09 Januari 2008

Bersih gesa SPR jemput pemerhati antarabangsa pantau pilihanraya

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Hrkh) - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan supaya menjemput pemerhati antarabangsa untuk memantau perjalanan pilihanraya umum yang akan datang. Dalam satu kenyataan yang dibuat Bersih semalam, mereka berpandangan bahawa kehadiran pemerhati antarabangsa merupakan salah satu jalan terbaik untuk mengelak berlakunya penyelewengan dan memberi kredibiliti kepada legitimasi pilihanraya tersebut.Ia adalah ekoran laporan Bernama pada 4 Januari lalu yang memetik Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar memuji pilihanraya Presiden Uzbekistan pada 23 Disember 2007, yang menurut beliau dijalankan secara "demokratik, telus, aman dan adil" walaupun dikritik oleh pemimpin Barat. Wan Ahmad bersama lima orang lagi menganggotai pasukan pemerhati dari Malaysia, merupakan sebahagian daripada 250 pemerhati antarabangsa dari 30 negara yang dijemput oleh Suruhanjaya Pilihanraya Pusat Uzbekistan untuk memantau pilihanraya di negara itu. "Daripada mencabar parti pembangkang memulaukan pilihanraya - yang melanggar Artikel 114 (2) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan, SPR mesti 'mendapat keyakinan rakyat', suruhanjaya itu sepatutnya menjemput pemerhati antarabangsa untuk memantau keseluruhan proses pilihanraya, termasukan sebelum pilihanraya diadakan, dan bukannya terhad kepada hari pengundian sahaja," demikian petikan kenyataan tersebut. Cabar pengerusi SPR Tambahnya, ternyata SPR kini bangga dengan peranannya sebagai pemerhati pilihanraya di negara lain. Dalam ucapannya, Wan Ahmad dipetik sebagai berkata, "Pemilihan kita oleh Uzbekistan menunjukkan mereka mengiktiraf pengalaman kita dalam mengendalikan pilihanraya demokrasi...yang mana kita perlu rasa bangga mengenainya." "Bukan sahaja Uzbekistan...negara-negara lain seperti Kazakhstan, Krygyzstan, Mali, Nepal, Bosnia, Indonesia juga membuat jemputan yang sama yang membolehkan SPR Malaysia meningkatkan lagi hubungan dengan negara-negara berkenaan," kata Wan Ahmad lagi. Menurut Bersih lagi, jika SPR bangga dengan integriti dan kecekapannya, dan yakin pilihanraya di Malaysia 'bersih dan adil', maka gabungan itu mencabar Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid membuat jemputan terbuka kepada semua pihak berkuasa dan pakar pilihanraya dari seluruh dunia untuk memantau pilihanraya umum yang akan datang. "Jika tiada apa yang hendak dimalukan, pastinya kerajaan Malaysia yang begitu bangga dengan 50 tahun demokrasi di Malaysia akan menyokong dan mengalu-alukan kehadiran pemerhati antarabangsa sewaktu pilihanraya umum yang akan datang. "Lagi pun, ketika Umno menghadapi cabaran yang paling serius pada 1990, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih bersedia menjemput pemerhati dari Sekretariat Komanwel untuk memantau pilihanraya umum 1990," katanya

Tiada ulasan: