09 Januari 2008

MCA 'ditelanjangkan' orang Cina - Mujahid

MELAKA, 8 Jan (Hrkh) -- Persoalan besar yang berlaku di sebalik kes Dato' Seri Dr Chua Soi Lek ialah wujudnya satu konspirasi politik di dalam MCA seperti yang didakwa sendiri oleh beliau ketika mengumumkan peletakan jawatannya baru-baru ini.Menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Ustaz Dr Mujahid Yusuf Rawa, bahawa sebenarnya apa yang berlaku ialah gambaran politik BN yang begitu teruk dan hodoh. "Isu sebenarnya ialah gambaran kepada politik cantas-mencantas, politik ugut-mengugut yang teruk berlaku di dalam parti komponen BN dan sekarang MCA ditelanjangkan pula oleh orang Cina. "Bagaimana teruknya kita tengok politik Malaysia yang kotor seperti yang berlaku ke atas Dato' seri Anwar Ibrahim dan sekarang berlaku ke atas Dr Chua pula, itulah budaya politik teruk BN," kata beliau. Di samping itu, beliau turut menjelaskan mengapa isu perkauman dibangkitkan oleh media arus perdana sejak kebelakangan ini, di mana ianya disebabkan oleh kegagalan BN menyelesaikan pelbagai isu yang timbul lalu mereka nak tutup dengan isu perkauman. "Mereka mahu orang Melayu, Cina dan India bergaduh mereka mahu begitu supaya mereka boleh terus kekal berkuasa mereka akan bercakap kepada rakyat kalau kamu tidak sokong Umno dalam mempertahankan Melayu Islam maka akan jadi huru-hara negara ini," katanya. Ustaz Mujahid berkata, "saya masih ingat ada seorang makcik berniaga goreng pisang mengadu hal dilarang berniaga goreng pisang di tepi jalan, mereka kata tak boleh sebab tepi jalan tapi kalau isi borang Umno boleh, nak apa isi borang Umno ini negara mafia bukan hadhari. "Sebagai negara maju Islam Hadhari yang bertamadun ialah rakyatnya berfikiran terbuka dan rakyat tidak boleh dihukum kerana menyokong parti lain dari Umno seperti Terengganu rakyatnya telah membuat pilihan melalui proses demokrasi tapi dihukum ditarik balik royalti minyak dan digantikan dengan wang ihsan maka rakyat berada dalam keadaan takut untuk berubah," ujarnya.

Tiada ulasan: