26 Disember 2007

Paranjothy: BN hadapi satu lagi episod 'retak menanti belah'

Perbalahan antara pemimpin pemuda parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) mutakhir ini semakin menyeronokkan mata-mata pemerhati politik dan peminat sketsa politik negara. Gelagat anak muda separa matang melestarikan idealisme politik masing-masing tatkala bau perkauman kuat bergelandangan membuatkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi 'pening kepala'. Selepas kemelut Hindraf dengan pemimpin pemuda MIC, S.Devamany melukakan sebentar hati Presidennya, Dato' Seri S.Samy Vellu melalui sokongan terhadap tuntutan Hindraf, hingga terpaksa dihadapkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak kini isu Pemuda Gerakan menerjah gawang gol BN. Semuanya angkara mengkritik Pemuda Umno yang diumpama sebagai 'super hero' bagi semua pimpinan pemuda BN dan tidak boleh dikritik lansung terutamanya bila menyentuh soal 'keris'. Dalam insiden kali ini, Naib Ketua Pemuda Gerakan, S.Paranjothy mempertahankan tindakan mengkritik kerajaan dan Umno mengenai isu kaum India di negara ini. Bangkitlah si 'pondan' yang menjadi Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussien memaki semula kritikan S.Paranjothy yang dianggapnya biadap. Kenyataan Hishamuddin satu, Paranjothy perlu diambil tindakan, dan kalau pemuda berbangsa India itu adalah Pemuda Umno, bagi Hishamuddin tentunya tindakan pemecatan akan dilakukan. Begitupun kemelut antara Paranjothy dengan Pemuda Umno ini kini sebenarnya tertumpu kepada daya kreativiti Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Khoon yang sedang meneliti ruang mana yang boleh difikirkan untuk menyelamatkan 'maruah' partinya.
Sepintas lalu kemelut antara Devamany yang baru berlalu tidak sehebat kemelut Paranjothy lawan Hishamuddin kerana, isu Devamany segera dilegakan Presidennya oleh kerana Devamany adalah 'ayam tambatan' MIC pada masa akan datang untuk setidak-tidaknya meneruskan taat setianya kepada Samy. Devamany dikenali sebagai ahli Parlimen yang kuat membela nama Samy jika orang nombor satu MIC itu dihentam di Parlimen oleh anggota pembangkang atau sesama BN. Disebabkan itu mungkin 'dosa' Devamany mudah diampunkan BN berbanding dosa Paranjothy yang dilihat lebih besar kerana mengkritik hal yang sama

24 Disember 2007

SAH ... ADA UDANG DISEBALIK BATU ...PERANCANGAN MENGHAPUSKAN SAR ( SEKOLAH AGAMA RAKYAT)

KOTA BHARU 23 Dis. – Kerajaan Pas Kelantan terkejut dengan tindakan Kementerian Pelajaran menolak syarat-syarat pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dengan kementerian yang telah diterima bersama sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi negeri, Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, syarat-syarat yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) itu telah dikemukakan kepada kementerian yang kemudiannya membuat beberapa pindaan.
‘‘Draf MoU yang dikemukakan itu telah melalui proses pindaan oleh kementerian dan apabila kita semak dan perhalusi, hanya dua tiga patah perkataan yang kita minta ubah agar lebih jelas sedangkan kandungan utama telah diterima,” ujarnya.
Katanya, kandungan utama menyebut persetujuan kerajaan negeri mendaftar untuk mendapatkan bantuan, pengurusan sekolah kekal di bawah kerajaan negeri dan sebarang perubahan kurikulum mesti mendapat kelulusan Lembaga Yayasan Islam Kelantan (YIK).
‘‘Kementerian tidak merubah syarat itu yang didakwa ketat dan tentulah ia telah diterima dan dipersetujui. Soal penghantaran guru kementerian kita terima tanpa masalah sebagaimana sekarang.
‘‘Ia mengejutkan dan menghairankan kita,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa kementerian tidak akan melayan syarat ketat mengenai pendaftaran SAR yang dikemukakan oleh kerajaan negeri.
Menurut Hishammuddin, syarat yang dikemukakan antara lain kementeriannya hanya memberikan peruntukan yang diperlukan, sedangkan kerajaan negeri terus berkuasa penuh atas sekolah-sekolah berkenaan.
Beliau berkata, jika kementerian menerima syarat itu, penyelarasan kurikulum yang diterima pakai dengan baik di negeri-negeri lain tidak dapat dilakukan.
Kerajaan negeri sebelum ini bersetuju menyerahkan 68 buah SAR atau lebih dikenali sebagai Sekolah Agama Bantuan Negeri di Kelantan secara berperingkat dengan beberapa buah sebagai permulaan bagi memastikan pelaksanaannya mengikut MoU.
Nik Amar memberitahu, cadangan balas kerajaan negeri dalam MoU itu termasuk soal keanggotaan lembaga penasihat dengan gabungan keahlian kerajaan negeri dan kementerian yang dicadangkan.
‘‘Cuma kita minta agar turut dimasukkan sama Exco berkaitan pendidikan dan pembangunan Islam dan apa-apa pertikaian dirujuk kepada Lembaga Pengelola YIK manakala kandungan lain kekal,” ujarnya.
Sehubungan itu Nik Amar berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada pihak kementerian berhubung perkembangan terbaru itu kerana pihaknya merancang menandatangani MoU pada awal tahun depan.

AWAS MAINAN POLITIK GERAKAN

Tidak semua pemimpin Gerakan yang mengutuk UMNO kerana tindakan meminggirkan kaum India. Hakikatnya isu Hindraf telah berjaya menolak keujudan UMNO dan Parti komponennya. Kalau UMNO di pinggirkan rakyat berbangsa India, maka MIC dan Gerakan serta PPP pun turut menerima nasib yang sama.Pada logiknya, mengundi PPP, MIC atau GERAKAN akan memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional, lantas memberikan terus mandat pemerintahan kepada UMNO. Maka untuk tidak membenarkan UMNO terus menjadi pemimpin maka undian terhadap PPP, MIC dan GERAKAN terpaksa di korbankan. Pengundi terpaksa beralih kepada DAP, KEADILAN atau PAS sekali pun.Kebimbangan ini sebenarnya sudah dirasai oleh pemimpin komponen parti Barisan Nasional, termasuk GERAKAN. Maka pelbagai usaha terus di lakukan agar kepercayaan kaum India kembali kepada mereka. MIC dengan caranya dan Gerakan dengan kaedahnya. Cuma PPP yang belum memberi sebarang komen.Menurut kaum India, mereka sudah tawar hati dan tidak mahu lagi mengundi BN dan parti komponennya. Ini menimbulan kebimbangan mereka bertambah. Langkah yang dilakukan oleh S.Paranjothy adalah langkah yang berbaur politik yang sering dilakukan oleh kebanyakan pemimpin GERAKAN, baik MCA mahupun MIC. Ianya adalah STRATEGI dan MAINAN politik semata mata !!!
"Mereka mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan masyarakat mereka dalam usaha untuk meningkatkan karier politik mereka," kata Naib Ketua Pemuda Gerakan, S Paranjothy. Begitu lah kenyataan pendek dari beliau. Tetapi ianya dibesar besarkan oleh media arus perdana, seolah olah benar lah S. Paranjothy berjuang untuk kaum India. Tetapi sedar kah kita bahawa beliau tidak sekali kali akan menggadaikan masa depan dan jawatan dengan membuat kenyataan bodoh sebegitu, selain ianya sudah dirancang terlebih dahulu bersama kepimpinan UMNO.Liciknya mainan politik mereka sehinggakan semua rakyat bising tentang perkara ini, tetapi selepas di amati, tidak mungkin berita menyiarkan isu sedemikian selain dari mempunyai niat tertentu.Barisan Nasional berharap agar, berita sensasi ini dapat di baca oleh semua pihak. Agar sokongan kaum India kembali kepada Gerakan dan kaum Melayu kembali kepada UMNO. Mereka mengkritik sesama mereka. UMNO kononnya berjuang untuk melayu dan Gerakan untuk kaum India. Semuanya BOHONG.Bila bertemu, mereka akan ketawa melihat bagaimana rakyat dengan mudah terbawa bawa dengan isu perkauman dan manafaatnya diperolehi oleh UMNO dan Gerakan. Tanya pemimpin berbangsa Cina di dalam parti berkenaan, apa kata mereka? Mereka tidak memberikan sebarang komen kerana ia adalah kenyataan yang tidak melibatkan bangsa Cina. Kalau benar ianya perjuangan, sudah pasti seluruh pemimpin GERAKAN turut mencemuh UMNO. Begitu lah sebaliknya. Tapi ini tidak berlaku.Rakyat jangan terpengaruh dengan berita seperti ini kerana selagi ianya datang dari parti komponen Barisan Nasional sendiri maka tiada lah niat lain kecuali politik semata mata.

BN tidak menjamin keselamatan negara

DUNGUN, 24 Dis (Hrkh) - Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak berupaya menjamin keselamatan negara, sekiranya terus memerintah. Kenyataan ini dibuat oleh Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika berucap Pada Ceramah Perdana, Sempena Aidiladha di pekarangan Masjid Sura,Terengganu baru-baru ini.
Katanya, negara tidak selamat jika rakyat masih terus memberi mandat kepada BN memimpin negara ini dalam pilihan raya umum akan datang. "Negara tidak selamat lagi jika kita (rakyat) masih beri mandat kepada Umno dan BN memerintah. Kita (rakyat) rugi besar jika ini tidak dibuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang," tegas Anwar. Katanya lagi, masalah rasuah di kalangan pemimpin Umno/BN sudah begitu parah dan merugikan masa depan negara dan rakyat seluruhnya. Kerjasama PAS dan KeADILan bukan sekadar pakatan bagi menjatuhkan Umno/BN namun muafakat unutk membawa rakyat mengembalikan maruah agama dan bangsa. "Pakatan kita ini bukan sekadar pakatan politik untuk jatuhkan Umno/BN tetapi ini adalah soal maruah," ujarnya. Mantan Timbalan Perdana Menteri itu juga menyifatkan pemimpin Melayu Umno telah rosak nilai moral dengan terlibat dengan gejala rasuah, salahguna kuasa serta 'merompak' kekayaan negara.Menurutnya lagi, hasil kekayaan diagih-agihkan hanya kepada segelintir kroni-kroni yang rapat dengan pemimpin negara. "Saya sudah dedahkan banyak rasuah pemimpin Umno seperti pembahagian saham, AP, pembelian senjata dan sebagainya. "Yang terbaru adalah kes Pelabuhan Klang selain Kes Lingam sebelum ini," jelasnya. Turut berucap pada majlis tersebut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali.

30 ahli MIC Tasek Gelugor sertai KeADILan

TASEK GELUGOR, 23 Dis (Hrkh) - Kubu kuat MIC di Bahagian Tasek Gelugor pecah apabila 30 orang ahlinya keluar menyertai Parti Keadilan Rakyat (KeAdiLan) malam tadi.Tindakan ahli MIC itu membuktikan Barisan Nasional (BN) bahagian tersebut kian muram kerana selama ini golongan India di Pokok Machang adalah undi penentu dalam setiap pilihan raya. Penolakan itu bermakna masa depan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Dato' Seri Shariff Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Berangan, Shabudin Yahya tidak lagi selamat. Selama ini Dato' Seri Shariff sering mempergunakan golongan India di situ untuk meraih undi sokongan setelah banyak undi Melayu menolak dalam pilihan raya ke-10 dulu. Semalam Penasihat KeAdiLan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menerima borang keahlian baru daripada wakil masyarakat India K. Yatharasan sebelum berucap dalam program 'turun padang' di Parlimen Tasek Gelugor. Menurut K. Yatharasan ketika ditemui, dijangka berpuluh-puluh lagi ahli MIC dan penyokong parti pimpinan Dato' Seri S. Samy Vellu sekitar Pokok Machang dan pekan Tasek Gelugor akan berbuat demikian. Beliau yang juga bekas Ahli Jawatankuasa MIC Tasek Gelugor kecewa kerana Samy Vellu asyik memperkudakan bangsa India untuk kepentingan politik dan kroninya. Sebab itu katanya, sesiapa yang dilihat cergas dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi akan di cantas ekoran bimbang individu terbabit boleh mencabar beliau atau kumpulan yang menyokongnya. "Kami rasa tertipu dengan janji atau sikapnya yang melampau. Kami tidak suka ada pimpinan MIC yang bercakap tidak serupa bikin," ujarnya. Rakan beliau S. Raja juga kesal kerana MIC tidak membela nasib kaum India sebaliknya menjana kekayaan sendiri. Manakala T. Siva pula marah kerana banyak bahagian MIC menyimpan samseng untuk pelindung diri pimpinan. Jika hendak berpolitik biarlah dengan cara bersih bukan mengupah samseng menakut-nakutkan pengundi. Bila menang riuh rendah mengatakan rakyat tetap utuh di belakang BN padahal mereka digertak atau diperhatikan," tegas beliau. Sementara itu, Ketua Bahagian KeAdiLan Bahagian Tasek Gelugor, Haji Mohamad Hashim berkata, sejak enam bulan kebelangan ini hampir 200 ahli baru dapat dicari.
Ini menandakan program mesra rakyat berjaya mendekatkan KeAdiLan dengan rakyat yang ternanti-nanti penerangan yang jelas bukan hebahan kosong. Turut menyaksikan program penyerahan borong itu ialah Pengerusi KeAdiLan Negeri, Dato' Zahrin Hashim dan Setiausaha KeAdiLan Negeri, Haji Malek Kasim. Berceramah sama dalam majlis berkenaan ialah bekas calon PAS bagi Dun Penaga, Ustaz Sobri Arshad

BARISAN NASIONAL IN DILEMA ???

Sejak kebelakangan ini banyak sungguh suara ketidakpuasan hati kita dengar dari kalangan saf kepimpinan BN sendiri terhadap sama ada BN ataupun Umno selaku tulang-belakang parti komponan tersebut. Kalau sebelum ini saya pernah paparkan suara-suara keras semasa Perhimpunan Pemuda MCA dan Gerakan, pernah juga Zaid Ibrahim dan Tengku Razaleigh mengkritik, tidak ketinggalan PPP, kini terbaru seorang lagi pemimpin dalam komponan BN bersuara lagi. Beliau adalah Naib Ketua Pemuda Gerakan Kebangsaan iaitu Sdr S. Paranjothy. Kata Paranjothy Umno khasnya Pemuda Umno memang sentiasa membakar sentimen perkauman di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Malah kata beliau isu-isu perkauman sentiasa dibangkitkan oleh Umno untuk kepentingan politik mereka khasnya di kalangan masyarakat Melayu. Lalu yang selalu menjadi mangsa adalah parti-parti komponan dalam BN yang sentiasa menjadi "punching bag" dan batu oncatan untuk Umno meluncur ke atas. Paranjothy melemparkan serangan ini dalam kenyataan 4 muka beliau berjudul "Discrimination from womb to tomb" ataupun "Diskriminasi dari kandungan sehingga ke liang lahat"! Dalam Buletin Utama TV3 tadi apabila Ketua Pemuda Umno diminta memberikan reaksi beliau terus sahaja menganggap pandangan Paranjothy itu sebagai kata-kata sumbang dan akan meminta Pemangku Presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon untuk memberikan penjelasan. Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda Gerakan dan seorang AJKnya juga turut mengeluarkan kenyataan kononnya terperanjat dengan kenyataan Paranjorthy itu. (Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Lim Si Pin dalah anak kepada mantan Presiden Gerakan Lim Keng Yaik). Paranjothy mencadangkan agar semua 14 parti komponan dalam Bn bersatu menjadi satu parti berbilang kaum, satu cadangan yang memang sering dimainkan oleh Gerakan sebelum ini. Bagi beliau hanya dengan cara ini barulah segala bentuk politik perkauman akan dapat diatasi dan demikian juga segala bentuk diskriminasi dan manipulasi. Bagi saya cetusan politik ini membuktikan memang BN bermasalah dan memandangkan ianya kerap sangat dibangkitkan sesama mereka maka masalah itu semakin menggunung dan menunggu masa untuk meletup. Rakyat perlu menggunakan kebijaksanaan bagi menilai semua ini, kalau hak untuk bersuara dan tegur-menegur sesama parti komponan sudah tidak ada sudah dilihat dengan penuh prejudis dan dianggap menderahaka, maka apa lagi hak rakyat untuk menegur dan menuntut untuk didengar. Sudah lama kita tidak mendengar khbar berita dari bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin. Tokoh yang dinaikkan di zaman Tun Dr Mahathir itu dahulu memang tidak banyak bercakap tetapi pernah mencetuskan banyak kontroversi. Sebagaimana beliau yang tidak banyak becakap, datang dan perginya juga secara senyap-senyap tidak banyak diketahui orang. Tetapi sekali beliau bercakap, sehinggakan PM terpaksa mengulas dalam waktu perdana siaran berita jam 8.00 malam tadi. Apa kata Daim sehingga mengundang reaksi spontan Dollah? Kata Daim sebagaimana dilaporkan dalam The Star hari ini yang diceduk dari temuramah eksklusif beliau dengan The China Press, kerajaan BN perlu beri perhatian dan tumpuan kepada 3 buah negeri yang beliau sifatkan sebagai "hotspots". Negeri-negeri itu bukannya Kelantan atau Terengganu, tetapi 3 buah negeri yang beliau maksudkan adalah Kedah, Pualu Pinang dan Selangor. Antara faktornya kata beliau, jika di Selangor golongan kelas pertengahan ramai yang tidak berpuas-hati dengan beberapa keputusan pihak kerajaan. Akhbar The Star tidak menghuraikannya tetapi bagi saya di Selangor masalah terbesar rakyat adalah bagaimana mahu mengharungi hidup dalam suasana kos hidup yang tinggi dan mencengkam. Antara negeri yang termaju di Malaysia adalah Selangor sejak zaman-berzaman, namun risiko pembangunan pesat adalah kenaikkan kos hidup yang tinggi yang masalahnya tidak setimpal dengan pendapatan. Pulau Pinang beliau sifatkan sebagai sebuah negeri yang paling aktif berpolitik. Dasar-dasar kerajaan negeri sering dihalusi oleh rakyatnya dan jika BN tidak beri perhatian kepada rungutan dan ketidakpuasan hati rakyat, tidak mustahil "angin perubahan" akan bertiup di negeri ini. The Star tidak pula menjelaskan mengapa Kedah juga termasuk dalam "hotspots" yang beliau maksudkan. Mungkin rakyat di sana telah bosan dengan kerajaan yang didominasi Umno yang gagal memenuhi keperluan mereka. Mungkin faktor Tun Dr Mahathir kuat bermain di Kedah. Mungkin rakyat Kedah mahukan kerajaan yang lebih berjiwa rakyat. Apa pun pandangan Tun Daim ini terus diberi respons oleh Abdullah ketika ditanya oleh para wartawan. Kata Abdullah kita akan beri perhatian kepada negeri-negeri ini dan menghargai pandangan Tun Daim. Pandangan Tun Daim ini jelas menambah kusutkan lagi Abdullah. Beliau sebelum ini dikatakan berhadapan dengan kecenderungan masyarakat Cina untuk memberi sokongan kepada pembangkang pula kali ini, ditambah dengan ketidakpuasan hati masyarakat India ekoran isu Hindraf. Kini masuk pula tiga negeri ini, itu beluam lagi mengambil kira Kelantan dan Terengganu.Mungkinkah BN di bawah Abdullah akan menghadapi gerhana yang lebih teruk dari zaman Tunku pada tahun 1969 atau zaman Tun Dr Mahathir pada tahun 1999?

21 Disember 2007

Jawap .. Pak Lah Jawap ... Jangan Tak Jawap ..



Perdana Menteri Mesti Menjawab Samada Keputusan Datuk Mohd Ali Rustam Membelakangkan Nilai Moral Dengan Menganugerahkan Gelaran Datuk (DMSM) Kepada Hasnoor Sidang Husin ,Seorang Penjenayah Pecah Amanah Dan Ekstremis Anti-Bukan Melayu Adalah Selaras Dengan Usaha Mendirikan Integriti Dan Memupuk Perpaduan Negara Dalam Pentadbiran BN.




Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti menjawab samada keputusan Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam membelakangkan nilai moral dengan menganugerahkan gelaran Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada Hasnoor Sidang Husin, seorang penjenayah pecah amanah dan ekstremis anti-bukan Melayu adalah selaras dengan usaha mendirikan integriti dan memupuk perpaduan Negara dalam pentadbiran BN. DAP amat terkejut dengan jawapan Datuk Mohd Ali di mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka minggu lepas di mana beliau menyatakan kerajaan negeri mahu memberikan anugerah ini beberapa tahun lebih awal lagi kepada Hasnoor sungguhpun beliau mempunyai rekod jenayah.Pihak Kerajaan negeri telah menulis surat kepada pihak polis Melaka yang menjawab bahawa polis tidak ada sebarang bantahan terhadap penganugerahan DMSM dan terpulang kepada Ketua Menteri. Apakah keistimewaan sumbangan Hasnoor kepada Melaka selain daripada rekod pecah amanahnya kerana YAB Ketua Menteri nampak sangat begitu percaya kepada Hasnoor? Selain daripada pengaungerahan gelaran Datuk, Hasnoor juga dilantik sebagai Pengarah Bahagian Majlis Tindakan Ekonomi & Sosial Bumiputera Negeri Melaka(Penyertaan Bumiputera) di Pejabat Ketua Menteri.Penerima anugerah DMSM perlu mempunyai sifat mulia dan kelakuan baik selain daripada sumbangan terpuji kepada masyarakat umum di Melaka. Hasnoor disabitkan kesalahan pecah amanah di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan dan telah dijatuhi hukuman 9 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 28 April 1995. Selepas rayuan ke Mahkamah Tinggi Melaka terhadap hukuman berat, pada 16 Oktober 1995 hukuman telah diringankan kepada 1 hari penjara dan denda RM 1,500 jika gagal bayar 6 bulan penjara. Dengan kata lain, Hasnoor adalah penjenayah pecah amanah!Hasnoor juga ditegur keras oleh YAB Perdana Menteri pada Disember 2006 kerana membuat ucapan ekstremis pada Persidangan Agung UMNO tahun lepas yang mengancam kaum bukan Melayu. Dalam siaran secara langsung di kaca mata televisyen Hasnoor memberikan amaran kepada kaum bukan Melayu bahawa UMNO sedia mengorbankan nyawa dan bermandi darah untuk mempertahankan bangsa dan agama.Abdullah mesti tegas bahawa mereka yang ada rekod jenayah dan juga sejarah ekstremis berbau kaum anti-bukan Melayu tidak layak dianugerahkan dengan DMSM. Adalah penting Hasnoor tidak memberikan gambaran palsu bahawa gelaran Datuk diberikan juga kepada penjenayah ataupun adalah hadiah kepadanya kerana membuat ucapan anti-bukan Melayu. Oleh itu Abdullah mesti mengarahkan Ali bila Perdana Menteri membuat lawatan rasmi pada1.12.2007 untuk menarik balik gelaran Datuk ini daripada Hasnoor demi mempertahankan nilai dan nama baik Datuk. Kalau tidak, ramai orang muda tidak takut melakukan kes jenayah kerana tahu 12 tahun kemudian, semua kesalahan dan jenaya ini boleh dilupakan malah dimaafkan dengan penganugerahan gelaran Datuk.
sumber: www.dapmalaysia.org

19 Disember 2007

Syabas Pas Pahang Kerana Lebih Prihatin Pada Rakyat Pahang .. Melaka ???

Banjir luar biasa di Pahang yang mengakhiri tahun 2007 pastinya memadam kesombongan pemimpin Umno/BN yang berada di puncak kuasa. Mereka dengan angkuh mendakwa sudah bersiap sedia menghadapi banjir rupa-rupanya hanyalah kenyatan kosong semata-mata apabila banjir benar-benar melanda. Jentera mereka yang dikatakan hebat itu mendedahkan segala kelemahan dan kegagalan.Mereka hanya gah di media, menjadikan mereka kelihatan bersama rakyat, ia hanyalah projek propaganda menjelang pilihan raya. Jentera melawan banjir yang gah itu diturunkan maksima hanya apabila ada pemimpin besar datang melawat mangsa banjir tetapi di medan sebenar mereka gagal memberi khidmat, apatah lagi jentera Putera dan Puteri Umno tidak menyerlah. Putera datang hanya untuk sesi penggambaran filem/video seleps itu pergi meninggal rakyat dalam dalam kesusahan tanpa bekalan eletrik dan air bersih.
Namun tanpa laporan media arus perdana, dengan kemampuan terhad, jentera PAS bergerak seperti kebiasa membantu apa yang termampu. Di sebalik laporan media kurangnya penglibatan NGO membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara (khususnya di Pahang) berbanding di Johor tahun lepas, PAS dan sukarelawannya dari Pasukan Unit Amal yang telah terkenal dengan jolokan Tentera Merah mendahului pihak-pihak lain menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir tanpa mempedulikan latar belakang pegangan politik. Walaupun PAS sebuah parti politik miskin dengan kemampuan yang terbatas ahlinya bertungkus lumus menghulurkan bantuan sekadar termampu, anggota PAS berkerja tanpa bantuan kewangan dan peralatan daripada pihak berkuasa. Mereka menggunakan apa sahaja yang ada bagi membantu mangsa banjir di mana saja. Tiga hari selepas jentera PAS bergerak baru jentera Putera Umno datang menghulur bantuan makanan berlambang Putera Umno (Bantuan dari PAS tidak meletakkan apa-apa lambang pun!). Di Temerloh, Pengarah Operasi Bantuan Banjir PAS Kawasan Temerloh, Syed Hamid mengakui pihaknya telah membelanjakan lebih RM15,000 bagi membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan Temerloh khususnya kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan, Lancang dan Mentakab. Bermula dengan RM0.00, pihaknya merayu sumbangan daripada orang ramai, hasilnya Tabung Mangsa Banjir berjaya mengumpul dana RM15,000 bagi membeli barangan keperluan secara tunai daripada pembekal.
Tambah Syed Hamid, lebih 700 mangsa banjir menerima bantuan daripada Pusat Bantuan Banjir Barisan Alternatif (BA). Banjir kali ini adalah yang terbesar sejak 20 tahun lalu ia itu ahmpir manyamai banjir pada tahun 1988. "Sumbangan PAS ini diakui pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menghubungi saya mengakui PAS merupakan organisasi yang terkehadapan dalam membantu mangsa banjir," katanya . Sementara itu PAS Kawasan Maran telah membelanjakan lebih RM10,000 untuk membantu 500 keluarga mangsa banjir di daerah itu. Ketua Lujnah Kebajikan PAS Kawasan Maran, Jaafar Mat Tam berkata, Chenor menjadi daerah teramai melibatkan perpindahan mangsa banjir. PAS kawasan telah membuka bilik operasinya semenjak 10 Disember yang lalu. Tambah Jaafar, selain menyalurkan bantuan beras, gula, susu dan tepung kepada mangsa mereka turut membekalkan air bersih. Bekalan air di daerah Maran telah terputus sejak 11 Disember lalu dan keperluan untuk mendapatkan air bersih amat mendesak selain itu penduduk daerah ini turut terputus bekalan eletrik.
Sementara itu Yang DiPertua PAS Kawasan Maran, Tuan Guru Hj Mohd Baki Othman berkata sepanjang hampir 40 tahun mendiami Kampung Lanting, Chenor dan beberapa kali menjadi mangsa banjir, ahli-ahli PAS sering kali dianaktirikan oleh pemimpin Umno tempatan dalam pengagihan bantuan banjir. "Tidak pernah ketua kampung datang bertanya saya, tidak pernah sebiji beras, sesudu gula mahupun seekor bilis pun saya terima dari mereka sebagai mangsa banjir, mereka mendiskriminasi kami," ujar beliau yang mengendlikan pondok Ar-Redzuan.
Bagi kawasan Felda di Jengka, kawasan Parlimen Kuala Krau, banjir yang melanda pada 10 Disember lalu adalah sangat luar biasa . Penduduk mendakwa belum pernah dilanda banjir sebegini besar. Seorang anak peneroka Felda Jengka 15, Engku Nurzaman Engku Muhammad 38, berkata sepanjang menetap di Jengka lebih 30 tahun lalu, inilah kali pertama kali banjir melanda seluruh kawasan Jengka 15. Katanya, pada tahun 1988 pernah berlaku banjir yang menenggelamkan jalan raya yang menghubungkan Jengka 15 dengan 16, tetapi hanya sekitar satu kaki sahaja. Tetapi banjir kali ini menenggelamkan jalan raya sehingga paras leher.
Sementara itu, Pengarah Amal Kawasan Kuala Krau, Ustaz Aris Faizul Ismail berkata walaupun tanpa persedian menghadapi banjir, pihaknya bertindak pantas mengerahkan semua anggota amal menjalankan operasi menyelamat sebaik saja banjir mulai melanda sekitar jam 9 malam.
Operasi Unit Amal yang pertama ialah memindahkan mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan di jalan raya Jengka 15 dan 16 iaitu kawasan yang mula-mula ditenggelami air.
"Kami juga turut membantu mengeluarkan kenderaan yang ditenggelami air di kawasan Matau, Bandar Jengka," ujar beliau. Pada malam tersebut juga Unit Amal telah mewujudkan Unit Kawalan yang meninjau kawasan-kawasan berpotensi dinaikki air. Seawal jam 5.30 pagi seorang penyokong Umno yang menghubungi Unit Amal memohon bantuan untuk memindahkan barang-barang dirumahnya yang mula dinaiki air. Pada hari pertama banjir, Unit Amal bersama Pemuda PAS Majlis Tindakan Pilihan raya Dewan Undangan Negeri (MTD) Jengka telah menyediakan makanan untuk mangsa banjir yang terperangkap dan bantuan makanan itu diteruskan sehingga beberapa hari. Amal juga sedang bertungkus lumus menjalankan operasi pembersihan di rumah-rumah mangsa banjir. Bagi penduduk Matau, Bandar Jengka, sumbangan yang disampaikan oleh MTD Jengka adalah sumbangan pertama yang diterima semenjak beberapa hari menjadi mangsa banjir. seorang lelaki yang bertanggungjawab terhadap kebajikan penduduk Matau, yang hanya mahu dikenali sebagai Sabri berkata pihak berkuasa beberapa kali meminta senarai nama mangsa banjir daripada beliau tetapi selepas diberi, bantuan tidak juga diterima penduduk. Seorang pemimpin wanita Umno di Matau melahirkan rasa kecewanya kerana pemimpin yang puja selama ini tidak langsung menunjukkan kesungguhan untuk membantu mangsa Beliau yang di kenali sebagai Mak Cik Odah mengakui selama ini di rumah beliaulah berlangsungnya mesyuarat-mesyuarat Umno, tetapi ternyata parti yang disokongnya gagal membela nasibnya apabila banjir melanda.
Antara punca kegagalan pihak berkuasa khususnya dalam pengagihan bantuan banjir ialah kelemahan Jawatan Kuasa Kemajuan dan Kampung (JKKK) yang diberi tanggungjawab mengendalikan pusat perpindahan. JKKK yang dikuasai pemimpin Umno rata-rata tidak popular di kalangan masyarakat kerana mereka menjadi pengerusi dan anggota JKKK melalui lantikan politik bukan dipilih penduduk. Sikap buruk seperti mengutamakan ahli Umno dan kroni jelas kelihatan. Rata-rata kepimpinan JKKK tidak langsung dihormati penduduk.
Sistem pengagihan bantuan yang diberi melalui pusat perpindahan (hanya mereka yang berpindah sahaja mendapat bantuan) lebih menyulitkan keadaan, Ia turut diambil kesempatan rakan anggota JKKK yang berpindah ke pusat perpindahan walaupun kediaman mereka tidak dinaiki air. Akibatnya bantuan yang disalur kerajaan diterima oleh mereka yang tidak layak manakala mangsa banjir tegar tidak menerima bantuan itu. Bagi PAS, sistem digunapakai ialah membuat penghantaran terus ke rumah mangsa (ia tidak mampu dilakukan JKKK). Pasukan Amal PAS berjaya menghantar bekalan terus ke rumah mangsa. Petugas Amal bekerja tanpa upah dan tiada kepentingan peribadi. Di Chenor, Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan sendiri turun padang menyampaikan bekalan kepada mangsa banjir di kampung Chenor Seberang, Ladang dan Machang Gelap. Beliau meredah lautan banjir menaiki bot yang sarat dengan bekalan makanan dan air bersih dan melihat serta mendengar masalah mangsa banjir yang tinggal di pusat-pusat perpindahan tanpa bekalan air dan eletrik. Beliau turut melawat beberapa keluarga mangsa yang berpindah ke dalam ladang kelapa sawit di bawah khemah sementara yang dibina sendiri. Katanya, kerajaan tidak bersedia untuk menghadapi bencana banjir, apa yang diucap oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) hanyalah retorik semata-mata manakala media mereka memberi fokos kepada negeri Kelantan kononnya banjir di Kelantan lebih buruk berbanding Pahang wal hal keadaan adalah sebaliknya. "Banjir membukti kegagalan kerajaan BN mengurus bencana dan rakyat boleh menilainya sendiri," ujarnya.

Umno telanjangkan Melayu untuk lawan Hindraf

MELAKA, 18 Dis (Hrkh) - Tindakan Umno yang sanggup menelanjangkan atau mendedahkan keaiban bangsa Melayu sebagai perisai untuk mempertahankan diri setelah tersepit dengan isu Hindraf telah menzahirkan sifat munafik pada diri mereka.Menurut Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, apabila mereka tersepit di asak kumpulan Hindraf, mereka gunakan kemiskinan orang Melayu sebagai perisai untuk menyelamatkan diri mereka yang munafik pada bangsa sendiri. "Ini kerja Umno! dia sanggup menelajangkan keaiban bangsa sendiri untuk mengelakkan daripada dituduh gagal melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemerintah sejak 50 tahun lalu."Bila terdesak sanggup melondehkan maruah bangsa sendiri, ini munafik paling akhbar dalam abad ini," kata beliau ketika berceramah di Serkam Darat, Jasin, di sini.
Beliau berkata, baru-baru ini satu seminar yang dianjurkan oleh United Nation Development Program (UNDP) iaitu program pembangunan oleh PBB dan Universiti Malaya dalam kertas-kerjanya telah menyatakan tentang kaum yang paling miskin ialah kaum bumiputera di Sabah, Sarawak dan orang Melayu di negeri pantai timur Kelantan dan Terengganu.
"Saya bawa hujah ini ke dalam parlimen, tiada seorang pun yang berani bangun untuk lawan hujah ini, apa Umno dah buat untuk bantu orang Melayu selama 50 tahun memerintah malah orang Melayu disogokkan dengan pelbagai janji kerana pengundi Melayu adalah simpanan tetap Umno. "50 tahun merdeka Melayu makin jauh mundur tertinggal dari segi pemilikan ekonomi, ini fakta dan saya bersumpah! saya akan bercakap dalam dan luar parlimen lawan mereka bukan dengan hujah kita tapi dengan hujah mereka. "Saya akan guna senjata dan peluru mereka, saya akan bunuh mereka dengan senjata mereka sendiri," katanya sambil disambut dengan laungan takbir. Di samping itu, beliau tidak menafikan bahawa PAS juga mempunyai hujahnya tersendiri tetapi beliau menyimpannya dulu buat sementara ini dan akan menggunakannya apabila ia perlu kelak. "Umno guna polis nak ugut kami, guna polis tangkap kami, halang ceramah kami, ini tindakan pengecut, bacul dan tidak bertamadun, mereka hilang pertimbangan mereka tidak boleh jawab hujah lalu mereka guna ISA. "Saya dan rakan-rakan akan tuntut sehingga wujudnya perhimpunan aman dalam negara kita walau terpaksa membayar dengan harga yang mahal, kita tidakkan berganjak kerana ada dalam perlembagaan negara dan kita akan tetap perjuangkan," kata beliau. Seterusnya, beliau mengajak orang Melayu mengajar Umno pada kali ini dengan mengundi pembangkang kerana bangsa lain telah mengajar Umno dengan kuasa undi mereka dan sekarang tibalah giliran orang Melayu pula untuk mengajar Umno.

18 Disember 2007

KUCING SAYANGKAN TUAN .. UMNO TAK SAYANGKAN ISLAM

Sempena wukuf di Arafah hari ini (18 Disember) dan Hari Raya Korban esok (di Arab Saudi), disiarkan Kisah Dari Tanah Suci ini untuk iktibar bersama. Kisah ini mengenai seorang wanita Muslimah Melayu berasal dari Perak yang menunaikan haji kira-kira enam tahun lalu.
Wanita ini kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan sentiasa sakit, menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah petugas Arab menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik antara Bukit Safa dan Marwah.
Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur. Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja.
Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya.
Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing. Dia melayan makan dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang, diberikan makan dan minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi.
Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh, tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit serius. Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap.
Maka terkenallah rumahnya jadi pusat rawatan kucing. Mana-mana kucing yang mati dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk Allah yang lemah lembut itu.
Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan sihat, serta cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas.
Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di depan mata sudah terkabul sudah.
Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang muda dan sihat. Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah solat fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar hajatnya dimakbulkan.
Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam dengan keadaan bertongkat, beliau terjumpa seekor kucing yang kurus, comot, lemah dan lapar.
Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan nian wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di kota suci Makkah.
Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang murni.
Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu telah menggesel kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib sungguh, kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat, seperti orang muda.
Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya. Tertunailah hajat yang terbuku di hatinya selama ini, berkat menolong seekor kucing di Makkah yang mulia itu..
Setelah tawaf wida (selamat tinggal) dan menziarahi Masjid Nabawi, hajah yang solihah tadi berserta rombongannya bersiaplah untuk pulang ke Malaysia.
Sewaktu hendak menaiki tangga pesawat di Jeddah, Muslimah tua tadi terlopong melihat seekor kucing yang mirip kucing yang ditolongnya sewaktu di Makkah dulu.
Kucing itu duduk di sisi tangga pesawat itu sambil matanya merenung sayu padanya. Apabila Muslimah tadi sampai ke anak tangga teratas, kucing tadi ghaiblah daripada pandangannya.
Demikianlah ganjaran dan berkat orang yang mengasihi kucing, seperti Nabi kita s.a.w. mengasihinya di dunia ini, lebih-lebih besarlah pahala menunggunya di alam akhirat nanti. Amin. - lanh

JOM PUASA 9 ZULHIJJAH NIE

PENGKALAN CHEPA, 17 Dis (Hrkh) - Umat Islam digalak berpuasa sunat pada 9 Zulhijjah bagi mendidik manusia untuk melawan hawa nafsu, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. "Tarikh 9 Zulhijjah merupakan hari di mana umat Islam yang menunaikan haji, akan wukuf di Padang Arafah mulai esok. Wukuf bermakna 'duduk' yakni melatih manusia 'mati' kerana berpakaian seperti orang dikafankan," katanya di majlis penyampaian Kad Kifaalah di sini, hari ini. Esok kerajaan negeri juga akan mengadakan program khas sempena Hari Wukuf di Masjid Bandar Tanah Merah bermula jam 8.30 pagi, memandangkan esok merupakan tarikh 9 Zulhijjah di Arab Saudi. Program itu merupakan acara tahunan di Kelantan yang diadakan sejak lebih 10 tahun lalu. Menteri Besar Kelantan itu berkata, Takaful Kifaalah yang dilaksanakan di Kelantan sekarang menjadi ikutan beberapa negeri termasuk Selangor yang kini sedang dalam proses melaksanakan skim tersebut. Pada majlis itu juga beliau menyampaikan kad kifaalah kepada 11 pencarum dan cek sebanyak RM2,000 kepada setiap 21 orang wasi. Sementara itu, Penolong Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Rosli Abdullah berkata, sehingga kini keahlian Takaful Kifaalah yang berdaftar berjumlah 99,393 orang, di mana 3,222 pencarum telah meninggal dunia. Selain itu katanya, Takaful Kifaalah menarik minat pelajar-pelajar intitusi pengajian tinggi membuat kajian mengenainya.

Tamatkan Riwayat Pemerintahan UMNO Melaka

Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman berkata, Melaka mesti dibebaskan dari cengkaman Umno BN yang merosakkan rakyat dan negeri."Rakyat mesti tukar kerajaan yang ada pada hari ini dengan kerajaan bersih, adil dan telus serta kuat"."Kita tidak mahu rakyat negeri ini terus diperintah di bawah kerajaan yang rasuah, zalim dan lemah" kata Ustaz GhaniBeliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada program Himpunan Jentera Pilihanraya PAS "GEGAU" Melaka di sini semalam."Pemimpin Umno hari ini kaya raya, rakyat miskin dan menderita. Selain itu rakyat sering diugut dengan bermacam-macam ugutan jika tidak menyokong Umno".Babi di Paya Mengkuang sudah 50 tahun dibiarkan, baru sekarang kerajaan terhegeh-hegeh mengambil tindakan, mengapa sebelum ini ianya dibiarkan"tanya Ustaz Ghani.Ketika menyampaikan ucapannya, beliau membayangkan bahawa PAS Melaka akan membuat kejutan dengan memenangi beberapa kerusi pada Pilihanraya kali ini berdasarkan perkembangan semasa di mana kecenderungan pengundi Cina dan India untuk menyokong pembangkang.

Rashid adalah 'kuda terbaik' Umno dan BN

Kalau betul Tan Sri Abdul Rashid sanggup berhenti dari menjadi Pengerusi SPR jika terdapat sebarang penyelewengan atau salah urusan dalam perjalanan pilihan raya dan pentadbirannya di SPR; maka dengan enam penyelewengan yang dikemukakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Tan Sri Rashid perlu mengambil tindakan untuk mengosongkan kerusinya. -->

Enam perkara kecuaian yang Anwar sebut itu adalah:
  1. Dalih tidak sempat untuk memproses 680,000 pengundi baru yang mendaftar pada tahun 1998-1999. Ia menafikan hak mereka mengundi pada tahun 1999;
  2. Satu daerah mengundi tidak wujud di kawasan Parlimen Gombak; dua daerah mengundi dengan nama Kemesah – memberi dua keputusan berbeza;
  3. Ayah Azmin Ali yang meninggal dunia pada 2001 turun mengundi BN pada 2004;
  4. Sejumlah 37.6 peratus pengundi kawasan Parlimen Lembah Pantai punya alamat tidak boleh dikesan;
  5. Sejumlah 142 kertas undi di empat peti undi daerah mengundi Pekan Batang Berjuntai Bestari Utara tidak dipulang dalam pilihan raya kecil Ijok 2006;
  6. Terdapat 8,463 pengundi baru dalam masa tiga bulan di kawasan Parlimen Ipoh Timur dalam Oktober 2007. Majoriti Lim Kit Siang di situ dulu 9,774 saja.

Enam kecuaian yang dibuat oleh Anwar itu adalah satu dakwaan. Betul atau tidak belum tahu lagi. Tetapi ia boleh menjadi asas bagi Tan Sri Rashid untuk mengambil tindakan menunaikan janjinya untuk berhenti kiranya ada bukti kecuaian pentadbirannya. Dia boleh mengambil langkah menjawab setiap kes yang disebut oleh Anwar itu. Anwar hingga ke saat ini mempunyai rekod yang baik. Yang meragukan rekodnya hanya mahkamah yang diragukan oleh semua pihak. Yang mengatakan dia tidak baik hanya Dr. Mahathir yang tidak suka kepadanya. Mahkamah yang membicarakan Anwar ditolak oleh masyarakat umum. Mahkamah Rayuan pula membebaskan Anwar dan kemudian kes adik angkatnya juga bebas. Hakim yang membebaskan Anwar setelah dipenjara 6 tahun, sekarang menjadi Ketua Hakim Negara yang baru. Ini menjadikan moral Anwar Ibrahim kuat. Maka dakwaannya atas perjalanan SPR di bawah Tan Sri Rashid juga adalah kuat. Maka Tan Sri Rashid perlulah menjelas setiap satu dakwaan enam perkara yang dikemukakan oleh Anwar itu. Tan Sri Rashid belum memberikan reaksi yang serius atas dakwaan Anwar itu. Kalau ada reaksi hanya setakat mengatakan tiada bukti. Mengatakan tiada bukti atas sesuatu dakwaan dengan tidak membuktikan ia tiada bukti tidak boleh dipakai. Bagi mengatakan tiada bukti, mestilah ada satu mekanismenya. Iaitu ia disiasat oleh satu badan bebas. Badan itulah yang akan mengesahkan ada bukti atau tidak ada bukti. Sekadar Tan Sri Rashid saja yang berkata begitu, ia seperti bersaksi ke lutut. Tiada mana badan bermaruah boleh mengiktiraf saksi ke lutut. Selagi Tan Sri Rashid tidak membuat penjelasan yang boleh meyakinkan orang ramai, maka dakwaan Anwar itu diterima oleh masyarakat. Boleh jadi Anwar tidak betul. Tetapi selagi tiada penjelasan Tan Sri Rashid yang terperinci dan meyakinkan, maka dakwaan Anwar itu terpakai. Dengan tuduhan yang dibuat oleh Anwar itu telah ada jawapan kepada ugutan Tan Sri Rashid yang berundur juga ada sebarang kecuaiannya. Anwar sudah mengemukakan mengapa Tan Sri Rashid patut memenuhi cabaran untuk berundur.
Ketika Tan Sri Rashid menjawab serangan atas kelemahannya dan kelemahan SPR, orang melihat Tan Sri Rashid tegas dan kuat. Jika dia tidak kuat masakan dia membuat pengakuan yang begitu berani. Tetapi setelah Anwar membuat dakwaan, orang melihat Tan Sri Rashid begitu lemah. Dia tidak menjawab satu persatu dakwaan Anwar.
Orang tidak mellihat Tan Sri Rashid berani mengambil langkah membuka jalan kepada berhenti atau tidak. Mungkin kerajaan tidak akan berbuat apa-apa. Tetapi jika Tan Sri Rashid seorang yang bermaruah, seperti hari dia mengatakan sanggup berundur itu, maka dia patut mengambil langkah menghadapi dakwaan Anwar itu. Memang watak Rashid selama ini dilihat angkuh dan tidak bersungguh menghadapi sebarang teguran dan kritik. Biasanya semua kes dijawabnya secara loyar buruk. Satu kes yang hingga ini dia tidak dapat jawab ialah dolak-daliknya atas cadangan penggunaan dakwat dijari pengundi yang sudah membuang undi. Ketika ia mula disuarakan, dialah yang menolaknya. Bukan badan lain yang menguasai SPR itu seperti Parlimen dan sebagainya. sepatutnya dia menyerahkan perkara itu kepada Parlimen. Selagi Parlimen tidak mengarahkannya menggunakan dakwat, ia tidak berbuat apa. Kalau dia fikir dakwat itu munasabah, maka dia boleh mengemukakan cadangan itu kepada semua pihak yang ada kepentingan dengan SPR.
Tanpa usul periksa dia tolak. Apabila DAP membuat memorandum tentang hal itu dikatakan PAS tak setuju. Bila PAS tanya dia bila PAS tidak setuju? Yang dijelaskannya pada PAS, yang dikatakannya pada DAP, bukan PAS tidak setuju, tetapi ulama India tidak setuju kerana dakwat itu tidak lut air wuduk. Ia satu loyar buruk. Ia tidak pernah dibersihkannya kepada umum.
Jika Tan Sri Rashid benar-benar peka dengan teguran orang ramai, dan dia serius dengan hasrat untuk berhenti, maka dia sudah boleh mengambil langkah menjelaskan dia tidak bercadang untuk menyambung khidmat itu hujung bulan ini apabila tempoh perhidmatannya tamat setelah berusia 65 tahun. Tidak perlu Parlimen membuat pindaan atas akta pilihanraya untuk membolehkan pengerusi dan lembaga SPR berkhidmat hingga usia 66 tahun. Tiada apa perlunya had usia 65 tahun itu dipinda kepada 66 tahun. Pindaan yang Parlimen buat adalah untuk membolehkan Tan Sri Rashid berkhidmat setahun lagi bagi mengendalikan pilihan raya umum yang sudah dekat itu. Parlimen berbuat begitu bukan kerana kerja itu tidak boleh dibuat oleh orng lain, tetapi dia adalah 'kuda' yang terbaik bagi UMNO.

17 Disember 2007

Keselamatan rakyat tidak terjamin di bawah BN?

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Hrkh) - Sejak berlaku beberapa perhimpunan aman yang diadakan atas kesedaran rakyat, pimpinan kerajaan Barisan Nasional khususnya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mula memainkan isu kononnya keamanan dan keselamatan negara semakin terancam.Lantaran itu, banyak tangkapan dilakukan melibatkan pemimpin parti politik, pemimpin NGO dan aktivis hak-hak asasi manusia walaupun dalam kebanyakan himpunan aman yang dianjurkan tiada setitis darah yang tumpah apatah lagi nyawa yang melayang, kata Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani.
Tetapi dua hari lalu, negara dikejutkan dengan kemalangan ngeri yang melibatkan bas ekspres dan lori tangki yang berlaku di Plaza Tol Jelapang untuk sekian kalinya, katanya.
Kemalangan ngeri kali ini telah mengorbankan lapan orang rakyat yang tidak berdosa dan puluhan lain yang cedera parah, katanya dalam satu komentarnya hari ini.
"Masih segar dalam ingatan rakyat, kemalangan ngeri yang berlaku ditempat yang sama dan dalam situasi yang hampir sama yang berlaku dalam tahun 2007 juga dan telah mengorbankan sejumlah rakyat yang tidak berdosa," kata Taufek yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS Pusat. Kemalangan ngeri di tempat yang sama ini telah berlaku sejak Plaza Tol Jelapang dibuka dan ia berulang beberapa kali sejak tahun 2001, katanya.
"Tiada siapa yang mengaku bersalah samada pihak PLUS , Menteri Kerjaya Dato̢۪ Seri Samy Vellu mahupun Perdana Menteri Malaysia," katanya. Semuanya menyalahkan keadaan cuaca yang berjerubu, masalah pemandu kenderaan dan keadaan kenderaan yang tidak selamat, katanya. Mereka sama sekali tidak berasa bersalah atas nasib kaum keluarga yang tidak kehilangan insan yang tersayang, katanya. "Bagaimanakah keadaan mereka sekarang, tiada siapa yang peduli? Tidak seorang yang berani menyatakan kebertanggungjawapan mereka dan menzahirkan perasaan tersebut dengan mengambil tindakan meletak jawatan," katanya. Taufek yakin jika peristiwa yang sama berlaku di Jepun atau Korea , menteri dan Perdana Menteri akan meletak jawatan di kelemahan dan kecuaian pemerintahan mereka. Jika mereka tidak meletak jawatan, rakyat akan berhimpun bagi memaksa mereka meletak jawatan, katanya. Tetapi sikap pemimpin-pemimpin di negara maju ini tidak pernah dicontohi oleh pemimpin -pemimpin di Malaysia, katanya. Beginilah sikap pemimpin negara kita yang tidak peduli nasib rakyat dan tidak sedikitpun rasa bersalah atas kehilangan nyawa yang tidak boleh diganti dengan nilai jutaan ringgit sekalipun," katanya. "Saya yakin ramai yang bersetuju bahawa kemalangan kali ini dapat dielakkan jika kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengatasi segala kelemahan dan faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini," katanya. Dalam pada itu Taufek juga melahirkan rasa kekesalan yang amat tinggi atas kenyataan Perdana Menteri sewaktu diminta memberi komen tentang penganjuran LIMA 07 yang berakhir baru-baru ini. Taufek menyelar kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa LIMA kali ini adalah yang terbaik sekali penganjuran dan Perdana Menteri berasa bangga atas kejayaan tersebut tanpa menyebut sedikit pun pengorbanan empat anngota TUDM yang terbunuh. Kenyataan ini sebenarnya mengguris perasaan keluarga empat orang anggota Skuad Payung Terjun TUDM yang terbunuh sewaktu latihan bagi pertunjukan majlis Perasmian LIMA 2007, katanya. Bagi Taufek, ini adalah penganjuran LIMA 2007 kali ini adalah yang terburuk sepanjang LIMA diadakan, katanya. "Akhirnya, kerana tiada harapan yang rakyat dapat disandarkan pada kepimpinan BN dalam mengharapkan penyelesaian di Plaza Tol Jelapang dan bagi memungkinkan tragedi buruk ini tidak berulang lagi di masa hadapan, kita menyeru rakyat berusaha menamatkan riwayat kerajaan BN dalam pilihan raya yang akan datang," katanya

Tak Rasa Terhina kah kita ??

"Tempat kencing yang dibuat menyerupai wanita bertudung,lagi satu penghinaan oleh yahudi.Dah berbuih mulut suruh boikot perniagaan yahudi tapi degil jugak, rasakanlah akan akibat kedegilan itu.

Toilet Berbentuk Perempuan Berjilbab di Israel

Israel kembali melakukan penghinaan terhadap simbol-simbol Islam. Media massa Israel baru-baru ini melansir foto sarana buang air kecil yang dikeluarkan sebuah perusahaan di Israel, berbentuk perempuan berjilbab.Jenis tempat buang air kecil ini, menurut media massa Israel sangat laris di p asaran Israel.Sejumlah sumber seperti dikutip Albawaba menyebutkan bahwa bentuk toilet itu memang diarahkan untuk menghina simbol Islam dan kaum Muslimin. Produk pertamanya berasal dari AS dan diimpor ke Israel. Kini, bentuk toilet seperti ini sangat banyak didapati di Israel (na-str/albwb/eramuslim)
MELAKA, 13 Dis (Penjana) - Penduduk setempat mendesak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bertindak segera memusnahkan sebuah tokong dinamakan 'Datuk Putih Tua' di hujung Jalan PJ 16, Taman Pertam Jaya, Padang Temu, dekat sini, kerana menghina dan mempersendakan agama Islam.Patung dalam tokong itu dipakaikan kopiah putih, berbaju Melayu, berkain pelikat, tangan kanan memegang keris dan tangan kiri pula memegang tasbih seperti seorang pak haji sedang berwirid.Sehubungan itu, penduduk di kawasan terbabit juga mendesak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) supaya mengambil tindakan segera dengan memeriksa status pembinaan tokong berkenaan yang dipercayai dibina di atas tanah rizab MBMB sejak tiga tahun lalu.Menurut Setiausaha Penerangan PAS Melaka, Ustaz Khairul Che Salleh, bahawa patung dalam tokong itu secara tidak langsung menggambarkan satu persendaan terhadap masyarakat Islam hasil daripada pelaksanaan Islam Hadhari."Kesan daripada terjemahan Islam yang liberal (Islam Hadhari) oleh kerajaan Umno maka aqidah umat Islam mudah dipersendakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab."Persoalan hari ini, apakah pihak berkuasa tidak berusaha untuk menyiasat siapa yang punya angkara," kata beliau.Katanya, kewujudan tokong berkenaan dan cara patung yang dipakaikan kopiah sambil memegang tasbih menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan masyarakat Islam setempat, malah mencemarkan pemandangan di kawasan itu.Pada dinding tokong tersebut juga terdapat tulisan 'Datuk Putih Tua' ditulis dengan huruf jawi yang jelas mempersendakan Islam, sebatang tongkat, sebilah keris yang bersarung, buah limau dan sekampit beras.





TAMATKAN RIWAYAT BN SEGERA !!

KEPALA BATAS 16 Dis. – Barisan Nasional (BN) mampu untuk terus memerintah negara kerana mempunyai rekod pemerintahan yang panjang dan berjaya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, berdasarkan pengalaman yang panjang itu, parti berkenaan berjaya memacu ekonomi dan pembangunan negara ke tahap yang gemilang.“Kerana itu kita perlu mengekalkan tradisi ini (memilih kerajaan sekarang) bagi memelihara hubungan baik antara kaum untuk memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika melancarkan Gerak Gempur BN Kepala Batas di pekarangan Wisma UMNO di sini hari ini.Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas menambah, BN memerlukan mandat untuk tempoh yang lebih panjang bagi membolehkan usaha membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2020 dilaksanakan.Menurut beliau, sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, BN sentiasa memastikan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan kerana itu, ia sentiasa dihormati serta dihargai.“Kita adalah parti yang sentiasa mempunyai idea yang bernas untuk membangunkan negara dan memiliki kesungguhan politik,” jelasnya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu semua anggota parti bersiap sedia dan terus berkhidmat kepada rakyat walaupun tidak mengetahui bila pilihan raya umum akan diadakan.
“Saya diberitahu bahawa semua persiapan telah dibuat. Eloklah begitu, Kepala Batas ini kubu kuat BN dan kita perlu mempertahankan kubu kuat ini.“Kita ada tenaga yang banyak tetapi kerja mestilah lebih tersusun dan kerja kita tidak ada noktahnya,” tambah beliau. Pada pilihan raya umum 2004, BN mencatat kemenangan besar dengan mendapat 199 kerusi Parlimen berbanding DAP (12), Pas (6) dan masing-masing satu kerusi bagi Keadilan dan calon bebas.Sementara itu, BN menyapu bersih semua kerusi bagi Parlimen Kepala Batas dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu iaitu Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal.Abdullah mendapat 25,403 undi menewaskan calon Pas, Khalid Rasid yang mendapat 7,281 undi. Bagi kerusi DUN Penaga, Datuk Azhar Ibrahim mendapat 6,707 undi menewaskan calon Pas, Subri Arshad (4,462 undi).DUN Bertam pula, Datuk Helmi Rashid memperoleh 7,615 undi menewaskan calon Keadilan, Mahamad Hashim (2,350 undi) manakala DUN Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin mendapat 8,941 undi menewaskan lawannya Mohd. Salleh Man dari Pas (2,653 undi).

LAGI TERUK DARIPADA BADAK !!!!

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Hrkh) - Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi diingatkan agar tidak menjadi 'pekak badak' dengan keluhan dan rintihan keluarga tahanan ISA, lebih-lebih lagi mereka yang ditahan selama enam tahun tanpa sebarang perbicaraan.Wakil Pusat Sokongan Keluarga (PSK) GMI, Nuridah Salleh, berkata kerajaan yang mengakui pemerintahannya bersikap profesional, telus dan adil perlu membuktikannya dengan membawa kesemua tahanan ISA ke mahkamah untuk mensabitkan kesalahan mereka.
"Jika penjenayah tegar boleh dibawa ke mahkamah untuk disabitkan kesalahan mereka, mengapa tidak tahanan ISA yang sehingga hari ini tidak disabitkan bukti-bukti yang kukuh untuk dibawa ke mahkamah? " soal beliau, yang juga merupakan Ketua Muslimat PAS, di hadapan kira-kira 30 orang yang menyertai perhimpunan 'Wanita Prihatin Bersama Isteri Tahanan ISA', di Dataran Suhakam, pagi tadi. Program yang dianjurkan itu sebagai solidariti wanita agar mendesak kerajaan membebaskan kesemua tahanan ISA yang sudah mencecah enam tahun tempoh penahanan mereka. Perhimpunan itu bukan sahaja mengundang kehadiran wanita-wanita yang membantah kezaliman akta itu, malah turut dihadiri pihak polis sejak awal pagi lagi.
Harakahdaily difahamkan, sejak jam 9 pagi lagi pihak polis telah berkumpul bagi memantau keadaan sepanjang program berkenaan berlangsung.
Tidak cukup dengan kehadiran lebih 50 anggota polis berpakaian seragam dan biasa, wakil GMI seringkali didatangi anggota polis yang dikenali sebagai 'ASP Sydney' untuk bertanya tempoh program berkenaan.
Program yang bermula jam 10.30 pagi itu berakhir dengan suasana aman pada 11.30 pagi dengan beberapa pengisian seperti pertunjukan kad luahan perasaan daripada anak-anak tahanan, deklamasi sajak oleh isteri tahanan dan deklarasi wanita menentang keganasan ISA.
Deklarasi itu menyebut bahawa wanita Malaysia mendesak PM menghentikan kezaliman yang dikenakan kepada para isteri dan keluarga tahanan ISA; merayu agar seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian, bersama-sama berganding bahu berusaha memansuhkan ISA dan bebaskan semua tahanan tanpa bicara serta menutup kem Kemunting.
Sementara itu, dalam sidang media yang diadakan selepas penyerahan memorandum kepada Setiausaha Suhakam, Tuan Haji Yusof Ngah, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berharap Suhakam dapat memainkan peranan sebagai sebuah badan hak asasi kerana isu ini melibatkan bukan sahaja tahanan, tetapi keluarga mereka termasuk kanak-kanak.
Menyentuh soal permit dalam mengadakan program tersebut, Syed Ibrahim mengatakan bahawa pihaknya tidak memerlukan permit kerana perhimpunan ini adalah sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia yang membenarkan rakyat berhimpun secara aman.
"Lebih-lebih lagi, kita bertemu dengan Suhakam-sebuah badan hak asasi dan perhimpunan kita aman," tegas beliau.Ketika ditanya sama ada keluarga lima pemimpin Hindraf hadir dalam program ini atau tidak, isteri tahanan ISA, Norlaila Osman, berkata pihak GMI masih tidak dapat menghubungi keluarga mereka memandangkan situasi yang dihadapi mereka (keluarga Hindraf) ketika ini begitu rumit. "Saya percaya, saat ini mereka begitu sukar untuk berhadapan dengan orang awam kerana saat ini adalah saat SB-SB mengekori dan mengintip pergerakan mereka. Lebih-lebih lagi, mereka juga tidak mengenali GMI dan bimbang untuk mempercayai sesiapa kerana gangguan-gangguan daripada SB seperti isteri tahanan ISA hadapi selama ini," tegas beliau. Bagaimanapun, Norlaila berkata pihaknya akan segera mendapatkan maklumat secepat mungkin daripada pemimpin Hindraf bagi menyatakan sokongan mereka serta berkongsi pengalaman serta berjuang bagi membebaskan kesemua tahanan ISA

Hiburan melampau, Islam Hadhari hanya lakonan

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Hrkh) - Perlaksanaan Islam Hadhari oleh kerajaan Umno-BN adalah gimik politik semata-mata bagi mengelirukan rakyat terhadap perjuangan sebenar yang dibawa oleh Umno-BN.Ini termasuklah menghalalkan yang haram serta mengharamkan yang halal, seperti yang berlaku dalam fatwa penganjuran program karnival Jomheboh oleh Majlis Fawa Kebangsaan. "Matlamat dan dasar Umno-BN tidak berubah walaupun mereka kini mencanangkan pendekatan baru pada era pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi," ujar AJK PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin kepada Harakahdaily. Hal ini ujarnya membayangkan konsistennya dasar sekular yang dibawa serta menjelaskan hakikat Islam Hadhari, yang dikatakan Islam moderate atau sederhana itu sebagai fahaman yang menyimpang daripada Islam yang sebenar. Beliau yang juga merupakan bekas Pengerusi Persatuan Ulama' Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan yang tidak mengambil serius mengenai pemantauan program hiburan yang melampau serta menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Tambahnya, gejala sosial melalui penganjuran program hiburan serta memperkasakan budaya 'lagha' iaitu berhibur dengan melampau masih berterusan dan hebat adalah kesinambungan daripada dasar Umno-BN yang lama walaupun pelbagai nama dicipta bagi mengaburinya. Abdul Ghani mengulas mengenai tindakan kurang sopan artis semasa konsert 'Live n Loud KL 07' pada 28 November lalu. Kontroversi bermula pada malam R&B Nite di Stadium Negara apabila K-Ci & Jojo membuka baju dan memasukkan tangannya ke dalam seluar. Lil G Of Silk turut mencemarkan persembahan dengan aksi kurang sopan ketika menari bersama dua penonton wanita. "Jangan mudah terpedaya. Apa yang dilakukan oleh Abdullah kini adalah untuk mengukuhkan kezaliman yang sedang dilaksanakan oleh rejimnya bagi memelihara keselamatan Umno-BN, bukan keselamatan negara," kata Abdul Ghani. Jelasnya, meskipun terdapat garis panduan perlaksanaan hiburan dalam Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ia tidak cukup untuk membasmi masalah gejala sosial yang kini kian meruncing. Abdul Ghani berkata, tidak cukup dengan itu Abdullah sebagai Perdana Menteri yang sering bercakap tentang Islam seolah-olah mempermainkan tuntutan amar ma'aruf nahi mungkar yang menjadi tuntutan kepada pemerintah Islam yang berkuasa mencegahnya. "Inilah kesan daripada dasar Umno-BN yang mengasingkan Islam daripada politik dan pemerintahan Islam. Yang menjadi mangsa kepada keadaan adalah rakyat dan negara itu sendiri," tegasnya

Melaka Bergegau .. Serkam Pasti Bergegau kali nie ..

Telok Mas : Kira-kira 1,000 petugas Pilihanraya yang terdiri dari semua lapisan ahli PAS seluruh negeri telah 'mengGEGAUkan' Melaka hari ini. Mereka telah berhimpun di Balai Islam Telok Mas sejak jam 8.00 pagi bagi menyertai Program Himpunan Jentera Pilihanraya PAS Melaka yang bertemakan GEGAU Melaka.Program yang julung kali di adakan di Melaka selepas Pilihanraya Umum 2004 ini berjaya mengumpulkan semua petugas pilihanraya setiap kawasan bagi mendengar amanat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.Dalam amanatnya Presiden menegaskan bahawa seluruh jentera PAS setiap mesti bersiap siaga dengan segala kelengkapan guna untuk berhadapan dengan segala tipu muslihat BN yang sudah pasti akan lebih 'ganas' pada pilihanraya akan datang."BN sedang kepanasan sekarang, sudah pasti mereka akan menggunakan segenap jentera kerajaan dan SPR untuk memastikan mereka menang sekali lagi"."Jadi kita mesti bersedia dari semua segi untuk menangkis apa juga serangan dan tipu muslihat mereka"tegas Tuan Guru Presiden.Turut berucap pada program itu ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman dan Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Negeri Melaka, Mejar (B) Jasme Tompang.
Sementara itu di sebelah petangnya Dewan Pemuda PAS Negeri menganjurkan program gerak gempur jentera pilihanraya pemuda di tempat yang sama.Kira-kira 300 orang pemuda menghadiri program tersebut yang dirasmikan oleh Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ahmad Nazri Chik.Semua Dewan Pemuda PAS Kawasan menghantar wakil-wakil masing. Kontinjen paling ramai datang dari Kawasan Bukit Katil.

16 Disember 2007

Menteri Besar Contoh ??

KOTA BHARU, 16 Disember (hrkh) - Mungkin tidak berlaku di tempat lain, namun ianya berlaku di negeri Kelantan, apabila Menteri Besarnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjadikan kediaman rasminya JKR 10, sebagai tempat perpindahan mangsa banjir. Seramai 265 orang dari 69 keluarga telah bermalam di dewan kediaman rasmi Menteri Besar, yang terletak di Kampung Sireh sejak tiga hari lalu.Rumah rasmi tersebut sudah dua kali dijadikan tempat perpindahan mangsa banjir di mana buat kali pertamanya pada tahun 2004. Mangsa yang kesemuanya tinggal di Kampung Sireh termasuk sekeluarga dari masyarakat Cina bersyukur kerana diberi peluang berada di situ. Rata-rata mangsa banjir ditemui melahirkan rasa seronok berada di situ sehingga dapat melupai masaalah yang berlaku pada mereka. Kaum Cina dilayan baik Seorang warga Cina, Kang King Liean, ketika ditemui melahirkan rasa seronok ditempatkan di situ.Katanya, walaupun hanya beliau bersama ibu serta anaknya Robert Lim, yang berbangsa Cina, namun mangsa yang lain melayan keluarganya begitu baik sekali."Saya tidak menghadapi sebarang masaalah di sini, mereka yang senasib dengan saya, semuanya baik dan tidak ada masalah langsung. "Apa yang mereka makan, itulah yang saya makan," ujarnya dengan gembira ketika ditemui di tempat perpindahan banjir itu. Liean memberitahu, sebelum ini beliau menumpang rumah saudaranya di Kota Bharu, namun sekarang beliau tidak ingin lagi menyusahkan saudaranya."Bagus Menteri Besar kita, bagi peluang pada kita untuk tinggal di sini," ujarnya. Sementara itu Mohd Hanif Aiman Che Loh, 16, memberitahu sejak beliau tinggal di situ dua hari lalu, tidak kurang dua kali Anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) Bunut Payong, Dato' Takiyuddin Hassan, menjenguk mereka.Menurutnya, Takiyuddin hanya akan pulang ke rumah pada pukul 2.00 atau 3.00 pagi setelah menguruskan keperluan mangsa banjir di sini."Sebelum ni keluarga kami lima orang kesemuanya menumpang di rumah kakak di Kota Bharu, tetapi untuk tahun ni, kami nak beralih angina menumpang di sini," ujarnya.Hanif memberitahu, sewaktu anggota penyelamat ke rumahnya untuk menyelamatkan keluarganya, paras air di atas rumahnya sudah mencecah ke paras betis.

Terima kasih 'Tok Guru'

Siti Apuan Yusof, 59, mengakui beliau tidak begitu penat menghadapi musim banjir sejak 10 tahun kebelakangan ini kerana ianya jarang berlaku berbanding sebelum ini.Menurutnya, dua tahun lalu iaitu pada tahun 2006 dan 2005, beliau tidak perlu berpindah kerana banjir tidak berlaku di negeri ini. "Kalau adapun mungkin di sebelah Hulu Kelantan seperti di Gua Musang, tetapi kami di sini alhamdulillah, tidak berlaku setiap tahun," ujarnya. Beliau yang turut berpindah bersama 17 orang anggota keluarga termasuk cucu-cucunya mengakui tidak menghadapi masaalah berada di situ. "Terima kasih banyaklah pada tok guru (Nik Aziz) beri peluang pada kami untuk menginap sementara di sini," ujarnya. Sementara itu, Samiah Ahmad, 46, turut mengakui banjir di Kelantan sudah berkurangan berbanding sebelum ini."Saya ingat sewaktu kecil dulu tiap-tiap tahun, wajib berpindah bila saja tiba musim tengkujuh, tak tahulah, mungkin kerana keberkatan agaknya, alhamdulillah," ujarnya lagi yang berpindah bersama tujuh orang anggota keluarganya yang lain

Himpunan aman pertahan hak rakyat depan Suhakam 19 Disember

15 Dis (Hrkh) - Gabungan Mempertahan Hak Berhimpun (GMHB) akan mengadakan satu himpunan aman di hadapan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 19 Disember ini, kata jurucakapnya, S.Arutchelven. Dalam satu kenyataannya Arutchelven berkata, satu perhimpuman aman dan penyerahan memorandum akan diadakan di Pejabat Suhakam untuk mengutarakan dan mempertahankan hak berhimpun rakyat di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Himpunan itu juga diadakan bertujuan menyokong pendirian Suhakam dalam mempertahankan hak berhimpun dan pendirian dalam isu pemberian permit polis, katanya. Selain itu himpunan itu juga adalah bertujuan membantah segala tindakan pihak kerajaan dan mana-mana kumpulan lain yang berniat untuk mencabul hak berhimpun rakyat secara aman, katanya Himpuanan itu akan dimulakan pada jam 11.00 pagi di hadapan pejabat Suhakam, sehubungan itu rakyat dijemput untuk menjayakan himpunan hak rakyat itu, katanya

15 Disember 2007

Kezaliman pada "Cheng Ho " PKR .. Siapa Aniaya Siapa ??

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Hrkh) - PAS hari ini membuat laporan polis ke atas tindakan rampasan beberapa barangan peribadi yang dilakukan oleh pegawai polis cawangan khas (SB). Ketua Cawangan PAS Paya Berenjut Kemaman, Zulkifli Mohd dan sahabatnya, Fadhli Ibrahim beserta peguam mereka, Zamri yang turut sama turun ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKKL) jam 1 tengahari tadi bagi membuat laporan polis tersebut. Barang peribadi kedua-dua mereka yang telah dirampas adalah komputer riba, kamera digital serta beg pakaian mereka di pekarangan Tugu Negara, Taman Tasik Perdana pada jam 9 pagi semalam.


Kejadian itu berlaku ketika mereka sedang duduk di sekitar kawasan tersebut, dan secara tiba-tiba datang dua lelaki berpakaian biasa mengaku sebagai pegawai polis mahu menjalankan pemeriksaan ke atas Zulkifli dan Fadhli. Dalam kejadian tersebut, pihak polis hanya berjanji akan memulangkan semua barang yang 'diambil' itu selepas siasatan selesai. Dalam perkembangan lain, kira-kira jam 2 petang semalam, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk mendapatkan perintah lanjutan penahanan. Walau bagaimanapun, akibat kegagalan pihak polis mengemukakan dokumen pertuduhan yang lengkap, Tian Chua dibawa semula ke IPKKL. Pihak polis mengakui bahawa mereka memang tergesa-gesa pada ketika itu kerana menerima desakan yang hebat dari 'atas'.
Selepas dibebaskan, Tian Chua telah membuat satu aduan berhubung kenderaan milik Koordinator Informasi, Labour Resource Centre, Abdul Razak Ismail yang dinaiki beliau ketika menuju ke Parlimen terbakar ketika ditunda polis dari tempat di mana beliau ditangkap di hadapan Parlimen. Pihak polis mendakwa bahawa kereta tersebut telah terbakar dengan sendirinya dan tidak ada kena mengena dengan mereka. Namun, Tian Chua mendakwa bahawa kereta tersebut sengaja dibakar oleh pihak polis. Ini kerana ujarnya, tiada sebab kereta itu boleh terbakar dengan sendirinya, sedangkan tiada siapa yang menghidupkan enjin kenderaan itu selepas beliau dan Razak ditahan. Selain itu, aktivis reformasi, Norazimah Mohd Nor yang lebih dikenali sebagai Nora pula mendakwa bahawa pihak polis telah 'menahan' telefon bimbit beliau untuk siasatan lanjut. Meskipun beliau telah meminta supaya ia dipulangkan, namun pihak polis tetap enggan bekerjasama. Malah, polis meminta Nora menyediakan penjamin jika mahu mendapatkan semula telefon tersebut. Beliau yang ditahan di hadapan IPPKL ketika berhimpun bagi memberikan sokongan kepada tahanan yang ditangkap di parlimen kini telah pun dibebaskan bersama tahanan-tahanan yang lain. Semua 15 orang pimpinan dan aktivis Bersih yang ditahan semalam telah dibebaskan pada pukul 10 malam tadi dengan jaminan mulut.
Mereka yang dibebaskan adalah Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Ghazali; Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Tantawi; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; Ahli MPT KeADILan, Ang Hiok Gai; Pengerusi Protem Parti Sosialis Malaysia, Dr Nasir Hashim; Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan; AJK Pusat Protem Parti Sosialis Malaysia, A. Sivarajan dan Koordinator Informasi, Labour Resource Centre, Abdul Razak Ismail. Yang lainnya iaitu Azira Ariffin, Hashim Awang, Mohd Sabri Shafie, Mohd Badilah Muda serta Norazimah Mohd Nor adalah aktivis yang menyokong Bersih. Semua mereka diminta untuk menghadirkan diri pada pukul 9 pagi, 18 Disember ini di Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur atas tuduhan menyertai perhimpunan aman. Sebelum itu, seramai sembilan orang telah dibebaskan terlebih dahulu tanpa sebarang pendakwaan iaitu Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS, Dato' Mustafa Ali; Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifli Ahmad; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng; wakil WAMI, Wong Chin Huat; Pengurus Iklan Harakah, Mokhtar Rozaidi; wakil Komas, Mien Lor; wakil CIJ, V. Gayathry serta seorang remaja berusia 13 Tahun, Abdul Muhaimin Roslan. Semasa penahanan, mereka turut diminta menandatangani surat penafian hak peguam untuk membela mereka tanpa kebenaran Polis. "Pihak polis telah menerangkan hak-hak mereka termasuklah untuk berdiam diri atau mendapatkan khidmat peguam. Walaubagaimana pun pihak polis mendakwa bahawa mereka mempunyai ‘kuasa tersendiri’ untuk mengabaikan hak tersebut termasuklah tidak membenarkan khidmat peguam digunakan semasa keterangan mereka diambil," ujar Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nasarudin Hassan. Sementara itu, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh pula menyatakan bahawa pada jam 6 petang semalam, tahanan wanita telah dibawa ke lokap Jalan Travers manakala tahanan lelaki dibawa ke lokap Jalan Pudu. Namun, secara tiba-tiba pegawai pengiring mereka menerima arahan untuk membawa mereka kembali ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah sehingga menimbulkan kekeliruan pada mereka. - mks.

PENDUDUK BEREMBANG MENANG KES ..

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Hrkh) - Setelah berhadapan dengan pelbagai keperitan dan kesakitan, penduduk Kampung Berembang, Ampang akhirnya menang dalam kes yang menentukan pemilikan tanah di kampung berkenaan.Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak permohonan pemaju, Perspektif Masa Sdn Bhd untuk mendapatkan pemilikan kekal kawasan kampung itu, bagaimanapun menyatakan satu perbicaraan penuh perlu diadakan, jika pemaju berkenaan masih mahu menuntut pemilikan kawasan tersebut. PMSB yang memperoleh perintah mahkamah sebelah pihak pada 27 Februari lalu untuk mengosongkan tanah tersebut, diisytiharkan tidak sah dan dibatalkan dengan kos. Pada masa sama, Pesuruhjaya Kehakiman, Mariana Yahya juga mengarahkan PMSB membayar gantirugi dan kos-kos lain yang terbabit akibat kerja-kerja merobohkan rumah penduduk yang dilakukan bermula 20 November tahun lalu. Sebelum ini, PNSB bertindak memohon untuk mendapatkan pemilikan tanah tanpa perlu mendengar perbicaraan penuh. Di samping hak milik tanah tersebut, PMSB juga memohon perintah mahkamah untuk menghalang para defenden daripada mengganggu kerja-kerja pembangunan yang dijalankan di Kampung Berembang. Berikutan keputusan itu, keadaan status tanah tersebut kembali kepada status awal sebelum kerja-kerja perobohan itu dilakukan. Pada 20 November 2006, rumah penduduk dirobohkan pihak berkuasa tempatan, MPAJ yang kemudiannya dibantu pasukan Rela dan FRU apabila penduduk bertindak menghalang mereka (pihak berkuasa) merobohkan kediaman penduduk

12 Disember 2007

NGO kena hantar masuk sekolah balik untuk belajar sejarah

Dilaporkan bahawa 395 badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum dan agama telah mengadakan 'pertemuan' atas nama Damai Malaysia di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, 6 Disember lalu bagi menolak demonstrasi jalanan dan menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat. NGO terbabit kononnya mewakili 1.5 juta rakyat Malaysia. Bagaimanapun yang hadir dalam 'unjuk rasa' itu cuma berjumlah 600 orang.
Bagi melembutkan sedikit pemaparan 'unjuk rasa' itu, program itu dipanggil 'forum' dengan tajuk "Demonstrasi Jalanan Bukan Budaya Kita". Gabungan NGO itu mengeluarkan deklarasi mengutuk sebarang penganjuran demonstrasi jalanan dan menolak perbincangan isu sensitif melibatkan kaum serta agama melalui cara itu. Deklarasi Damai Malaysia itu juga mengecam tindakan pihak tertentu menggunakan 'penipuan, fitnah dan hasutan' untuk meraih sokongan negara dan kuasa luar bagi mencampuri urusan dalaman negara. "Kami atas nama Damai Malaysia sepakat mengutuk perbuatan biadap yang menuduh kepimpinan negara sebagai melakukan 'penghapusan kaum' sedangkan semua kaum mendapat layanan sama rata," tegas deklarasi itu. Antara NGO yang menganggotai gabungan itu adalah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Majlis Belia Felda Malaysia, Pertubuhan Kebajikan India Bersatu dan Majlis Belia India Malaysia (MIYC).
Berpuluh-puluh persatuan Cina dan India mewakili kumpulan tokong, peniaga, profesional, komuniti dan pendidikan menyertai gabungan itu termasuk Persatuan Penganut-Penganut Tokong Kim Ying, Ampang, Persatuan Penganut Dewa Cheng Guan Kuan, Persatuan Penjaja Cina Wilayah Persekutuan, Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Malaysia dan Persatuan Perubatan Cina Malaysia. Kelab Bell Belia Tamil, Persatuan Kelab-Kelab Belia India, Malaysia Hindu Sangam dan Kuil Sri Sakhti Vinayagar, Brickfields turut menyertainya.
Forum itu yang berlangsung dalam keadaan 'aman dan terkawal' turut dihadiri bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman, lapor Utusan Online.
Tidak pula diketahui sama ada perhimpunan itu mendapat permit polis atau tidak; bagaimanapun daripada intipati deklarasi yang dicapai, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa ia dilangsungkan sebagai tanda protes kepada perhimpunan anjuran Hindraf, 25 November lalu yang kini telah diangkat menjadi isu nasional. Enam ratus wakil NGO itu pastinya mempunyai hak untuk mempertikaikan langkah para pemimpin Hindraf memainkan isu kaum dan agama dalam menyuarakan pandangan. Bagaimanapun menjadikan "Demonstrasi Jalanan Bukan Budaya Kita" sebagai tema, agak tersasar daripada tujuan sebenar program itu diadakan.
Dan yang lebih utama, benarkah demonstrasi bukan budaya kita? Dan adakah slogan itu tidak benar-benar mengguris hati para pejuang bangsa seawal dasawarsa 1940-an yang memilih demonstrasi jalanan atau unjuk rasa sebagai medium menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap penjajah? Untuk tidak dibuai sentimen, suka bagi penulis menurunkan petikan kajian sejarah berhubung unjuk rasa ini untuk penelitian semua. Ramlah Adam (Prof Dr) dalam bukunya, "Dato' Onn Ja'afar: Pengasas Kemerdekaan" menukilkan: Persatuan-persatuan negeri Melayu yang tumbuh sebelum perang dan selepas perang, menghantar nota-nota bantahan kepada Pejabat Tanah Jajahan (Colonial Office). Orang ramia pula seperti di Kedah dan Kelantan mengadakan tunjuk perasaan menentangnya. (Di Kedah seramai 50,000 orang telah berarak. Warta Negara, 21/1/46. Di Kelantan, seramai 10,000 orang telah menunjuk perasaan). Tegasnya, penentangan kepada Malayan Union adalah kesedaran politik yang sangat penting selepas perang dunia itu." (Ramlah Adam, Dato' Onn Ja'afar, Pengasas Kemerdekaan, hlm. 86-87) Bekas Yang Dipertua Agung PAS, Tan Sri Asri Muda dalam bukunya "Memoir Politik Asri - Meniti Arus" menyebut: "Ketika Malayan Union hendak disogokkan kepada masyarakat kita (Semenanjung Tanah Melayu itu), parti-parti politik telah bertambah dengan banyaknya. Di tiap-tiap negeri lahir parti politik dan ditambah pula dengan beberapa parti politik yang bersifat kebangsaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan sebagainya. "Jadi gagasan Malayan Union yang dikemukakan oleh Sir Harold MacMichael, utusan khas Kerajaan Inggeris dikemukakan pada saat kesedaran politik orang Melayu begitu memuncak sekali. Seluruh rakyat Melayu bersatu, mengadakan perarakan menentang Malayan Union di kebanyakan kota-kota besar seperti di Johor Bahru, Alor Setar dan juga di Kota Bharu. "Saya sendiri bukan hanya sebagai pemerhati, tetapi ikut terlibat sama dalam gelombang kesedaran rakyat, menyertai perarakan rakyat atau demonstrasi rakyat di Kota Bharu. Dengan jumlah yang tidak kurang daripada 20,000 orang, kami berhimpun di Padang Bank (kini Padang Merdeka) dan berarak menuju ke tempat penginapan Residen British (kalau tak salah ingatan saya, nama beliau ialah Somerville) dan surat protes pun dibaca. "... Kemudian perarakan itu bergerak lagi menuju ke Istana Seri Cemerlang, tempat bersemayam DYMM al-Sultan Ibrahim... Surat persembahan pun dibaca dan kemudian dipersembahkan ke bawah duli. Orang yang membaca ucapan sembah itu adalah saya sendiri." (Mohd Asri bin Haji Muda, Memoir Politik Asri: Meniti Arus, hlm. 32-33). Dari pemaparan dua episod sejarah negara itu, 395 NGO pro-BN yang berkumpul di Dewan Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, 6 Disember lalu, sepatutnya merasa malu kerana berdusta atas nama negara dan bangsa. Sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara sebenarnya tidak lepas daripada siri-siri unjuk rasa walaupun Tanah Melayu pada waktu itu baru menghadapi saat getir Perang Dunia Kedua. Jika memoir Asri Muda boleh dijadikan sandaran, perarakan rakyat 10 November lalu ke Istana Negara sebenarnya mengulangi apa yang datuk nenek kita lakukan di Kota Bharu pada 1946. Apa yang membezakan dua peristiwa itu adalah layanan pihak berkuasa kepada rakyat. Di zaman penjajahan British, datuk nenek kita dibenarkan berarak menunjuk rasa kerana pemerintahnya mempunyai mentaliti dunia pertama walaupun prasarana negara masih di tahap dunia ketiga. Sayangnya selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, kita mempunyai pemerintah yang bermentaliti dunia ketiga, walaupun berbangga dengan prasarana dunia pertama!

MELAKA PASTI BERGEGAU !!!

Seluruh ahli dan penyokong PAS Negeri Melaka diharapkan dapat menghadirkan diri pada Himpunan Gegau Melaka pada 16 Disember ini bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang bertempat di Balai Islam Telok Mas.Himpunan anjuran Jentera Pilihanraya Negeri (JPN) Melaka ini akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.Antara lain Himpunan 'Gegau' ini bertujuan untuk menyuntik semangat juang para petugas pilihanraya bagi menghadapi Pilihanraya Umum yang bakal diadakan tidak lama lagi. Menurut Pengarah JPN Melaka, Mejar(B) Jasme Tompang, setiap kawasan di minta menghantar sekurang-kurangnya 200 orang peserta di kalangan semua peringkat parti samada pemuda, muslimat atau ahli-ahli biasa."Kita akan himpunkan seluruh jentera di peringkat akar umbi bagi memastikan semua petugas bersiap sedia dan sentiasa peka dengan arahan pimpinan"."Insya Allah himpunan ini akan menaikkan semangat kita semua dan kita akan 'gegau' Melaka dengan gerakerja yang tersusun, berdisiplin dan terancang" tegas Jasme dengan semangat.Jasme juga berkata nama 'gegau' dipilih sebagai tema adalah kerana ianya bermaksud gegar yakni PAS Melaka ingin mengegarkan BN Melaka di samping ingin menggegarkan ahli dan penyokong PAS agar bangkit dengan semangat untuk menentang BN dalam pilihanraya kana datang.Difahamkan himpunan ini julung kali di adakan selepas Pilihanraya Umum 2004.

Pemimpin pembangkang sertai perarakan ke Parlimen hantar memorandum

KUALA LUMPUR: Polis menahan 29 orang, termasuk beberapa pemimpin kanan parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana menyertai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) di ibu negara, semalam. Semua ditahan selepas mengingkari arahan polis supaya bersurai sejajar perintah mahkamah melarang kumpulan itu mengadakan perhimpunan bagi menghantar memorandum menolak usul melanjutkan umur persaraan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kumpulan itu yang berkumpul di Dataran Merdeka dan hadapan Bank Negara sejak 8 pagi, merancang berarak ke bangunan Parlimen, tetapi dihalang polis. Bagaimanapun, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, bersama seorang rakannya, Abdul Razak Ismail, yang menaiki Proton Tiara membolosi sekatan polis di simpang masuk ke bangunan Parlimen. Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Tian Chua dan Abdul Razak tidak menghiraukan arahan supaya berhenti menyebabkan beberapa anggota polis termasuk dari Cawangan Khas Bukit Aman terpaksa mengejar dan menghalang keretanya, kira-kira 50 meter dari pintu masuk bangunan itu.
Keadaan menjadi tegang dan berlaku pergelutan apabila kedua-duanya enggan keluar dari kereta itu hingga memaksa polis menarik mereka, tetapi Chua bertindak menggigit seorang anggota polis. Selain Tian Chua dan Abdul Razak, turut ditahan di lokasi sama ialah Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Tantawi, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Lo'Lo Mohd Ghazali serta tujuh lagi penyokong Bersih. Enam lagi ditahan di tempat letak kereta bangunan Parlimen selepas menghantar memorandum berkenaan. Mereka ialah Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali, Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkifli Ahmad, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Yap Swee Seng, ahli Writers Alliance of Media Independence, Wong Chin Huat, Pengasas Pusat Komunikasi Masyarakat, Mein Lor dan Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, V Gayathry. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika ditemui di lobi Parlimen, berkata polis berhak menahan sesiapa saja di dalam kawasan Parlimen jika mereka memberi ancaman keselamatan. "Sesiapa saja yang memecah masuk zon sekuriti, termasuk Bangunan Parlimen boleh ditahan. Mereka kononnya mahu menghantar memorandum kepada semua Ahli Parlimen tetapi langsung tidak menghubungi saya mengenai perkara itu," katanya. Beliau berkata, walaupun diberi pas masuk sebagai tetamu kepada Ahli Parlimen Pas-Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, tindakan kumpulan itu menghantar memorandum masih dianggap memecah masuk zon sekuriti. Pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2007 yang melanjutkan umur persaraan anggota SPR itu, diluluskan sidang Dewan Rakyat semalam. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar, ketika dihubungi berkata penahanan itu dibuat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan haram yang boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya. "Kita menahan mereka kerana berdegil dan mahu meneruskan perhimpunan itu, walaupun sudah diberi amaran oleh polis sejajar dengan perintah yang dikeluarkan mahkamah melarang perhimpunan diadakan. "Kebanyakannya ditahan di simpang masuk ke Bangunan Parlimen berhampiran Taman Tasik Perdana dan beberapa lokasi lain sekitar ibu negara, termasuk Dataran Merdeka," katanya. Bagaimanapun, sehingga jam 7.30 malam tadi, 12 orang termasuk Khalid, Mustafa, Yap, Gayathry dan Dr Dzulkifli dibebaskan dengan jaminan polis. Tian Chua pula dilihat dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, kira-kira jam 2 petang sebelum ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Ketika di mahkamah, beliau turut mencetuskan kekecohan apabila duduk bersimpuh di lantai dan enggan berjalan sebagai tanda protes terhadap penahanannya hingga terpaksa dipapah anggota polis. Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi)Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah, ketika dihubungi berkata penyokong Bersih yang masih ditahan akan dibebaskan selepas keterangan mereka direkodkan. "Semua dibebaskan atas jaminan polis sehingga Selasa depan. Kita sedang menyiasat secara terperinci kes ini dan mereka boleh dipanggil semula pada bila-bila masa untuk membantu siasatan," katanya.

11 Disember 2007

Yuran Sekolah Tak Mansuh Sepenuhnya

KEMENTERIAN Pelajaran perlu memberi penjelasan terperinci berhubung langkah memansuhkan yuran sekolah rendah dan menengah bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan ibu bapa.Senator Datuk Samsiah Samsudin berkata, salah faham mengenai pemansuhan yuran sekolah itu berlaku terutama di kalangan ibu bapa di kawasan luar bandar yang berpendapat tidak perlu lagi sebarang pembayaran yuran berikutan pemansuhan yuran sekolah seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2008, September lalu.“Kita tidak boleh salahkan mereka kerana penjelasan yang diberikan kementerian selama ini pun tidak secara terperinci,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2007 di Dewan Negara, semalam.Pada pembentangan Bajet 2008 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pemansuhan yuran rasmi sekolah rendah sebanyak RM4.50 manakala sekolah menengah RM9. Senator Dr Mohd Puad Zarkashi yang sependapat dengan Samsiah berkata, penerangan perlu diberikan kerana pembayaran yuran tambahan lain membuatkan usaha kerajaan itu dilihat sia-sia.Justeru, beliau mencadangkan pembayaran yuran tambahan tidak perlu dibuat pada awal tahun, sebaliknya dibuat pada bulan kedua atau ketiga daripada tarikh sekolah dibuka untuk mengelakkan kekeliruan berkenaan.Sementara itu, Dr Mohd Puad turut mencadangkan hukuman rotan terhadap pelajar perempuan diperkenalkan semula memandangkan disiplin pelajar itu kebelakangan ini semakin membimbangkan.Beliau berkata, ibu bapa sepatutnya tidak boleh campur tangan sekiranya pihak sekolah mengenakan hukuman rotan kepada anak mereka yang dikenal pasti mempunyai masalah disiplin.“Apa yang menjadi masalah utama ialah ibu yang suka menjadi batu api apabila anak mereka dirotan dan mendesak bapa ke sekolah untuk memarahi pihak sekolah atas tindakan mereka,” katanya. - Bernama

GPMS Proksi Umno ???

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memberi amaran supaya Hindu Rights Action Force (Hindraf) tidak bermain politik sempit dengan melibatkan UMNO dalam tindakan bodoh dan ekstrem mereka.Pergerakan itu juga mencabar Hindraf memasuki arus perdana politik bagi membuktikan sama ada pandangannya diterima majoriti rakyat.Presiden GPMS, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, Hindraf boleh memilih mana-mana parti pembangkang untuk menjadi asas fahaman politiknya.‘‘Dengan pilihan itu, maka akan lebih jelaslah siapa sebenarnya berada di belakang Hindraf selama ini,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.Semalam, Hindraf mengisytiharkan secara terbuka bahawa musuhnya adalah UMNO, bukan orang Melayu.Reezal Merican berkata, Hindraf cuba menanam perasaan benci rakyat dengan menggunakan isu perkauman dan agama sebagai landasan perjuangan.Sementara itu, Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) menyarankan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak memberi peluang kepada kumpulan itu untuk membuat pertemuan dengannya.Presiden persatuan itu, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, pertemuan itu sama sekali tidak penting, malah sekadar membuat ugutan untuk meraih perhatian. Oleh itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengambil undang-undang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas pemimpin gerakan itu.‘‘Kita menyarankan kerajaan mengharamkan kumpulan itu dan segala aktivitinya kerana ia boleh menggugat kestabilan dan keamanan negara serta menjejaskan perpaduan antara kaum selama ini,’’ katanya.

Mohamad Sabu, Tian Chua, lima peguam antara dihadap ke mahkamah


KUALA LUMPUR 10 Dis. – Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan seorang lagi pemimpin kanan PKR, N. Gobalakrisnan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu kota pada 10 November lalu. Mereka didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.Turut didakwa atas tuduhan sama dan pertuduhan pilihan ialah pemandu, Mohamad Zad Abdullah, 39; penoreh getah, Taib Abdullah, 33; dua remaja masing berusia 17 dan 16 tahun; penganggur Mohamad Abi Salam Arifin, 24, dan pekerja kampung, Ishak Othman, 33.Lelaki-lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebelah bangunan Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada kira-kira pukul 1 tengah hari 10 November lalu.Lapan lagi didakwa atas pertuduhan yang sama di Jalan Raja Laut di sini pada kira-kira 3.50 petang hari yang sama.Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri mendakwa mereka di mahkamah.
Selain tuduhan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, Mohamad Sabu, Tian Chua, Gobalakrisnan dan para penyokong pembangkang itu juga didakwa di bawah pertuduhan pilihan kerana ingkar perintah untuk bersurai yang diberikan oleh Cif Inspektor Riduan Khalid di Jalan Istana Baru di sini pada pukul 3.05 petang.
Bagi pertuduhan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun jika disabitkan kesalahan.Mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.Rozana menetapkan kes itu dibicarakan selama empat hari bermula 11 Februari depan.Antara peguam yang mewakili para pemimpin dan penyokong parti pembangkang itu ialah Mohamed Hanifah Maidin, Ranjit Singh, C.H. Lai, G.K. Ganesan, Rajpal Singh dan S. Kartigesan.Sementara itu, lima peguam dan empat aktivis hak asasi manusia dihadapkan ke sebuah lagi Mahkamah Sesyen di sini, juga dengan Abdul Gani sendiri mengetuai pasukan pendakwaan, atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram ‘People’s Freedom Walk’ sempena Hari Hak Asasi Manusia di sini pagi semalam serta menghalang penjawat awam daripada menguatkuasakan undang-undang.
Lima peguam yang didakwa itu ialah K. Sivarasa, Latheefa Beebi Koya, Amer Hamzah Arshad, N. Surendran dan Edmund Bon. Empat aktivis pula ialah Johny Andu @ Abu Bakar Adnan, Eric Paulsen, Noorazah Othman dan seorang warganegara India, Ashraf Ali Sadakatullah.Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah.Empat peguam termasuk Sivarasa, Latheefa, Amer Hamzah, Surendran dan empat aktivis didakwa bersama-sama sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan melakukan mudarat awam di hadapan bangunan Kamdar, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini antara pukul 8.10 pagi dan 8.50 pagi, semalam.
Seorang lagi peguam, Edmund Bon, 33, pula didakwa atas tuduhan menghalang penjawat awam iaitu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada menurunkan kain rentang di hadapan bangunan Majlis Peguam, Jalan Leboh Pasar Besar di sini pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.Para peguam yang mewakili mereka antaranya ialah P. Puravelan, Tommy Thomas dan K. Ragunath.Bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa di bawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 atas tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang pada masa dan tempat yang sama.Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta yang sama iaitu hukuman didenda tidak melebihi RM10,000 dan penjara maksimum setahun.Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh terus menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan mengetahui perhimpunan itu telah diarahkan bersurai.Mereka didakwa di bawah Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.Bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa di bawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan telah mengingkari perintah untuk bersurai oleh Supritendan Che Hamzah Che Ismail pada waktu dan tempat yang sama.Abdul Gani yang mengetuai pendakwaan membantah sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh di kedua-dua Mahkamah Sesyen itu. Beliau berhujah bahawa perbuatan menyertai perhimpunan haram serta enggan mematuhi arahan pihak berkuasa boleh mencetuskan huru hara dan mengancam keselamatan negara.Peguam Negara berpendapat sekiranya tertuduh dalam kedua-dua kes itu dibebaskan dengan ikat jamin, mereka akan mengulangi perbuatan yang sama dengan menyertai perhimpunan haram pada masa akan datang.Beliau berkata, nama Mohamad Sabu dan Tian Chua tersenarai dalam satu laman web sebagai antara orang yang akan menyertai perhimpunan di hadapan Parlimen, esok.(Perhimpunan itu dikatakan akan diadakan bagi membantah pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi menaikkan had umur bersara anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun.)Bagaimanapun, mahkamah membebaskan Mohamad Sabu dan Tian Chua masing-masing dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.Tertuduh yang lain termasuk lima peguam dan aktivis masing-masing dibenarkan jamin antara RM1,000 dan RM3,000.Komathy kemudian menetapkan perbicaraan kes yang dikendalikannya selama tiga hari bermula 3 Mac 2008.