Memaparkan catatan dengan label MINYAK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MINYAK. Papar semua catatan

06 Jun 2008

Hampir 2/3 gaji sebahagian rakyat dibelanja untuk petrol

Adnan Ibrahim
Mampukah rakyat Malaysia berbelanja RM900 sebulan untuk petrol? Gaya hidup apakah lagi yang perlu diubah oleh rakyat setelah dinasihatkan pemimpin kerajaan supaya berjimat cermat dengan kenaikan harga minyak dua tahun lalu dan kenaikan harga beras, tepung dan barang keperluan lain? Rakyat sudah mengambil langkah berjimat dan kini sebahagian subsidi petroleum dikorbankan untuk kononnya membantu kerajaan membangunkan negara.

Soalnya, apakah pula pengorbanan pemimpin? Setelah rakyat disuruh merobah gaya hidup, para pemimpin terus hidup senang-lenang. Di mana slogan "Kepimpinan Melalui Teladan"? Bersediakah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota kabinet memotong elaun mereka sebagai timbal balas kerajaan menyuruh rakyat mengubah cara hidup. Terdapat cadangan yang disuarakan rakyat dihantar dan disiarkan stesen televisyen swasta minta 70 peratus elaun menteri dipotong. Apakah perasaan Abdullah?

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Samad mengumumkan harga petrol mungkin mengikut pasaran global. Shahril melontar pandangan bahawa harga minyak tinggi kerana ia diapung mengikut pasaran semasa. Taktik yang sama juga digunakan bekas Menteri Keja Raya yang menjaga tol, Dato' Seri S Samy Vellu. Shahril juga membayangkan minyak akan naik pada Ogos ini. Tiba-tiba esoknya Abdullah umumkan kenaikan harga petrol kepada RM2.70. Mungkin itu juga mendorong rakyat menganggap kerajaan menipu dalam program isu semasa RTM1.

Dalam rancangan Hujah yang disiar televisyen swasta baru-baru ini, rakyat diingatkan agar tidak lagi bergantung kepada tongkat (subsidi). Maksudnya, subsidi minyak kena dihapus. Siapa mereka yang beriya-riya hendak menghapuskan subsidi bahan bakar? Mereka ini golongan berpendapatan RM10 ribu ke atas sebulan. Berapakah harga minyak jika mengikut pasaran global? Contoh terdekat negara yang mengikut harga pasaran tersebut iaitu Singapura. Petrolnya berharga RM5.20 seliter dan diesel RM4.33. Bersediakah rakyat Malaysia membayar petrol RM5.20 seliter dan diesel RM4.33 mengikut harga apung di Singapura untuk menghidupkan kenderaan mereka? Kebiasaannya seliter minyak belum lagi mampu menghidup enjin kereta.

Jika selama ini rakyat Malaysia berbelanja RM10 sehari untuk petrol bagi berulang alik ke tempat kerja, sebaliknya harga pasaran global menyebabkan pengguna perlu menyediakan RM30. Sebulan RM900 bermakna ia telah menghapuskan sebahagian besar perbelanjaan sara hidup mereka. Timbul pertanyaan, kenapa rakyat Singapura masih boleh hidup dengan harga minyak setinggi itu? Jawapannya ialah pendapatan per kapita rakyat Singapura adalah RM106,000 (AS$30,810) setahun berbanding rakyat Malaysia yang hanya RM21,500 (AS$6,244). Ianya lima kali ganda berbanding pendapatan per kapita rakyat Malaysia.

Purata rakyat Singapura berpendapatan lebih RM7,500 sebulan berbanding rakyat Malaysia RM1,500. Bermakna rakyat Singapura tidak bermasalah membelanjakan RM900 sebulan untuk petrol. Sebaliknya cuba bayangkan rakyat Malaysia berbelanja RM900 sebulan untuk petrol dan bakinya hanya RM600 yang tinggal untuk perbelanjaan mengurus rumahtangga. Bagaimana dengan bayaran ansuran kereta terpakai mereka dan rumah serta perbelanjaan persekolahan anak-anak. Matangkah kepimpinan kerajaan untuk membiarkan petrol dan diesel di bawah kawalan pasaran semasa yang hanya meletakkan bebanan kepada rakyat?

Bandingkan pula pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan Korea Selatan dan Taiwan. Penduduk Korea Selatan sekarang berjumlah 40 juta, sementara Taiwan 21 juta. Pada era 1970-an rakyat kedua-dua negara ini lebih miskin berbanding rakyat Malaysia. Tetapi pada hari ini pendapatan per kapita rakyat Korea Selatan adalah AS$19,200 (RM66,000), sementara Taiwan pula AS$15,700 (RM52,300). Iaitu dua atau tiga kali ganda berbanding rakyat Malaysia. Kenapa kerajaan BN langsung tidak ada pertimbangan terhadap rakyat mereka? Rakyat ingin berteduh dan merasai nikmat kesenangan di bawah naungan pemimpin sebaliknya ditindas dan hidup dalam kesusahan. Kerajaan tidak ada program berkesan untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat. Pengangguran tidak dapat dibasmi. Tiba-tiba rakyat dibebankan lagi dengan harga minyak yang cukup tinggi. Seolah-olah rakyat Malaysia tinggal dalam negara bukan pengeluar minyak. Kata para ulama: "Tidak sama orang kaya yang bercakap mengenai kemiskinan dihadapan orang miskin."
Pemimpin datang bercakap soal kemiskinan kemudian pulang dengan kemewahan, sedangkan hadirin yang datang dengan kemiskinan pulang dengan kemiskinan. Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali pernah menimbulkan masalah jurang pendapatan golongan kaya dengan orang miskin yang semakin melebar di bawah kekuasaan BN. Pada masa Malaysia menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen dua tahun lalu, pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah sebaliknya mengarahkan harga petrol di negara itu dikurangkan sehingga lebih daripada 30 peratus; iaitu daripada 90 halala (90 sen) kepada 60 halala (60 sen) seliter.
"Bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan untuk kebaikan awam, kami mengarah harga seliter minyak petrol untuk pengguna diubah kepada 60 halala berbanding 90 halala," kata Dikri Diraja.
Itulah nikmat rakyat Arab Saudi berada dalam negara pengeluar minyak tetapi apa yang rakyat Malaysia perolehi dan nikmati hasil petroleum negara? Adilkah kerajaan kepada rakyat apabila tidak menjawab malah membisu berhubung pertanyaan ke mana pergi RM500 bilion duit keuntungan Petronas yang hilang? Perdana Menteri perlu memberi penjelasan kerana beliau bertanggungjawab kepada Petronas yang penyata kewangannya tidak perlu dibentangkan di Parlimen.

Audit Petronas tidak pernah dibentangkan secara rasmi. Ini menyebabkan Petronas menduduki tangga tercorot daripada 15 syarikat minyak dan gas dunia dalam satu kajian 'World's Most Sustainable And Ethical Companies'. Kajian ini dijalankan oleh Management and Excellant, syarikat perunding gas dan minyak di Sepanyol. Dalam kajian itu, Petronas mendapat markah 20.15% berbanding Shell 89.01%.-

Menteri 'memujuk' supaya rakyat tidak 'naik minyak'...

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Hrkh) - Segelintir menteri sering kali mengelabui mata rakyat dengan pelbagai kata-kata 'pemujuk' dan saranan demi menjustifikasikan kenaikan harga minyak walaupun realitinya menyesakkan masyarakat terutama di kala beban kos sara hidup semakin tinggi kini. Setiap kali kenaikan harga bakar, para pemimpin akan menggunakan ayat-ayat 'standard' untuk melembut hati rakyat yang mana kata-kata dan kenyataan mereka itu, semakin memedihkan hati dan perasaan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan yang terbeban dengan kenaikan tersebut :-

1. Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi :"Tak payahlah berdemonstrasi...ini tindakan yang tidak popular. Semua tindakan kerajaan tidak akan memuaskan hati semua pihak"

2.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad ketika ditemuramah Tv3 :"Tidak akan berlaku kenaikan harga barang keperluan sebab kita sudah beri 'fleet card' ...kita juga sudah beri subsidi makanan.."

3.Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak :?Rakyat hendaklah mengubah gaya hidup dan belanja secara berhemah?

4.Dato' Seri Rafidah Aziz sewaktu menjadi Menteri Industri dan Antarabangsa :"Mana ada kerajaan seperti ini (kerajaan Malaysia), masih menanggung subsidi petrol dan gas, walaupun harga bahan api itu telah meningkat.

Selain itu antara ayat bagi menyedapkan hati rakyat dan cuba 'mengeksploitasikan' minda rakyat yang kabur, kerajaan lazimnya akan mengeluarkan kenyataan seumpama ini :-

1. Kenaikan minyak masih rendah berbanding mana-mana pun negara Asean.
2. Kerajaan akan pastikan kenaikan tidak membebankan.
3. Kerajaan tidak mampu lagi menampung subsidi.
4. Kerajaan memberi jaminan harga runcit petroleum tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini.

Sekadar mencoret untuk tatapan umum, betapa selama ini harga minyak mengalami kenaikan yang semakin mendadak dan tidak ketahui sampai bila rakyat sanggup bertahan dengan situasi ini apabila melihat dan mendapat kesan kenaikannya selama hampir 18 tahun :-
(dalam masa 16 tahun - sejak 1990)

1.sebelum tahun 1990 - RM 0.89
2.tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)
3.01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)
4.20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
5.01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)
6.31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
7.01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)
8.01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
9.01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)
10.05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
11.31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM 0.10)
12.28/02/2006 - RM 1.92 (kenaikan RM 0.30)
13. 4/06/2008 - RM2.70 (kenaikan RM0.78)

Berdasarkan maklumat berikut adalah perbandingan harga minyak Malaysia berbanding negara luar:-
UAE? RM1.19/liter
Eygpt? RM1.03/liter
Bahrain? RM0.87/liter
Qatar? RM0.68/liter
Kuwait? RM0.67/liter
Saudi Arabia? RM0.38/liter
Iran? RM0.35/liter
Nigeria? RM0.32/liter
Turkmenistan? RM0.25/liter
MALAYSIA? RM2.70/liter

Sebelum ini Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim membantah keras sikap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terus mengabaikan tanggung jawab dan membebankan rakyat berikutan kenaikan harga bahan bakar yang diumumkan semalam. "Saya ulangi pendirian saya dan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak dan meletakkan asas ekonomi manusiawi," katanya dalam satu kenyataan media. Semoga pendirian beliau dan pemimpin Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP dapat meredakan kegelisahan rakyat sekiranya Pakatan berpeluang memerintah negara.

Minyak: Alasan kerajaan tidak relevan - KeADILan

Salmiyah Harun
Thu | Jun 05, 08 | 2:57:12 pm MYT

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Pengumuman Kerajaan ke atas kenaikan 40% harga minyak amat mengecewakan seluruh rakyat sehingga mereka berasa tertipu kononnya kerajaan simpati dengan beban yang ditanggung rakyat di atas kenaikan harga barang.Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan kerajaan menaikkan harga minyak ini pasti akan melonjakkan lagi harga barang tanpa mampu dibendung dan ditanggung rakyat.Katanya, alasan basi kerajaan bahawa kenaikan tersebut adalah akibat kenaikan harga minyak mentah dunia dan kerajaan terlalu terbeban dengan subsidi, tidak dapat diterima rakyat.Tambahnya, bukan setakat itu sahaja kenyataan bercanggah beberapa menteri berkenaan jumlah subsidi minyak banyak menimbulkan persoalan.

