katanya.

Chin juga berkata rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan aspek keselamatan loji janakuasa nuklear memandangkan pelbagai proses penambahbaikan telah dilakukan kepada teknologi itu pada masa ini.

"Ia termasuk kebolehan menghentikan tugas rektor nuklear dalam masa yang cukup pantas iaitu dalam tempoh beberapa saat sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini," kata beliau.


Tiada ulasan: