15 Februari 2008

Orang muda tak perlu BN


Shirzad Lifeboat
Dalam satu kenyataan kempen pilihan rayanya, Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein mengatakan generasi muda perlu menyokong BN pada pilihan raya umum ke-12 kerana merekalah yang akan meneruskan tanggungjawab membangunkan negara yang telah dirintis oleh pucuk pimpinan kerajaan. Menurut Hishamuddin, "kalau itu tidak dihargai oleh mereka, maka amat malang kerana saya sendiri dipertanggungjawabkan memberi pengisian kepada pendidikan dan pelajaran… Saya yakin sokongan daripada generasi muda akan diperoleh pada pilihan raya umum kali ini." Sekiranya kita mahu mengambil kata-kata Hishammuddin ini sebagai pedoman sebelum memangkah kertas undi, maka kita terpaksa melihat generasi muda kita yang dibentuk oleh Umno dan dalam konteks pendidikan seperti yang disentuh secara spefisik oleh beliau. Hari ini, selain daripada sistem enam-jam persekolahan yang dibentuk oleh Umno-BN tidak berhasil mendidik generasi muda rakyat Malaysia terutama dari kalangan anak Melayu dan selain daripada sistem berorientasikan akademik dan peperiksaan yang juga tidak berjaya menghasilkan sarjana dunia, walaupun sekadar sarjana kelas kedua dan juga gagal menghasilkan siswazah yang setidak-tidaknya memiliki profisiensi dalam bahasa Inggeris untuk di terima bekerja oleh sektor swasta. Ia ditenggelamkan oleh budaya hedonisme yang tidak langsung dikawal oleh Umno. Ada antara kita tidak berminat dengan politik kepartian. Oleh kerana tidak dapat menyandarkan harapan kepada PAS disebabkan PAS bukannya parti pemerintah yang menggubal dasar dan juga undang-undang (kecuali di Kelantan), maka ada di antara rakyat yang meletakkan harapan kepada Islam Hadhari. Namun Islam Hadhari nampaknya lebih mirip kepada pembinaan simbol seperti Masjid Kristal, Pusat Kebudayaan Islam dan sebagainya. Belum ada usaha yang dilakukan oleh Umno dan Islam Hadharinya untuk memperbetulkan keadaan ini. Hari ini generasi muda Melayu suka dengan hidup-hidup berfoya-foya, suka kepada hiburan, suka kepada kemewahan walaupun tidak mampu, bersikap biadap terhadap orang tua dan sebagainya. Siapakah yang bertanggungjawab mendidik mereka? Kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa kerana mereka tidak memiliki metodologi pendidikan yang saintifik seperti yang dimiliki guru-guru menerusi sistem pendidikan yang dibentuk oleh Umno.
Kalau ada kalangan bapa daripada penjenayah, atau ibu daripada pelacur sekalipun yang menghantar anak ke sekolah mereka menaruh harapan tinggi agar anak mereka dididik menjadi manusia yang berguna dan bukannya sampah masyarakat seperti kita. Tetapi malangnya ada anak-anak Melayu yang daripada kalangan ibu bapa yang baik menjadi penjenayah setelah tamat persekolahan atau malah sewaktu masih lagi berada di sekolah. Kita tentu masih ingat bagaimana sekumpulan pelajar Melayu membelasah seorang pelajar lain sehingga pelajar yang dibelasah itu meninggal dunia, kita akur adanya budaya gangsterisme yang terpupuk di kalangan pelajar, kita sedia maklum perangkaan anak Melayu kita yang terlibat dalam penagihan dadah dan macam-macam lagi.
Bagaimanaka sistem kaunseling dan nasihat kita terutama yang melibatkan pelajar Melayu beroperasi sehinggakan hampir 100 peratus mat rempit adalah daripada kalangan pelajar Melayu yang sama ada telah tercicir dalam persekolahan atau tidak berminat lagi untuk bersekolah. Apakah sebenarnya worldview kehidupan yang cuba dibentuk oleh Umno dalam pendidikan sehingga tidak ada lagi sesuatu yang baik dapat dikaitkan dengan generasi muda Melayu. Hishammuddin bercakap tentang pengisian yang dilakukan oleh kementerian di bawah jagaannya. Bagaimanpun, kita tidak nampak apakah pengisian yang dimaksudkan oleh beliau. Kita telah melalui masa 50 tahun untuk membentuk orang Melayu dari satu generasi ke satu generasi dan dari seorang pemimpin Umno kepada seorang pemimpin Umno yang lain, maka hari ini cuba kita tanya dengan jujur, apakah generasi muda kita lebih sempurna dan lebih berhemah dari generasi sebelumnya? Kalau inilah generasi muda yang kita lihat hari ini dan yang digesa oleh Hishammuddin agar menyokong BN bagi meneruskan tanggungjawab membangunkan negara, maka sukar bagi kita hendak membayangkan bentuk negara kita pada suatu masa kelak. Apakah kita akan hanya mendabik dada sebagai pelopor Islam itu dan ini, wawasan itu dan ini, serta bermegah dengan segala infrastruktur tercanggih di dunia sedangkan generasi muda sesuatu generasi yang akhirnya menjadi generasi dewasa dan kemudiannya melahirkan generasi muda selanjutnya akan terus melahirkan pelbagai lagi kesongsangan yang sukar untuk kita bayangkan buat masa ini? Apakah ini yang Hishammuddin maksudkan? Inikah kitaran generasi yang kita mahukan?

Tiada ulasan: