06 Disember 2007

Dr. Hassan Menang Kes

SHAH ALAM, 5 Dis (Hrkh) - Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato' Mariana Yahya hari ini menolak dengan kos permohonan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengenepikan perintah yang dibuat Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Suriyadi Halim Omar pada 28 Jun 2005 lalu. Dato' Suriyadi telah mengeluarkan perintah certiorari ke atas Kerajaan Negeri Selangor bagi membatalkan keputusan yang dibuat melalui surat bertarikh 29 November 2001 yang menolak permohonan syarikat milik Dr Hassan, Sabha Total Training Centre Sdn. Bhd. bagi memperbaharui Permit Penggunaan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), sekaligus membatalkan permit penggunaannya bermula 1 Januari 1999.
Dato Suriyadi juga memerintahkan perintah mandamus dikeluarkan iaitu perintah mengarahkan kerajaan negeri untuk menimbangkan semula keputusan penolakkan tersebut dan mengeluarkan semula permit penggunaan di samping perintah ganti rugi yang kena dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Sabha Total Training Centre Sdn. Bhd..

Ganti rugi itu hendaklah ditaksirkan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar. Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor juga diarahkan membayar kos kepada syarikat tersebut. Sabha Total adalah syarikat terkemuka dan aktif menjalankan kursus motivasi, latihan dan pengkaderan yang dikenali sebagai 'Summer Camp' sebelum perintah pembatalan permit penggunaan tersebut dikeluarkan kerajaan negeri. Ketika membacakan keputusan bertulis di dalam kamarnya, Mariana menyatakan antara lain pihak Responden telah gagal mematuhi Aturan 53 Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, yang memperuntukkan bahawa sebarang keputusan yang dibuat di bawah Aturan 53 tidak boleh diketepikan oleh Mahkamah Tinggi sebaliknya pihak yang terkilan dengan keputusan tersebut hendaklah merayu ke Mahkamah Rayuan.
Sebelum itu ketika berhujah di Mahkamah yang sama, peguamcara Sabha Total telah berhujah bahawa Aturan 53 adalah satu peruntukan yang amat jelas. Sabha Total diwakili Mohd Rohan Mohd Razi dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates manakala Kerajaan Negeri Selangor diwakili oleh Aimi Hajar Dato' Mohd Ridzuan dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor. Kes pembatalan permit penggunaan tersebut menjadi isu yang panas dan hangat dibahaskan di Parlimen.

Apa yang menarik adalah syarikat Dr Hassan Ali telah diberikan permit sejak 1994 dan sentiasa diperbaharui setiap tahun, namun ianya berubah sama sekali apabila beliau menyertai PAS pada tahun 1998 di mana permit tersebut tidak lagi diperbaharui. Hanipa Maidin ketika dihubungi Harakahdaily.net menyatakan kesyukuran di atas keputusan Mahkamah tersebut meskipun kes itu berlarutan begitu panjang.Pihaknya juga akan memfailkan permohonan untuk taksiran ganti rugi dan notis penetapan kos dalam masa yang terdekat ini. Harakahdaily difahamkan akibat pembatalan permit penggunaan tersebut syarikat tersebut telah mengalami kerugian besar mencecah jutaan ringgit

Tiada ulasan: