Roy Rasul Sat Feb 16, 08 3:52:57 pm MYT
KUALA LUMPUR, 16 Feb (Hrkh) - Media perlu bersikap adil, profesional tidak berat sebelah, beretika sewaktu membuat laporan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 nanti, kata kenyataan tiga gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan media dalam satu sidang media mereka di Jalan Sarikei dekat sini hari ini. Tiga NGO itu ialah Charter 2000-Aliran, Centre for independent Jornalism (CIJ) dan Writers Alliance for Media Independence (Wami). Justeru katanya, bermula hari ini mereka melancarkan inisiatif untuk memantau semua laporan yang dibuat dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12 ini. "Kami mahu media arus perdana sama ada cetak atau elekronik memberi hak yang sama rata kepada semua parti, adil dan memberi ruang waktu yang sama rata kepada semua parti dan memberi hak untuk menjawab dan memberi maklum balas bagi menyatakan kedudukan bagi menafikan segala tuduhan," kata kenyataan itu. Mereka juga meminta semua pimpinan tertingi parti seperti Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim (KeADILan); Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Hadi Awang; Lim Kit Siang (DAP) diberi hak yang sama untuk bersuara sebagaimana diberi kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (BN). Sidang media tersebut, dihadiri oleh Wakil Aliran, Dr Mustafa K Anuar dan Anil Netto; Pengarah Eksekutif CIJ, Gayathry Venkiteswaran dan wakil Wami, Wong Chin Huat. Sementara itu, Gayathry berkata, media milik kerajaan iaitu RTM perlu memberi ruang kepada semua parti dalam pilihan raya ini. RTM lebih berpihak kepada parti pemerintah sedangkan ia adalah milik rakyat, katanya. "Walaupun swasta, dilihat lebih buruk laporannya berbanding RTM tetapi TV berkenaan dimiliki oleh orang yang rapat dengan pemimpin BN," katanya. Kerana itu katanya, kerajaan perlu memberi memberi lesen kepada parti pembangkang juga untuk mereka menyuarakan pandangan dan perspektif mereka. "Jangan biarkan satu kumpulan saja yang memdominasikan bidang penyiaran," katanya. Ini katanya pembangkang, tidak diberi ruang langsung oleh media elekronik dan hanya bergantung kepada ceramah-ceramah.Menurutnya, seorang wartawan perlu bertanggungjawab untuk berlaku adil. Dalam pada itu katanya, melalui inisiatif tersebut mereka akan memfokus kepada empat stesen televisyen iaitu RTM 1, RTM 2, TV3 dan NTV7 bagi membuat analisis berhubung laporan pilihan raya bermula pada hari penamaan calon sehingga hari pembuangan undi. Katanya, analisis itu akan dibuat oleh para sukarelawan yang dilantik. Kemudian hasil analisis tersebut katanya, akan dihantar kepada pihak terbabit termasuk organisasi media seperti Kementerian Penerangan, parti-parti politik dan NGO, katanya. "Daripada sini kita dapat melihat sejauh mana media berlaku adil dalam melaporkan berita dalam kempen pilihan raya kali ini , Ini kerana rakyat negara ini berhak mendapat liputan media yang adil supaya pengundi membuat pilihan mereka sendiri sewaktu mengundi," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan