17 Februari 2008

Najib ubat diri sendiri sebelum rawat rakyat Kelantan



Lanjusoh Sat Feb 16, 08 5:58:04 pm MYT
KOTA BHARU, 16 Feb (Hrkh) – “Usahkan hendak rawat rakyat Kelantan, Datuk Seri Najib Razak sendiri banyak penyakit, itu belum diambil kira skandal termasuk dipalit dengan kes Altantuya,” kata seorang pegawai kerajaan. Inilah mesej yang disampaikan pegawai-pegawai kerajaan selepas dipaksa hadir pada program Timbalan Perdana Menteri ketika berkunjung ke sini, semalam. Pada program itu, pegawai dan kakitangan syarikat milik kerajaan termasuk Lembaga Tabung Haji, Tenaga Nasional Bhd dan Telekom dipaksa hadir pada perjumpaan dengan Timbalan Presiden Umno yang berkempen bagi pihak Umno Kelantan. Mengulas lanjut mengenai umpan kebendaan yang sering diulang tayang Umno, Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hina sangatkah rakyat Kelantan sehingga ditawar wang begitu banyak semata-mata untuk memenangkan Umno. “Hina sangatlah kami di sini sehingga ditawarkan umpan dengan begitu banyak seumpama lembu dan kerbau pula. Manusia bukan boleh dibeli dengan umpan duit begitu sahaja kerana kita ada maruah. “Lagi pun duit yang demo hendak bagi dengan bersyarat itu milik kerajaan atau milik Umno, kalau duit Umno ikut suka demolah,” katanya pada kuliah sempena program Munajat Rakyat Kelantan Bersama Tok Guru di Dataran Stadium di sini awal pagi ini. Najib ketika berkempen di sini, semalam dilaporkan berkata, kerana sayangnya Perdana Menteri kepada Kelantan, negeri ini menerima RM7.6 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. "Inilah yang saya katakan keikhlasan pemimpin tertinggi negara memajukan negeri ini supaya Kelantan tidak akan ketinggalan, sekali gus menepati prinsip pembangunan seimbang, adil serta bertimbang rasa," katanya pemimpin Umno itu. Malah beliau percaya kebanyakan rakyat Kelantan boleh menerima penjelasannya yang akan diterjemah dalam bentuk sokongan. Beliau juga mengisytiharkan 2008 Tahun Merawat Kelantan. Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, ada tok-tok lebai yang masih terpengaruh dengan dakyah dibawa penjajah yang menganggap menyertai pilihan raya bagi membentuk kerajaan Islam sebagai tidak wajib. Katanya, tanpa ada kerajaan bagaimana Islam boleh ditegakkan. “Masih ada tok-tok lebai di kampung yang mengelakkan daripada berpolitik kerana terpengaruh politik dan agama benda yang asing seperti dijaja penjajah. “Sedangkan mengundi dalam konteks sekarang adalah wajib bagi membolehkan syiar Islam ditegakkan dalam pentadbiran kerajaan seperti yang dilakukan di Kelantan sejak 1990,” katanya

Tiada ulasan: