Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan

06 Julai 2009

PEMUDA KEMBALI KE POSISI SEBENAR

Pemuda PAS dengan saf pimpinan barunya tidak mengambil masa yang lama untuk kembali berada di posisi menyerang dari asyik terperangkap dengan isu-isu yang sering membawa pandangan bahawa mereka sedang cuba berbaik dan berdamai dengan Umno.

Dalam satu mesejnya kepada The Malaysian Insider, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat telah menjanjikan komitmen pergerakannya untuk secara bersungguh-sungguh menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang selama ini menjadi tunjang cengkam dan perintah Kerajaan Umno dan Barisan Nasional.

Pemuda PAS juga, mengikut Nasrudin akan berjuang habis-habisan supaya akta drakonian warisan penjajah British ini akhirnya akan dihapus dan dimansuhkan.

Sehubungan dengan itu, Nasrudin dalam kenyataannya menyeru supaya seluruh kekuatan Pemuda PAS digerakkan bagi menjayakan demonstrasi raksasa yang berupa Sambutan Ulang Tahun ke-49 Perlaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini.

Sambutan yang telah dua kali tertangguh ini dirancang untuk diadakan di ibu kota Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2009 nanti. Penganjurannya adalah oleh GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) dengan kerjasama parti-parti politik termasuk PAS dan juga NGO-NGO.

Antara lain, demonstrasi ini adalah medan peringatan kepada Najib yang selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia telah berjanji untuk menyemak semula ISA, akta yang sejak sekian lama menjadi bahan kritikan oleh banyak pihak.

Malangnya sehingga kini tiada satu pun pengumuman atau langkah konkrit yang diambil Najib dalam menangani hal ini.

Demi menjayakan demonstrasi dan perayaan ini, Nasrudin di akhir kenyataannya meminta semua saluran penerangan PAS terutamanya ceramah, kuliah dan sesi pidato digunakan bagi menyebar luas maklumat tentangnya, supaya nanti hasrat untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 100,000 rakyat akan tercapai.

Perhimpunan besar-besaran terakhir yang pernah diadakan sebelum ini adalah himpunan Bersih dan bantahan terhadap PPSMI.

Adakah perhimpunan membantah ISA ini akan berjaya sebagaimana dua perhimpunan sebelum ini, masih terlalu awal untuk diperkatakan.

30 Mei 2009

ULAMA, KARYAWAN, AKTIVIS SALING DIPERLUKAN PAS

KUALA LUMPUR: Ulama masih menjadi teras kepada kekuatan Parti Islam SeMalaysia (PAS), manakala para karyawan dan para aktivisnya pula masing-masing bak tiang seri dan paksi perjuangan parti itu, kata Mantan Ketua Pemuda PAS, YB Salahuddin Ayub.

'Salah satu patah, PAS akan tumbang. Bermakna janganlah kita terheret kepada permainan musuh untuk memisahkan kita,' kata Yb Salahuddin, yang bakal mengakhiri khidmat rasminya pada Muktamar Jun depan, berhubung kekuatan PAS dalam menghadapi cabaran masa depan.

Beliau, yang ditukil satu laporan laman berita Harakahdaily.net semalam, berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sudah menjelaskan dalam ucapan akhirnya di seminar Jubli Perak Ulama di Taman Mewar baru-baru ini bahawa tidak ada dikotomi antara ulama dan bukan ulama.

'Saya percaya dan yakin, kepimpinan ulama mesti terus dan diperlukan dalam parti. Dikotomi itu tidak perlu wujud.

'Insya-Allah PAS akan kukuh, dan tidak ada sesiapa dalam PAS yang akan melakukan kerja-kerja jahil untuk meminggirkan kepimpinan ulama ini,' katanya dalam satu wawancara bersama akhbar Harakah di pejabat media itu kelmarin.

Beliau juga berharap anasir tidak sihat yang dimainkan 'musuh' parti itu tidak menular dan mahu Pemuda PAS terus tampil sebagai wadah yang mempunyai agenda, gagasan dan idealisme segar untuk terus berada di hati rakyat pelbagai lapisan di Malaysia, di samping membela isu rakyat dan masalah sejagat.

'Jangan rosakkan Pemuda PAS dengan panggilan dan label-label yang dilemparkan oleh musuh kita tetapi tampil dengan pemikiran yang segar, kuat dan kontemporari,' katanya, yang juga merupakan Ahli Parlimen (AP) Kubang Kerian, Kelantan.

Sementara itu, dalam satu perkembangan berasingan, PAS Kelantan berkata ia sedang meneliti kriteria bakal calonnya bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dalam pilihan raya kecil pada 14 Julai ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Yb Abdul Fatah Harun, memberitahu Bernama semalam bahawa pucuk pimpinan parti itu akan memutuskan secara rasmi calon yang bakal bertanding selepas menerima pandangan daripada peringkat kawasan, negeri dan pusat.

03 Ogos 2008

JOM GEGAR MELAKA !!!!!!!!!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.Dijemput ke Seminar Bloggers PAS Melaka. Segala butiran adalah seperti berikut :-
Tentatif program Seminar Bloggers PAS Negeri Melaka
Tarikh : 3 Ogos 2008
Hari : AhadMasa : 8.30 pagi - 1.00 petang
Tempat : Dewan Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka
Penglibatan : Semua yang berminat termasuk bloggers PAS Melaka
Sesi 1
8.30 - 9.00 pagi : Ketibaan para peserta
9.00 - 9.45 pagi : Kursus Asas Penulisan Oleh : Tuan Haji Roslan bin Hamid @ LanH (Harakah )
Pengarang Berita Kanan Harakah
9.45 - 10.00 pagi : Sesi soal jawab
10.00 - 10.15 pagi : Minum pagi
10.15 - 10.45 pagi : Bengkel 1Kendalian : Sdra Zaili bin Muhammad Imbiah Wartawan Harakah Negeri Melaka
Sesi 2
10.55 - 12.00 tghari : Kursus Asas Blog Oleh : Sdra GreenBoc ( Tranungkite Online )Pengendali
Radio TKO FM / Pemb. Web Master TranungKite
12.00 - 12.30 thari : Sesi soal jawab
12.30 - 12.45 thari : Perasmian penutup Oleh : Sdra Sofi bin Wahab( Ketua Penerangan PAS
Negeri Melaka )
Sebarang maklumat bolehlah hubungi saya sendiri Yuzi ( 0196291088 ) atau Hasbullah bin Pit ( 0196691975

24 Jun 2008

POST MORTEM DAH SIAP

Jawatankuasa Post Mortem Pilihanraya Umum ke-12 telah selesai menyiapkan laporannya dan telahpun dibentangkan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri semalam.Menurut Setiausaha Jawatan Kuasa Post Mortem, Baihaki Ismail, mereka telah mengkaji secara terperinci semua aspek yang membawa kepada kekalahan PAS Melaka pada pilihanraya umum lalu. "Kita telah menyediakan laporan lengkap tentang faktor-faktor kekalahan kita samada faktor dalaman, luaran dan sebagainya".

"Selain itu kita juga telah mencadangkan beberapa langkah bagi mengatasi punca-punca kekalahan kita agar ianya dapat dijadikan panduan untuk masa depan" ujar Baihaki lagi.Difahamkan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri semalam memperakukan laporan post mortem tersebut sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Post Mortem PAS Pusat yang akan melawat Melaka minggu ini

04 Jun 2008

GERAKAN ISLAM DI MALAYSIA TERUS UNGGUL DIPERSADA GLOBAL

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Hrkh) - Kemenangan PAS dalam pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu mendapat penghargaan, selain berjaya menyuntik semangat baru kepada pejuang Islam di seluruh dunia daripada wakil-wakil gerakan Islam antarabangsa. Penghargaan tersebut dinyatakan kepada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ketika beliau menghadiri Kongres Antarabangsa Gerakan Islam Sedunia, di Istanbul, 29 hingga 30 Mei lalu.
Ustaz Hadi turut diberi penghormatan menjadi tetamu kehormat kongres itu, selain memberikan ucapan di majlis pembukaan kongres yang dianjurkan Parti Saadet, pimpinan bekas Perdana Menteri Turki, Dr Necmettin Erbakan. Dalam ucapannya, Ustaz Hadi menyeru agar kongres kali ini memastikan ada tindakan susulan untuk melaksanakan resolusi-resolusi yang dicapai, di samping meminta agar keputusan-keputusan yang dibuat haruslah diteliti sepenuhnya dan mestilah praktikal. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Parti Saadet dan kepada Profesor Erbakan atas usaha gigih menganjurkan kongres tersebut setiap tahun yang membolehkan para pemimpin gerakan Islam bertemu dan berbincang dengan mendalam mengenai masa depan umat Islam secara global. Kongres kali ke-17 yang dipengerusikan pimpinan tertinggi Parti Saadet, Recai Kutan, itu bertujuan membincangkan bagaimana untuk membentuk satu 'world order' yang berteraskan kesejahteraan. Kongres kali ini diadakan di Istanbul sempena dengan sambutan 555 tahun penaklukan Istanbul oleh Sultan Al-Fatih, yang turut dihadiri ustaz Hadi pada majlis sambutan ulangtahun tersebut yang diadakan di Sakarya, sebuah bandar berhampiran Istanbul, pada 31 Mei lalu. Kongres tersebut turut dihadiri pemimpin tertinggi daripada gerakan Islam pelbagai negara termasuk Mesir, Arab Saudi, Bangladesh, Pakistan, Palestin, German, Finland, Kosova dan Montenegro.
Dalam lawatan kerja ini, Ustaz Hadi diiringi oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad, dan Ketua Pengarah Malaysia Think Tank London, Wan Saiful Wan Jan
KUALA LUMPUR 3 Jun - Seorang penganalisis politik meramalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat permohonan menyertai semula UMNO berikutan parti itu adalah satu-satunya wadah bagi membolehkan beliau mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.
Pengarah Institut Pengajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, tanda-tanda jelas perkara itu akan berlaku ialah dengan permohonan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor untuk menyertai UMNO baru-baru ini.Katanya, kemasukan bekas orang kuat Anwar itu tidak boleh dilihat sebagai 'Kuda Trojan' seperti disangka banyak pihak sebaliknya beliau adalah 'landasan kereta api' bagi membuka laluan untuk bekas Timbalan Perdana Menteri itu kembali kepada UMNO.

Kejutan''Saya tidak pasti sama ada ramalan ini akan menjadi kenyataan atau tidak tetapi semua orang tahu bahawa banyak kejutan sering berlaku di Malaysia sejak akhir-akhir ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Pembangunan Negara Bangsa dan Negara Etnik di Malaysia pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-22 di sini hari ini.Menurut Shamsul Amri, bukti bahawa Anwar masih berminat untuk kembali kepada UMNO jelas apabila beliau sehingga kini tidak pernah membuat permohonan menjadi ahli PKR walaupun beliau adalah Penasihat parti itu.Katanya, Anwar juga akan memilih UMNO kerana merasakan bahawa beliau hanya akan menjadi Perdana Menteri selama '25 minit' sekiranya dapat memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti menyertai pakatan pembangkang.''Perkara ini boleh berlaku kerana pakatan terbabit sebenarnya tidak kukuh dan terdapat kemungkinan Pas akan keluar dan bergerak bersendirian.''Kita juga harus ingat bahawa yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa untuk menolak pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri dan apa yang berlaku di Terengganu membuktikan kemungkinan ini tidak boleh diabaikan," ujarnya.

Tambah beliau, Anwar dijangka tidak menghadapi masalah untuk mendapat sokongan di kalangan ahli-ahli UMNO kerana beliau dilihat mempunyai pengaruh di peringkat antarabangsa.
''Sebelum ini terdapat jangkaan Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi sokongan terhadap beliau semakin berkurangan kerana dilihat terlalu banyak bersikap mendiamkan diri membabitkan isu-isu berkaitan perubahan kepimpinan negara," katanya.

30 Mei 2008

BANTAHAN TERHADAP PERLAKSANAAN PENDIDIKAN SEKS DALAM PROGRAM PLKN

Aiman Athirah Al Jundi

Dewan Muslimat PAS pusat membantah cadangan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Datuk Ng Yen Yen untuk memasukkan slot pendidikan seks kepada para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seperti yang telah dilaporkan oleh Utusan Malaysia (8 Mei 2008). Dewan Muslimat melihat cadangan tersebut dibuat dengan sikap ambil mudah dan seolah-olah melepaskan batuk di tangga kerana kementerian terbabit bersama Kementerian Pelajaran sewajarnya terlebih dahulu meletakkan dan menjelaskan kepada umum akan konsep, objektif dan mekanisme pendidikan seks itu sebelum mengambil tindakan bersifat "tangkap muat" kepada para pelatih PLKN dan seterusnya kepada generasi muda seluruhnya. Bahkan konsep, objektif dan mekanisma pendidikan seks tersebut mestilah dapat diterima serta mengambil kira pandangan semua kaum dan agama dalam negara ini kerana rakyat Malaysia beragama, beradab dan berbudaya luhur.
Konsep, objektif dan mekanisma itu nanti seeloknya juga dimuatkan dalam Dasar Sosial Negara (DSN) yang telah dilancarkan pada 19 Ogos 2003 kerana yang jelas wujud kelompangan sangat ketara dalam DSN meskipun telah lima tahun berlalu.Sehingga kini, Dewan Muslimat mengenal pasti bahawa pendapat dan pandangan daripada pelbagai pihak dan lapisan masyarakat belum lagi diambil kira bagi menghasilkan pengisian yang terbaik untuk program tersebut.

Pandangan dan perspektif Islam contohnya merupakan aspek yang sangat penting untuk diberikan perhatian agar agenda program tersebut dapat membuahkan hasil yang terbaik.Pendidikan seks dalam Islam ternyata berusaha menutup segala kemungkinan (yakni ruang dan peluang) ke arah hubungan seks terlarang (zina).Firman Allah dalam surah al-Isra’: 32 bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk."Manakala dalam an-Nur: 30-31 misalnya, Allah berfirman (maksud): "Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman - hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka... Katakanlah kepada wanita yang beriman - hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya..."Dewan Muslimat menyedari bahawa pendidikan seks telah menjadi salah satu isu yang hangat diperkatakan oleh semua lapisan masyarakat melibatkan masyarakat awam, kerajaan, ahli akademik dan lain-lain.Oleh sebab itu, topik berkaitan konsep, objektif dan mekanisma pendidikan seks merupakan aspek penting yang terlebih dahulu mesti dilumatkan dalam perbincangan kerana ia perlu difahami secara tuntas, jelas dan mendalam sebelum program tersebut dilaksanakan.

Semua itu merupakan asas dalam menentukan kerangka, hala tuju dan hala cara pelaksanaan program pendidikan tersebut.Turut perlu diberikan penekanan, kriteria guru yang akan dipertanggungjawabkan dalam pengajaran subjek pendidikan seks. Tentunya individu tersebut seseorang yang mesti terlatih, berilmu, berakhlak, bertanggungjawab dan santun dalam penyampaiannya.Jika dilihat pada perspektif agama, perbincangan tentang seks digalakkan selagi ia bermatlamatkan untuk mencari kebenaran dan sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah.Perbincanganan tersebut mestilah berlandaskan penafsiran ayat-ayat al-Quran, al-sunnah dan juga pandangan ilmuan Islam yang berautoriti sama ada dalam kalangan ilmuan lampau atau semasa.Hasil perbincangan tersebut sepatutnya mampu menghasilkan satu garis panduan jelas untuk menggubal Dasar Etika dan Adab berkaitan dengan kekeluargaan, seksualiti dan reproduksi yang bercirikan Islam, rahmatan lil ‘alaamin (rahmat kepada seluruh alam).Sehubungan dengan itu, Dewan Muslimat ingin mengingatkan kementerian pembangunan wanita bahawa Malaysia tidak wajar terbawa-bawa dan dibiarkan mengikut rentak atau acuan negara-negara Barat.Konsep yang digunakan oleh pihak Barat dalam pendidikan seks sudah ternyata gagal, kerana jelas generasi muda mereka dalam konteks pendidikan seks yang mereka amalkan - ibarat semakin dididik, semakin rosak!

Ia berlaku disebabkan mereka (generasi muda Barat) bukan diajar agar menjauhi zina tetapi dididik tentang peri pentingnya melakukan apa yang disebut oleh golongan liberal sebagai "seks aman dan sihat", agar tidak meninggalkan kesan yang negatif seperti mengandung anak luar nikah, menularnya penyakit kelamin dan seumpamanya termasuk AIDS dan HIV!

Beberapa penelitian sains sosial, misalnya yang dijalankan oleh John Hokins pada tahun 1982 lagi telah menemukan betapa lebih 80 peratus remaja di Amerika Syarikat contohnya sudah pernah terlibat dengan aktiviti seks (di luar nikah).Rumusan yang hampir sama telah diungkap oleh Marion Wright Elderman, presiden organisasi Children Defense Fund. Apakah generasi muda sebegitu yang mahu kita lahirkan daripada pelaksanaan subjek pendidikan seks yang bersifat "tangkap muat" dan "melepaskan batuk di tangga"?Lebih menimbulkan keraguan dan kerisauan kita, bila ia dicadangkan untuk dimasukkan menjadi satu slot atau barangkali modul baru bersempena adanya satu Program Latihan Khidmat Negara? Justeru, Dewan Muslimat mendesak agar menteri pembangunan wanita menjelaskan kepada kita apakah rasionalnya pihak kementeriannya mengusulkan cadangan ini kepada timbalan perdana menteri dan seterusnya kepada Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) atau Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN)?Adakah kementerian pembangunan wanita telah sekurang-kurangnya mengadakan kajian tentang keberkesanan cadangan tersebut sebelum ia diusulkan?Dewan Muslimat percaya, sangat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab apabila pihak kementerian bertindak mengemukakan cadangan tersebut dalam satu program yang jelas mempunyai visi dan misi yang khusus dalam konteks patriotisme seseorang remaja.

Apatah lagi umum mengetahui betapa modul-modul yang sedia ada dalam PLKN seperti modul fizikal, modul kenegaraan, modul pembinaan karektor dan modul khidmat komuniti sudah terlalu padat dan berat.Bukan setakat itu, kementerian wajar sedar dan mengambil iktibar daripada segala masalah yang telah timbul dalam PLKN sejak ia diperkenalkan pada 2004.Kekerapan pelbagai masalah bersilih ganti sepanjang tempoh pelaksanaannya seperti pergaduhan, gangguan seks, peras ugut, ragut, cabul, rogol, penyalahgunaan dadah, kes kehilangan pelatih dan yang paling malang, sehingga kini sejumlah 16 kematian pelatih direkodkan. Lebih merisaukan kita semua, khususnya ibu bapa, apabila subjek pendidikan seks tersebut dihidangkan kepada para remaja yang merupakan pelatih PLKN dalam keadaan mereka itu berjauhan daripada pemerhatian keluarga.Apatah lagi umum mengetahui betapa generasi muda ini khususnya yang meningkat remaja adalah satu kelompok yang ghairah untuk mencuba segala yang baru.Dapatkah kita membayangkan apakah yang akan berlaku nanti setelah mereka didedahkan dengan subjek pendidikan seks di tempat dan pada masa yang saya percaya sangat tidak sesuai? Justeru, Dewan Muslimat menegaskan bahawa PLKN bukanlah satu saluran hatta bukan juga satu tempat dan masa yang sesuai untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyelitmasukkan subjek atau modul pendidikan seks kepada para pelatih.Cadangan tersebut mesti ditarik balik dengan segera dan kementerian disaran terlebih dahulu menjelaskan kepada rakyat tentang Konsep, objektif dan mekanisma pendidikan seks yang mahu diterapkan dan diserapkan masuk kepada generasi muda negara kita.


Aiman Athirah Al Jundi ialah setiausaha Dewan Muslimat PAS.

SANGLANG DALAM PENANTIAN

KANGAR, 29 Mei (Hrkh) - Timbalan Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara, Dato' Kamaluddin Md Said yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau) mengakui bahawa SPR membuat kesilapan semasa mengumumkan keputusan pilihan raya 8 Mac lalu.Beliau berkata demikian ketika membuat ulasan ke atas bantahan awal yang dikemukakan calon BN, Abdullah Hassan ke atas petisyen pilihan raya Dun N.15 Sanglang yang dikemukakan oleh calon PAS, Ustaz Hashim Jasin di mahkamah pilihan raya yang bersidang di sini semalam."Kami mengakui bahawa berlakunya kesilapan. Berdasarkan Akta Peraturan dan Perjalanan Pilihan raya, sepatutnya calon yang memperolehi undi yang lebih diisytiharkan menang. Sebaliknya yang memperolehi undi yang kurang diisytiharkan menang," katanya ketika diminta oleh hakim pilihan raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani untuk memberikan komen berkaitan bantahan awal tersebut.Kamaluddin turut menyatakan bahawa pihak responden pertama (SPR) dan responden kedua (Mohammad Daud) tidak pernah mengarahkan peguam yang mewakili responden ketiga untuk mengetepikan mereka daripada petisyen tersebut.

Peguam yang mewakili responden ketiga, Jega Karuppiah semasa penghujahannya telah menyebut bahawa pihak pempetisyen tidak boleh meletakkan SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebagai responden dalam petisyen tersebut.Dalam petisyen ini, responden pertama dan kedua tidak mengemukakan sebarang bantahan."Saya berpendapat bahawa kes ini perlu dibicarakan," kata Kamaluddin.Terdahulu, Zainal Adzam menolak bantahan yang dikemukakan Ustaz Hashim ke atas bantahan awal Abdullah.Jega kemudiannya mengemukakan penghujahan panjang ke atas bantahan awal tersebut disusuli Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Ustaz Hashim.Mohamed Hanipa antara lainnya menyebut bantahan awal yang dikemukakan itu bersifat teknikal dan mengguna pakai peraturan lama yang telah dibuat pindaan serta memohon agar kes tersebut dibicarakan.Zainal Adzam kemudiannya menangguhkan persidangan mahkamah dengan memutuskan tarikh 4 Jun ini untuk beliau memberikan keputusan sama ada menerima bantahan awal tersebut atau meneruskan dengan perbicaraan.Selain Mohamed Hanipa, Ustaz Hashim turut diwakili oleh Zulmi Sabri dan Aqbal Shiffudin Adnan Sallehuddin.Kamaluddin pula dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan, Rozi Bainon dan Wan Roslan Wan Ismail manakala Jega pula dibantu oleh A. Albert Antonie.Petisyen ini difailkan oleh oleh Ustaz Hashim untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang dalam PRU pada 8 Mac lalu.Beliau yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut diisytiharkan kalah kepada Abdullah dengan majoriti 149 undi.Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi. -

KENYATAAN MEDIA DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT MENGENAI ISU PAKAIAN SEKOLAH

DMPP berpendapat bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia wajar memandang serius akan cadangan yang dikemukakan oleh PKPIM berhubung sistem pemakaian seragam pelajar-pelajar perempuan di sekolah. Sudah tentu keberanian mereka mengemukakan kritikan dan seterusnya cadangan itu adalah didorong oleh keyakinan mereka kepada agama dan nilai-nilai hidup Islam.Bahkan cadangan PKPIM itu wajar disambut dengan hikmah kebijaksanaan seorang menteri yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Adat dan budaya Melayu mengajar bangsanya agar berpakaian tidak menjolok mata, sopan dalam penampilannya dan santun dalam gerak langkahnya.Dicantikkan lagi dengan hadirnya Islam yang menganjurkan ummatnya menjaga batasan-batasan aurat. Justeru, apa jua tindakan menteri terbabit terhadap cadangan ini akan menjadi isyarat kepada generasi muda tentang pendirian Ketua Pemuda itu terhadap bangsa dan agamanya.Justeru, apakah salahnya Menteri Pelajaran, YB. Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersikap terbuka dengan cadangan PKPIM ini? Apa salahnya sekiranya PKPIM yang merupakan sebuah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (persatuan berdaftar) cuba mengambil sikap prihatin dan bertanggungjawab terhadap kelompok masyarakat mereka iaitu masyarakat pelajar?DMPP sedar bahawa pakaian bukanlah merupakan satu-satunya faktor terjadi dan seterusnya meningkatnya jenayah seksual. Ada banyak faktor yang terlibat bagi keadaan itu. Namun, DMPP menegaskan bahawa faktor pemakaian seseorang perempuan masih tergolong sebagai antara faktor pemangkin kepada berlaku dan meningkatnya jenayah tersebut. Justeru, bagi menghadapi apa jua krisis sosial dalam masyarakat termasuklah jenayah seksual misalnya, maka setiap faktor perlu dikenalpasti. Manakala tindakan bagi menangani krisis tersebut mesti dibuat dengan cara menanganinya satu persatu dan PKPIM sedang berusaha membantu kita bagi menangani punca masalah ini dengan mengambil tanggungjawab ke atas faktor pakaian.

DMPP percaya bahawa adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak melenting terhadap cadangan PKPIM ini. Mengapa perlu setiap kali kita bicara soal pakaian maka kelihatan beberapa pihak akan mengambil sikap ”Personal” mempertahankan kebebasan diri sebagai perkara yang lebih utama. Bahkan tidak kurang yang akan menolaknya mentah-mentah dengan seterusnya memberi pelbagai faktor lain yang lebih utama menjadi punca.Justeru, DMPP mendesak agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat serta badan-badan NGO’s wanita yang prihatin agar segera membuat kajian menyeluruh berhubung dengan perkara ini.DMPP percaya bahawa pendirian beberapa pihak yang menolak mentah-mentah akan wujudnya hubungan antara pakaian dan jenayah seksual adalah dibuat berdasarkan pandangan peribadi, pandangan sekumpul kecil mereka dan bukannya pandangan masyarakat teramai di seluruh negara.DMPP juga menyarankan kepada PKPIM agar segera membuat pungutan suara di kalangan pelajar di seluruh negara terhadap pandangan mereka berkaitan faktor pakaian sebagai antara faktor pemangkin berlaku serta meningkatnya jenayah seksual.Dalam konteks pemakaian baju kurung putih bagi pelajar perempuan di sekolah, DMPP percaya bahawa bukanlah warna pakaian seragam itu yang wajar menjadi tumpuan kita. Tetapi material kain putih yang digunakan untuk membuat baju sekolah itu. Kita tidak dapat menafikan bahawa material kain putih yang digunakan selama ini adalah agak nipis dan menyebabkan pelajar-pelajar perempuan kelihatan agak seksi khususnya bila tidak mengenakan tudung yang dapat membantu menutup dada mereka (sekiranya dilabuhkan sedikit).

Apatah lagi sekiranya mereka hanya memakai bra tanpa mengenakan singlet dalam. Lebih ketara bilamana warna pakaian dalam mereka lebih terang/ kontra dengan seragam putih yang mereka pakai. Hakikat ini tidak mungkin dapat kita sembunyikan. Lebih malang bagi pelajar perempuan ialah bilamana hari hujan. Justeru, cadangan PKPIM kepada Kementerian Pelajaran itu merupakan cadangan yang sangat bertanggungjawab dan munasabah mengambilkira prinsip-prinsip perundangan Islam dan kaedah-kaedah usul fiqh.Bahkan dalam hal ini, DMPP mendesak agar Majlis Fatwa Kebangsaan segera mengeluarkan (refresh) satu Fatwa berkaitan pakaian dan aurat bagi wanita Islam (termasuk pelajar-pelajar wanita Islam). Ini kerana meskipun di dalam Al Quran seperti contohnya dalam Surah An Nur: 31, Allah Ta’ala telah berfirman yang bermaksud : ”Hendaknya mereka melabuhkan tudungnya sampai ke dada, dan jangan kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir..”.Namun sehingga kini ternyata ramai pihak masih berdolak dalik dalam hal aurat seorang wanita Islam. Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Islam dan ummatnya, maka Majlis Fatwa Kebangsaan wajar memperbetulkan pandangan songsang pihak pemerintah khususnya Perdana Menteri sendiri terhadap persoalan ini. Sikap membisu para alim ulama’ kerajaan dan tidak tegasnya segelintir mufti dalam hal ini akan hanya mengheret ummat Islam kepada salah faham dan tidak faham kepada Islam.

Bahkan terdapat juga kalangan yang bersikap buat-buat tidak faham terhadap Islam. Lebih malang bilamana terdapat juga segelintir pihak yang menggunakan kesempatan sebegini untuk mempersenda-sendakan Islam.DMPP seterusnya merafa’ sembah ke bawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong serta Duli Yang Mulia Majlis Raja-Raja Melayu yang bertanggungjawab terhadap agama Islam agar terus mempertahankan kemuliaan dan ketinggian hukum-hakam Islam khususnya syariat yang berkaitan dengan batasan-batasan aurat bagi seorang wanita Islam.DMPP menyelar mana-mana pihak yang cuba mempermainkan Islam dan ummatnya termasuk tindakan mereka yang sengaja melabelkan PKPIM atau mana-mana Gerakan Islam di Malaysia sebagai ”Little Taliban” dan kononnya berusaha membawa Talibanisme ke dalam masyarakat Islam negara ini. Tindakan ini adalah sangat keterlaluan dan biadab !Akhirnya, DMPP mengucapkan syabas kepada PKPIM khususnya Pengerusi HeWinya iaitu Saudari Munirah Bahari atas keprihatinannya, kebertanggungjawabannya dan keberaniannya mengemukakan satu cadangan yang begitu baik. Sudah sampai masanya Kementerian Pelajaran menghadapi saranan-saranan masyarakat dengan hati terbuka, adab melayu dan berjiwa Islam.

Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha
25 Mei 2008, Kuala Lumpur .