Tegasnya, Dato' Shahrir Samad baru-baru ini mengatakan subsidi minyak adalah sebanyak RM56 billion manakala semalam Tan Sri Nor Mohamad Yakcop mengatakan subsidi minyak sekadar RM28 billion.Apatah lagi katanya, menurut Laporan Kewangan Kerajaan 2007, anggaran keseluruhan subsidi 2007 adalah RM12.0 billion, justeru, rakyat menganggarkan bahawa jumlah subsidi petrol adalah hanya sekitar RM8-10 billion.Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat berkata, rakyat dimaklumkan bahawa kos explorasi syarikat minyak hanyalah sekitar USD30 setong berbanding harga minyak mentah USD130 setong.
"Ini bermakna margin syarikat pengeluar minyak hampir USD100 setong dan syarikat pengeluar minyak ini mendapat keuntungn luar biasa sejak tiga tahun kebelakangan," katanya dalam satu kenyataan.Persoalannya tegas beliau, kenapakah kerajaan tidak mengenakan cukai ke atas keuntungan luar biasa syarikat pengeluar minyak tetapi memilih untuk menaikkan harga petrol dan membebankan rakyat?"Kami yakin harga petrol RM1.92 seliter bukan sahaja boleh dikekalkan malah boleh diturunkan jika kerajaan mengenakan cukai ke atas keuntungan luar biasa syarikat pengeluar minyak, syarikat pengeluar minyak kelapa sawit, syarikat pengeluar besi dan syarikat pengeluar simen bagi menampung kos subsidi. Kenapakah kepentingan syarikat-syarikat ini lebih diutamakan dan rakyat terus terbeban?" katanya.

Wan Azizah juga berkata, Malaysia adalah negara pengeksport minyak mentah, justeru harga petrol dalam negara perlu dibandingkan dengan negara-negara pengeksport minyak seperti UAE RM1.19 seliter, Mesir RM1.03 seliter, Kuwait RM0.67 seliter, Saudi Arabia RM0.38 seliter, Nigeria RM0.32 seliter dan Venezuela RM0.16 seliter.Katanya, membandingkan harga petrol dengan negara pengimport minyak seperti Singapura, Thailand dan Indonesia jelas menunjukkan sifat kedunguan."Kami menggesa kerajaan menimbangkan semula keputusan menaikkan harga petrol. Kerajaan seharusnya prihatin ke atas rakyat Malaysia yang rata-rata membelanjakan hampir 25% pendapatan mereka ke atas pengangkutan," tegasnya.Justeru, jelas beliau, setelah membayar cukai yang amat tinggi untuk membeli kenderaan dan membayar tol untuk melalui lebuh raya kini rakyat terpaksa pula membayar kos petrol yg begitu tinggi.

"Kita kesal kerajaan sanggup membelanjakan hampir RM40 billion untuk "double tracking railway project" yang menghubungkan Padang Besar-Johor Baru tetapi berdalih untuk membelanjakan RM13 hingga RM15 billion bagi subsidi petrol,", katanya."Kenapa tidak digunakan RM40 billion itu untuk membina lingkaran LRT yang komprehensif bagi membaiki sistem kenderaan awam sebagai usaha mengurangkan penggantungan kepada petrol?" jelasnya.

Auku, harga barang dan PTPTN antara punca mahasiswa tolak kerajaan

Intan Abdullah

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Kerajaan mengakui isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), kenaikan harga barang serta pinjaman PTPTN telah dikenal pasti menjadi faktor yang menyebabkan sebahagian mahasiswa tidak memberi sokongan kepada kerajaan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Idris Haron berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Senator Dato' Hajah Azizah Abd Samad berhubung senario mahasiswa yang tidak cenderung menyokong kerajaan di kampus."Saya tidak ingin mengambil satu keputusan yang tidak 'judgemental' dengan mengatakan pelajar-pelajar tidak memberikan sokongan kepada kerajaan, tetapi yang kelihatan pada kita kerajaan BN masih lagi mendapat pengaruh yang besar di peringkat Dewan Negara," ujarnya kepada sidang dewan.Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa antara isu yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) baru-baru ini, Auku, kenaikan harga barang dan masalah pinjaman PTPTN merupakan antara penyebab berlakunya penolakan kepada kerajaan BN."Untuk itu, antara cadangan yang diberikan MPPK adalah melakukan pindaan kepada Auku, di samping menyediakan kad diskaun pelajar bagi menampung kehidupan seharian di Institusi Pengajian Tinggi masing-masing," katanya lagi.Sungguhpun begitu ujarnya, mahasiswa masih lagi tidak bersetuju dengan penetapan 3 peratus caj perkhidmatan dalam pembayaran balik PTPTN bagi para graduan selepas menamatkan pengajian