KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Diraja semalam diberitahu, hakim kanan yang dikatakan berbual dengan peguam Datuk VK Lingam dalam klip video yang disiasat mereka, adalah bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.Ahli perniagaan, Loh Mui Fah, 58, yang turut dirakamkan dalam klip video itu, mendakwa beliau diberitahu mengenainya oleh Lingam sendiri sejurus selepas menamatkan perbualan dengan pemanggil berkenaan, pada hari kejadian. "Pada akhir perbualan itu, saya bertanya, siapa pemanggil itu? Lingam menjawab Hakim Besar Malaya. Beliau kemudian menyebut nama Datuk Ahmad Fairuz.(Ahmad Fairuz memegang jawatan Hakim Besar Malaya mulai 2001 hingga 2002, sebelum dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan sehingga 2003. Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada Mac 2003 dan bersara 31 Oktober 2007) "Saya mengesahkan lelaki India dan lelaki Cina di dalam klip itu dan transkrip perbualan yang ditunjukkan kepada saya sebelum ini, masing-masing adalah Datuk VK Lingam dan saya," kata saksi ketiga itu menjawab soalan Pegawai Pengendali, Timbalan Ketua Bahagian I (Polisi) Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan.Ketika itu, Lingam diminta masuk ke bilik prosiding untuk dikenal pasti oleh Loh sebagai lelaki India dalam klip video berkenaan.Loh berkata, klip video itu dirakam anaknya, Loh Gwo Burne ketika mereka bertemu dengan Lingam di rumah peguam itu pada 20 Disember 2001 untuk membincangkan satu kes sivil terhadapnya di Mahkamah Tinggi Ipoh yang dikendalikan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh ketika itu, Datuk James Foong (kini Hakim Mahkamah Rayuan).Foong juga antara hakim yang namanya dikaitkan dalam klip berkenaan. Bagaimanapun, masih ada percanggahan antara transkrip perbualan yang dibuat Majlis Peguam berbanding Penguasa Kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Chuah Lay Choo, sama ada nama yang disebut dalam klip itu adalah 'James Foong' atau 'James Kumar'. Sehubungan itu, Chuah yang memberi keterangan sebelum Loh pada permulaan prosiding pagi semalam, meminta sehingga hari ini untuk meneliti semula klip video berkenaan dan membuat perbandingan antara dua transkrip perbualan itu.Klip video itu sekali lagi ditayangkan dalam prosiding siasatan bagi membolehkan Loh mengesahkan sama ada rakaman berkenaan adalah seperti berlaku pada malam 20 Disember 2001. "Saya dapat ingat dengan jelas apa yang berlaku pada malam itu kerana kami sepatutnya berjumpa di rumah Lingam untuk membincangkan kes saya. Malam itu adalah kali pertama saya ke rumahnya. Lingam mencadangkan mesyuarat di situ kerana terlalu sibuk sehingga ada kalanya kami terpaksa berbincang sekadar di restoran. Itupun perbualan kami diganggu banyak panggilan telefon. Malah, pada malam itu juga Lingam terpaksa melayan adik-beradiknya yang datang meminta pandangannya berhubung beberapa perkara lain, serta beberapa panggilan telefon termasuk yang dirakamkan dalam klip video berkenaan. "Sebelum itu saya menyuruhnya berjanji menumpukan perhatian kepada perbincangan kami. Bagaimanapun kami tetap diganggu dengan panggilan telefon, dan apabila saya merungut beliau menjawab 'these are incoming calls!' (ini adalah panggilan masuk). "Saya tidak tahu bagaimana klip itu boleh tersebar malah hanya tahu mengenainya apabila dimaklumkan seorang pekerja saya," katanya.Loh berkata, selain klip video itu, anaknya juga mengambil beberapa gambar sebelum dan selepas rakaman dibuat, termasuk bersama adik perempuan Lingam dan seorang lagi peguam, Manjit Singh, yang meninggal dunia tahun lalu. "Gwo Burne kini berada di luar negara tetapi saya sudah memintanya pulang untuk membantu dalam siasatan ini," katanya.Ketika disoal peguamnya, Americk Singh Sidhu, Loh berkata beliau menawarkan diri sebagai saksi siasatan apabila mendapat tahu mengenai panel bebas khas yang ditubuhkan September tahun lalu bagi menyiasat kesahihan klip video itu. Beliau mengarahkan setiausahanya menghantar surat kepada Perdana Menteri bertarikh 5 November 2007 menawarkan bantuannya dalam siasatan terhadap klip video itu, dan pada masa sama menghantar e-mel kepada panel bebas khas melalui alamat yang disiarkan akhbar. "Saya hanya menerima pengesahan penerimaan surat daripada Pejabat Perdana Menteri, tanpa surat balasan manakala e-mel itu pula dihantar semula kepada saya. E-mel kedua bertarikh 14 November 2007 juga tidak mendapat sebarang jawapan."Bagaimanapun, sekitar 28 Disember lalu saya didatangi pegawai BPR di Melaka ketika dalam perjalanan ke Singapura dari sini. Saya diminta membantu siasatan tetapi tidak pernah menerima sebarang arahan bertulis," katanya. Selepas perbincangan singkat dengan pengerusi suruhanjaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan setiausaha Datuk Abdullah Sani Ab Hamid, anggota panel Datuk Mahadev Shankar berkata pada tarikh e-mel Loh dihantar, panel bebas khas itu sudah menyelesaikan tugasnya. "Saya tidak mahu sesiapa salah faham bahawa kami tidak mengendahkan saksi yang menawarkan diri. Sebenarnya pada tarikh yang dinyatakan, panel sudah selesai bermesyuarat dan laporan juga sudah diserahkan."Bagaimanapun kami faham apa yang dimaksudkan peguam adalah, saksi ini hadir secara jujur dan bukannya timbul secara tiba-tiba sejurus apabila suruhanjaya bersidang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan